brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Zakar 101, Semua Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kesihatan Kemaluan Orang Lelaki!

Masalah kemaluan lelaki sebenarnya meliputi lebih daripada kesukaran untuk mengekalkan ereksi. Ada banyak lagi masalah berkaitan zakar yang mesti diketahui oleh kaum Adam.

Zakar 101, Semua Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kesihatan Kemaluan Orang Lelaki!

Oleh sebab itu, mari ikuti penjelasan kami mengenai kesihatan zakar di dalam artikel di bawah.

Semua yang anda perlu tahu mengenai alat kelamin lelaki

Kesihatan zakar merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan insan yang bergelar lelaki. Tanpanya, lelaki tidak mampu untuk melakukan proses reproduktif dan menimang cahaya mata bersama pasangan masing-masing.

Selalunya, apabila bercakap mengenai kesihatan kemaluan lelaki, ramai yang akan fikir mengenai penyakit kelamin atau STI. 

Sebenarnya, ada banyak lagi faktor lain yang boleh mempengaruhi kesihatan zakar lelaki seperti kebersihan, gaya hidup dan penyakit yang dihidapi.

Apakah yang mempengaruhi kesihatan zakar?

kesihatan zakar

Semua lelaki haruslah mengambil berat mengenai kesihatan zakar masing-masing. Lelaki perlu mempunyai zakar yang sihat, barulah boleh dikira benar-benar sihat dari segi fizikal!

Sebagai contoh, kesihatan zakar lelaki merangkumi topik seperti:

  1. Kesuburan.
  2. Kemampuan untuk mengekalkan ereksi.
  3. Keselesaan ketika membuang air kecil.

Masalah umum alat kelamin lelaki

Terdapat beberapa masalah kesihatan kemaluan lelaki yang perlu dipandang serius. Antaranya ialah:

1. Jangkitan yis

Walaupun jangkitan yis lebih sinonim dengan wanita, lelaki juga sebenarnya boleh mengalami jangkitan yis. Ia juga boleh menyebabkan satu kondisi yang dikenali sebagai balanitis.

Jangkitan yis dalam kalangan lelaki merupakan sesuatu yang lazim disebabkan wujudnya kulat pada kawasan kulit yang lembab.

Selain itu, ada juga faktor lain yang boleh meningkatkan risiko jangkitan yis dalam kalangan lelaki iaitu pernah melakukan seks bersama pasangan yang menghidap jangkitan yis.

2. Disfungsi erektil

Disfungsi erektil merupakan masalah kesihatan zakar yang paling lazim berlaku kepada kaum Adam. Ia mempengaruhi hampir 30 juta lelaki di seluruh dunia.

Selalunya, masalah mati pucuk berlaku apabila saraf pada kawasan zakar terluka atau tercedera. 

Selain itu, faktor seperti stres dan tekanan perasaan juga boleh mempengaruhi kesihatan kemaluan lelaki.

Tetapi, masalah mati pucuk boleh menjadi tanda penyakit yang lebih serius seperti aterosklerosis, sakit jantung, tekanan darah tinggi atau diabetes. 

Oleh sebab itu, lelaki yang alami kesukaran untuk mengalami ereksi haruslah berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

3. Ejakulasi retrograde

Ejakulasi retrograde berlaku apabila otot pada hujung pundi kencing yang berfungsi untuk menghalang air mati ketika lelaki alami ejakulasi, tidak tertutup dengan sempurna. Ini akan menyebabkan air mani masuk kembali ke dalam pundi kencing.

Walaupun lelaki masih mencecah klimaks, mereka tidak dapat melakukan ejakulasi dengan sempurna. Kondisi ini juga dikenali dengan nama orgasma kering.

Lelaki, jaga kebersihan kemaluan anda!

kesihatan zakar

Sebagai lelaki, ada beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk memastikan kemaluan sentiasa sentiasa terjaga. Sebagai contoh:

  1. Minum air dengan mencukupi untuk elakkan masalah mati pucuk. Oleh sebab itu, cuba dapatkan sekurang-kurangnya 2 liter air sehari.
  2. Guna kondom sewaktu melakukan hubungan seks. Kekal bersama satu pasangan yang bebas STI juga dapat membantu lelaki untuk mengelakkan penyakit kelamin.
  3. Ambil vaksin. Lelaki yang berusia 26 tahun atau lebih muda boleh mengambil vaksin HPV untuk mengelakkan kanser.
  4. Bersenam dengan kerap.Senaman dapat mengelakkan masalah mati pucuk pada masa hadapan.
  5. Jaga kebersihan diri. Jika anda tidak bersunat, bersihkan kawasan zakar dengan teliti. Gunakan sabun dan air suam ketika mencuci hujung zakar.
  6. Utamakan kesihatan mental. Masalah seperti kegelisahan, depresi dan lain-lain boleh menyebabkan lelaki sukar untuk mengalami ereksi.
  7. Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan alkohol.
  8. Amalkan gaya hidup yang sihat. Pastikan berat badan berada dalam lingkungan yang normal untuk mengelakkan penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Cara terbaik untuk mencuci alat kelamin lelaki

Untuk menjaga kesihatan zakar, lelaki haruslah membasuh kawasan intim menggunakan air suam dan sabun yang tidak mempunyai pewangi.

Elakkan membasuh kawasan tersebut secara terlalu kuat untuk mengelakkan iritasi pada kawasan zakar dan sekitarnya.

Pastikan anda:

  1. Basuh kawasan kemaluan dan pada pangkal zakar dengan rapi. Peluh boleh berkumpul pada kawasan ini.
  2. Basuh batang zakar anda dengan baik.
  3. Jika anda tidak bersunat, pastikan anda tarik sedikit kulit ketika membasuhnya. Ia boleh menghalang smegma daripada terbentuk.
  4. Basuh bahagian skrotum dan kulit di sekelilingnya.
  5. Jangan lupa juga basuh di kawasan dubur.

Masa terbaik untuk cuci kawasan alat kelamin lelaki adalah ketika mandi.

Bila lelaki perlu berjumpa doktor?

kesihatan zakar

Secara idealnya, lelaki haruslah berjumpa doktor sekali setahun untuk memastikan kesihatan kemaluan sentiasa terjaga.

Selain itu, jika lelaki mengalami masalah kemaluan seperti:

  1. Zakar lebam.
  2. Keluar cecair berwarna kuning, hijau atau sesuatu yang abnormal daripada zakar.
  3. Zakar bengkak atau alami inflamasi.
  4. Kudis atau luka pada kawasan kemaluan.
  5. Rasa sakit, pedih atau keluar darah ketika membuang air kecil.
  6. Rasa sakit ketika melakukan seks.
  7. Sakit ketika mengalami ereksi.
  8. Sukar untuk mengekalkan ereksi.

Pastikan anda sentiasa memeriksa kawasan alat kelamin lelaki untuk mengenal pasti tanda-tanda jangkitan. Jika anda mengalami sebarang kerisauan mengenai kesihatan zakar, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 6 hari lalu