Rabun jauh adalah antara masalah penglihatan paling kerap berlaku di dunia. Ia kebiasaannya dikesan semasa berumur sekolah rendah apabila terdapat kepayahan dalam membaca dan melihat tulisan di papan putih. Ia juga disebut sebagai myopia atau nearsightedness.
Bagaimana rabun jauh berlaku?
Mata adalah organ yang sangat unik dan berharga. Tanpa penglihatan, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan. Bagi orang normal, imej yang dipantulkan oleh cahaya akan dipancarkan ke dalam mata dan jatuh di atas retina di bahagian belakang mata yang mengandungi reseptor foto.
Selepas menerima pantulan imej, reseptor foto akan menukar imej tersebut ke dalam bentuk signal elektrik untuk dihantar ke otak melalui urat saraf optik. Bahagian otak oksipital menerima signal untuk diterjemahkan menjadi maksud imej tersebut. Jika ia adalah gunung, otak akan memaklumkan kepada anda bahawa ia adalah gunung. Jika laut, anda akan melihat laut.
Dalam kes rabun jauh, imej yang dipantulkan ke dalam mata tidak jatuh di atas retina. Sebalinya, ia jatuh di hadapan retina. Ini menyebabkan signal yang dihantar ke otak menjadi tidak jelas kerana reseptor foto tidak dapat memproses dengan baik memandangkan imej tidak jatuh di atasnya secara tepat. Semakin jauh jarak imej daripada mata, semakin jauh imej itu jatuh daripada retina dan sebaliknya. Sebab itu namanya rabun jauh.
Apakah punca rabun jauh?
Keadaan ini berlaku apabila saiz mata anda lebih panjang daripada normal, atau kornea anda terlalu melengkung menyebabkan imej tidak boleh dipantulkan di atas retina.
Terdapat dua faktor risiko utama:
- Sejarah keluarga – jika salah seorang atau kedua-dua ibu dan bapa adalah rabun jauh, risiko anak-anak untuk mengalaminya akan meningkat.
- Kerap melakukan aktiviti dalam jarak dekat – aktiviti seperti membaca atau menggunakan komputer dalam tempoh yang lama mungkin meningkatkan risiko rabun jauh.
Terdapat juga beberapa keadaan di mana berlaku rabun jauh dalam tempoh sementara:
- Rabun malam – sesetengah orang mengalami rabun hanya pada waktu malam. Ia disebabkan oleh kekurangan cahaya untuk fokus atau terlalu banyak cahaya di bahagian tepi sehingga mengganggu fokus mata.
- Rabun tipu – apabila terlalu lama melakukan aktiviti jarak dekat, otot yang mengawal fokus mata menjadi letih dan gagal menjalankan fungsinya dengan baik.
- Diabetes – kawalan gula yang kurang baik boleh membuatkan penglihatan menjadi kabur.
Dalam kebanyakan kes, rabun jauh bukanlah satu masalah yang serius. Terdapat banyak pilihan rawatan yang ada pada hari ini membuatkan mereka yang mengalaminya boleh menjalani kehidupan seperti biasa.