Ketika menginjak usia remaja, hubungan anak anda dengan adik-beradiknya akan mula berubah. Antara cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mengekalkan keharmonian sesama mereka. Artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut apa sebenarnya yang berada dalam fikiran anak remaja anda.
Perbandingan dalam kalangan adik-beradik
Sudah menjadi perkara yang normal apabila anak remaja dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain. Meskipun niat ibu bapa membandingkan anak-anak mereka antara satu sama lain atas tujuan anak berkompetensi, ini akan mendatangkan kesan negatif. Perbuatan ini akan mendatangkan perasaan iri hati dan tercabar dalam diri anak-anak.
Seorang ahli psikologi kanak-kanak, Anthony E.Wolf, PhD, menyatakan bahawa perbuatan membanding-bandingkan anak-anak antara satu sama lain hanya akan mencetuskan perasaan benci terhadap sesama mereka.
Hidup di bawah bayang-bayang adik-beradik lain akan membuatkan anak anda berkecil hati justeru mengundang kecenderungan mereka mengalami kemurungan. Seorang lagi ahli psikologi kanak-kanak iaitu Peter Goldenthal, PhD, pula menyatakan bahawa emosi anak-anak mudah terganggu terutamanya ketika mereka berasa kecil hati.
Isu kepercayaan
Isu kepercayaan dalam kalangan adik-beradik juga merupakan isu yang kerap dialami oleh anak remaja anda. Anak remaja menganggap adik-beradik mereka yang masih kecil mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa. Ini akan menyebabkan perasaan tidak percaya dalam diri anak remaja sekaligus menjarakkan hubungan sesama mereka. Sebagai contoh, anak yang masih kecil akan mengadu kepada ibu bapa setiap apa yang dilakukan oleh abang atau kakak mereka yang sebenarnya mahu disembunyikan. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada terjadi dengan tidak melayan sekiranya anak kecil anda ingin mengadu untuk menunjukkan anda hormat akan privasi anak remaja anda kecuali perkara yang diadukan itu melibatkan kesihatan dan keselamatan anak remaja anda seperti penggunaan dadah dan sebagainya.
Anak remaja juga turut mempunyai perasaan cemburu terhadap adik-beradik yang lebih tua kerana mereka mempunyai lebih kebebasan dan privasi berbanding mereka yang lebih muda. Sudah tentu kematangan menjadi punca permasalahan ini. Oleh itu, ibu bapa perlulah lebih peka dan mendidik anak-anak agar tidak wujud sebarang perasaan iri hati di samping membina kematangan dalam diri anak-anak mereka.
Pergaduhan
Pertelingkahan dalam kalangan adik-beradik selalunya bermula ketika mereka berumur lapan hingga dua belas tahun. Fizikal anak anda akan mula berubah menjadi lebih besar dan kuat. Ini akan membuatkan mereka bersifat lebih agresif terhadap adik-beradik mereka untuk menunjukkan sifat mereka yang dominan.
Kebiasaannya, pergaduhan dalam kalangan adik-beradik akan terjadi sekiranya mereka berada dalam kumpulan jantina dan umur yang lebih kurang sama serta mempunyai minat yang sama. Ini adalah normal dan perlu dijadikan sebagai latihan untuk mereka belajar mengekspresi serta mempertahankan diri mereka. Dengan bantuan anda, anak-anak akan lebih matang dalam menyalurkan kemarahan serta menyelesaikan perbalahan antara mereka.
Namun begitu anda perlu memastikan anak remaja tidak menghina, memalukan atau menyakiti fizikal adik-beradiknya. Sekiranya pertelingkahan mereka sudah tidak mampu dikawal, anda perlu lebih tegas untuk mengelakkan masalah ini daripada berlarutan.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa?
Sekiranya terjadi pergaduhan sesama anak dengan adik-beradiknya, ibu bapa perlu mengawal keadaan dengan mengasingkan mereka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
Mainkan peranan anda sebagai ibu bapa dengan melayan mereka dengan adil dan tidak berpihak pada mana-mana pihak. Anda juga perlu memastikan anda melakukan perkara-perkara berikut:
- Elakkan membanding-bandingkan anak-anak anda. Sebaliknya, anda boleh memuji kekuatan tersendiri anak-anak anda. Ini untuk memastikan kesemua anak anda berasa dihargai dan tidak terpinggir.
- Elakkan menuduh seorang anak sahaja untuk setiap masalah yang timbul. Ini akan menyebabkan mereka sentiasa menjadi kambing hitam dalam keluarga.
- Galakkan anak anda untuk menghargai keunikan diri masing-masing.
- Jangan galakkan anak anda mengadu kepada anda.
- Kenalpasti setiap sifat anak-anak anda dan gunakan pendekatan yang sesuai.
- Luangkan masa dengan setiap anak-anak anda seadilnya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-ovulation]