backup og meta

Tak Nak Mata Rabun Sebab Banyak Lihat Skrin? Ikut Peraturan 20-20-20 Jaga Deria Penglihatan!

Tak Nak Mata Rabun Sebab Banyak Lihat Skrin? Ikut Peraturan 20-20-20 Jaga Deria Penglihatan!

Meluangkan masa yang lama di hadapan skrin telah menjadi isu besar bagi orang ramai hari ini kerana ia mampu menyebabkan masalah ketegangan mata.

Menghabiskan masa berjam-jam untuk melihat skrin, seperti komputer di tempat kerja dan di rumah, telefon pintar, televisyen atau peranti digital yang lain boleh menyebabkan ketegangan mata.

Namun, usah risau kerana peraturan 20-20-20 dikatakan mungkin dapat membantu. Ikuti artikel ini jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut ya!

Apakah itu peraturan 20-20-20?

Sekiranya anda melihat skrin sepanjang hari, doktor mata anda mungkin akan menyatakan peraturan ini kepada anda bagi mengurangkan risiko masalah ketegangan mata.

Pada asasnya, setiap 20 minit yang dihabiskan menggunakan skrin, anda harus berusaha untuk melihat sesuatu yang berjarak 20 kaki dari anda selama 20 saat.

Peraturan 20-20-20 ini dirancang oleh optometris California, Jeffrey Anshel sebagai peringatan mudah untuk berehat dan mencegah ketegangan mata.

ketegangan mata

Semasa mengikuti peraturan, seseorang individu akan berehat selama 20 saat daripada melihat skrin setiap 20 minit.

Semasa rehat, individu itu harus memusatkan perhatian pada objek yang berjarak 20 kaki.

Bagi memudahkan anda untuk mengikuti perkara ini, kaedah berikut dapat membantu untuk menerapkan peraturan ini:

  • Tetapkan penggera setiap 20 minit semasa bekerja, sebagai peringatan untuk berehat
  • Muat turun aplikasi yang direka khas untuk membantu individu mengikuti peraturan 20-20-20
  • Lihat ke arah tingkap semasa rehat 20 saat. Menentukan jarak 20 kaki boleh menjadi sukar, tetapi memusatkan perhatian pada pokok atau tiang lampu di seberang jalan sudah memadai

Selain itu, berkedip turut dapat mencegah masalah mata kering dengan mendorong pengeluaran cecair pada mata.

Apa bukti yang menyokong peraturan 20-20-20?

American Academy of Ophthalmology menjelaskan bahawa melihat peranti digital tidak semestinya akan merosakkan penglihatan anda.

Tetapi perkara tersebut boleh menyebabkan ketegangan dan gejala yang tidak menyenangkan pada mata.

Manusia biasanya berkedip sekitar 15 kali setiap minit, namun semasa menatap skrin, bilangan ini berkurang. Ia boleh menyebabkan masalah mata kering, tegang, dan penat.

Selain itu, ketegangan mata yang disebabkan oleh skrin mempunyai namanya sendiri. Ia dipanggil sindrom penglihatan komputer (CVS).

Dalam kajian yang diterbitkan oleh Nepal of Ophthalmology, para penyelidik meneliti penggunaan komputer dan kesannya pada mata pelajar universiti di Malaysia.

Hampir 90% daripada 795 pelajar mengalami simptom CVS setelah hanya 2 jam penggunaan komputer secara berterusan.

Oleh itu, dengan kerap berehat untuk melihat objek yang jauh pada waktu skrin dapat mengurangkan gejala ketegangan mata. Dengan kata lain, peraturan 20-20-20 ini berfungsi!

Gejala-gejala ketegangan mata

Beberapa gejala di bawah dapat menunjukkan masalah ketegangan mata, termasuk:

sakit kepala

  • Penglihatan kabur
  • Masalah mata kering
  • Sakit kepala
  • Kemerahan mata
  • Sakit di leher, bahu, atau belakang
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Masalah menumpukan perhatian

Duduk dalam posisi yang sama untuk waktu yang lama juga mempunyai kesan berbahaya yang lain pada badan.

Oleh itu, selain mengalihkan pandangan daripada skrin, anda juga harus keluar berjalan-jalan dan mengambil angin agar kekal segar!

Tip untuk mengelakkan masalah ketegangan mata

Ingin mengelakkan daripada terjadinya ketegangan mata? Setiap kali anda duduk untuk melihat skrin, ingatlah untuk mengikuti tip mata ini.

  • Duduk lebih jauh daripada skrin komputer anda. Peraturan yang baik adalah jarak sekurang-kurangnya 25 inci, atau kira-kira panjang lengan semasa anda menggunakannya
  • Pertimbangkan untuk menggunakan penapis skrin matte untuk mengurangkan masalah silau pada skrin anda
  • Anda harus cuba yang terbaik untuk mengikuti peraturan 20-20-20. Tetapkan penggera pada telefon bimbit untuk mengingatkan anda melihat setiap 20 minit pada objek yang berjarak sekitar 20 kaki selama 20 saat
  • Beli ubat titis mata di kedai ubat tempatan untuk digunakan apabila mata anda terasa kering. Selain itu, memastikan mata berkedip dengan kerap turut dapat bantu melembapkan semula mata kering anda
  • Kurangkan cahaya skrin anda jika ia lebih terang daripada cahaya di kawasan anda gunakannya. Anda juga harus menyesuaikan pencahayaan ruangan sehingga kontrasnya berkurang
  • Pastikan skrin anda kekal bersih. Skrin yang kotor dengan cap jari dan kekotoran lain juga dapat menyumbang kepada masalah mata

Sekiranya anda memakai kanta lekap, anda mungkin mengalami gejala kekeringan dan kerengsaan yang lebih teruk ketika berlaku masalah ketegangan mata.

Oleh itu, cubalah rehatkan mata anda daripada pemakaian kanta lekap dari semasa ke semasa dengan cara memakai cermin mata.

Selain itu, elakkan tidur dengan memakai kanta lekap, dan selalu basuh tangan anda serta ikuti kebersihan yang baik semasa memasukkan atau mengeluarkan kanta lekap.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/eyestrain/symptoms-causes/syc-20372397
  2. https://www.juststand.org/blog/prevent-eye-strain-with-the-20-20-20-rule/#:~:text=If%20you%20have%2C%20it’s%20likely,feet%20away%20for%2020%20seconds.
  3. https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/computer-usage
  4. https://nkcf.org/digital-eye-strain-know-202020-rule/

Versi Terbaru

21/05/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Bukan Rabun, Penglihatan Terjejas Akibat Keadaan Kesihatan

Anak 5 Tahun Hanya Dibenarkan 1 jam Masa Skrin Sehari? Ketahui Garis Panduan Penggunaan Gajet


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan