‘Bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus,’ barangkali itulah peribahasa yang sesuai pada setiap ibu bapa moden yang bergelut untuk mendisiplinkan anak mereka -dan juga diri mereka sendiri- daripada penggunaan gajet berlebihan dalam kehidupan seharian mereka.
Perbincangan tentang kesan penggunaan gajet yang berlebihan bukanlah sesuatu yang asing lagi. Kajian demi kajian tentang kesan pendedahan anak kecil kepada skrin teknologi seringkali menunjukkan peningkatan masalah seperti obesiti, ketagihan skrin dan masalah tingkah laku atau percakapan.
Masa yang dihabiskan dengan gajet bererti tidak dimanfaatkan untuk meneroka dunia luar atau berinteraksi dengan manusia lain, yang sangat penting bagi perkembangan si manja. Disebabkan itu, panduan daripada American Academy of Pediatrics menyarankan tiada gajet dibenarkan sebelum usia dua tahun, dan perlu dihadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 18 tahun.
Tetapi kesan pendedahan skrin kepada perkembangan anak anda bukanlah semata-mata kerana pendedahan secara langsung, malah boleh berlaku disebabkan anda sendiri yang sebenarnya terleka dengan skrin gajet anda.
Kesan kelekaan ibu bapa dengan gajet
Komunikasi antara ibu bapa dan bayi, walaupun kelihatan remeh; dipenuhi bunyi tak bermakna, tatabahasa mudah, dan gaya badan berlebihan, sebenarnya merupakan interaksi penting untuk pembentukan otak bayi.
Jadi, bayangkan apabila sistem komunikasi yang penting untuk perkembangan anak anda ini diganggu dengan perhatian yang teralih kepada bunyi notifikasi telefon bimbit; dan ketidakupayaan anda menahan diri daripada menyemak mesej atau gambar dan komen di media sosial.
Dalam satu kajian untuk mengenalpasti kesan penggunaan telefon bimbit ibu bapa dengan pembelajaran bahasa anak, para ibu ditetapkan untuk mengajar anak mereka dua perkataan baru dan diberikan telefon. Kajian tersebut mendapati jika ibu diganggu dengan panggilan telefon (sebentar), kanak-kanak tersebut gagal mempelajari perkataan baharu tersebut berbanding jika mereka tidak terganggu.
Keputusan kajian tersebut bukanlah sesuatu yang asing lagi. Bayi daripada awal usia kelahiran didapati boleh memahami bahasa sosial dan terkesan dengannya. Eksperimen ‘Still Face’ yang dipopularkan oleh Dr. Ed Tronick merupakan antara eksperimen klasik dalam memahami interaksi ibu bapa dan bayi mereka.
Dalam eksperimen ini, si ibu dibiarkan berinteraksi secara normal dengan bayi, kemudian tiba-tiba berubah kepada ‘still face’ (muka pegun) selama 3 minit. Bayi didapati mula bertindak balas dengan mencuba untuk mendapatkan perhatian si ibu. Apabila bayi gagal mendapatkan perhatian, mereka mula menjadi tertekan dan menunjukkan emosi negatif.
Eksperimen ini menunjukkan fenomena interaksi sosial yang universal dalam semua bayi. Jadi, bayangkan kesan pengabaian emosi sewaktu anda terpegun dengan skrin telefon bimbit dan tidak menghiraukan anak anda. Bayi yang terlalu lama diabaikan akan mula mengalami ‘withdrawal‘ atau pengasingan dan tidak berminat untuk meneroka dan mempelajari persekitaran mereka.
Mengapa ibu bapa patut mengawal penggunaan gajet mereka
Memang benar bahawa tidak mungkin bahkan mustahil untuk ibu bapa sentiasa berinteraksi dengan anak mereka. Bahkan tidak memberikan tumpuan kepada si kecil anda membantu mereka membina ketahanan diri yang sihat dan kemampuan berdikari yang turut diperlukan untuk perkembangan mereka.
Tetapi tidak memberikan tumpuan -atau tumpuan yang selalu terganggu- secara berterusan adalah berbahaya. Bahkan ibu bapa yang kerap menggunakan gajet didapati menunjukkan tanda seperti ketagihan. Ibu bapa yang terleka dengan gajet didapati lebih cepat marah berbanding mereka yang memberi perhatian kepada anak mereka.
Ya, anda berhak untuk menyuruh anak anda bermain sendiri, atau menguruskan perkara lain selain memberi perhatian kepada mereka. Tetapi ini tidak sama dengan mengabaikan mereka sedangkan anda ada secara fizikal di sebelah mereka.
Kebanyakan ibu bapa didapati menghabiskan masa sekitar 9 jam sehari dengan skrin telefon tanpa mereka sedari. Jika anda risau dengan masa yang anak anda habiskan dengan gajet, mungkin ini masa yang sesuai untuk anda menilai penggunaan gajet oleh diri anda sendiri.
[embed-health-tool-ovulation]