backup og meta

Gemar Berbasikal? Hati-Hati, Ini Salah Satu Faktor Risiko Mati Pucuk!

Gemar Berbasikal? Hati-Hati, Ini Salah Satu Faktor Risiko Mati Pucuk!

Masalah tenaga batin dalam kalangan kaum Adam merupakan sesuatu yang amat merisaukan. Manakan tidak, kesan mati pucuk atau menghidap disfungsi erektil merupakan satu mimpi ngeri.

Untuk pengetahuan anda, masalah tenaga batin atau kesan mati pucuk jarang berlaku tanpa sebab. Selalunya, ia berlaku disebabkan beberapa faktor lain.

Di dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan mengenai faktor risiko masalah disfungsi erektil. Teruskan pembacaan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual sila dapatkannya di sini.

Kesan mati pucuk, apakah faktor risikonya?

Penyakit dan kondisi yang menyebabkan kesan mati pucuk

Tahukah anda, ada beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko masalah disfungsi erektil? Umur merupakan faktor utama, namun ada beberapa lagi faktor lain yang mungkin anda sendiri tidak sangka!

Antaranya adalah penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan darah tinggi. Tekanan perasaan dan stress juga boleh membuatkan lelaki mengalami masalah tenaga batin.

1. Diabetes dan penyakit jantung

Masalah disfungsi erektil merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan lelaki yang menghidap diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2.

Menurut sebuah kajian di dalam jurnal Diabetes Medicine, hampir separuh lelaki yang menghidap diabetes akan mengalami masalah tenaga batin.

Tahap gula dalam darah yang tinggi berpunca dari penyakit diabetes menyebabkan saluran darah dan saraf pesakit rosak, termasuk salur darah yang berada di sekitar zakar.

Lebih lama lelaki tersebut mengalami kencing manis, maka lebih tinggilah risiko untuk mengalami disfungsi erektil.

Malah, prevalens kesan mati pucuk dalam kalangan lelaki adalah sebanyak 35-75% dan boleh berlaku 10-15 tahun lebih awal berbanding lelaki yang tidak menghidap diabetes.

Sakit jantung dan diabetes juga merupakan sesuatu yang berkait rapat antara satu sama lain. Malah, penyakit arteri koronari sebenarnya merupakan salah satu komplikasi penyakit diabetes.

Untuk pengetahuan anda, lelaki yang menghidap penyakit arteri koronari mempunyai 9 kali ganda risiko untuk mengalami masalah mati pucuk.

tanda kolesterol tinggi

2. Masalah mati pucuk kesan tekanan darah tinggi

Menurut laman sesawang European Society of Cardiology, lelaki yang tidak merawat penyakit tekanan darah tinggi akan mempunyai masalah tenaga batin pada masa hadapan.

Malah, mereka dua kali ganda lebih berisiko untuk menghidap disfungsi erektil berbanding lelaki yang mempunyai tekanan darah normal.

Tambah lagi, ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat masalah darah tinggi juga boleh menjadi penyebab masalah mati pucuk.

Jika ini yang berlaku, masalah ini perlulah dirujuk pada doktor secepat mungkin. Doktor boleh menukar ubat tersebut kepada ubat lain yang tidak akan memberikan anda kesan sampingan yang sama.

3. Kondisi psikologikal

punca mati pucuk

Stres dan tekanan perasaan merupakan dalang utama bagi masalah lemah syahwat atau tenaga batin. Malah, mati pucuk merupakan salah satu kesan negatif stres yang melampau. 

Sebagai contoh, depresi, kegelisahan, PTSD dan juga masalah untuk mengawal kemarahan semuanya boleh mempengaruhi keupayaan lelaki untuk mengekalkan ereksi dan ejakulasi.

Faktor gaya hidup

Selain penyakit, gaya hidup seseorang juga boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap mati pucuk.

1. Masalah tenaga batin disebabkan penyalahgunaan dadah

Penyalahgunaan dadah yang berpanjangan boleh menyebabkan kecederaan yang serius terhadap salur darah. Akibatnya, individu tersebut akan lebih terdedah untuk mengalami masalah disfungsi erektil.

Perkara ini termasuklah amalan seperti:

  1. Pengambilan alkohol secara berlebihan.
  2. Merokok.
  3. Kokain.
  4. Marijuana.
  5. Opiate.

2. Gemar berbasikal mungkin punca mati pucuk

kesan mati pucuk

Mungkin ramai yang tidak sangka, mati pucuk boleh menjadi kesan daripada amalan menunggang basikal dalam jangka masa yang lama.

Apabila menaiki basikal, berat badan lelaki akan tertumpu pada kawasan perineum. Di kawasan ini, ada banyak saluran darah penting yang membawa oksigen kepada zakar lelaki.

Kadangkala, aktiviti berbasikal boleh menyebabkan kecederaan pada saluran darah ini. Akibatnya, lelaki tersebut akan mengalami masalah tenaga batin atau disfungsi erektil.

Walau bagaimanapun, aktiviti berbasikal lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan untuk kaum Adam.

Kesimpulan

Masalah tenaga batin merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius oleh kaum Adam. Jika mati pucuk atau disfungsi erektil berlaku disebabkan penyakit, anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Ingat, mati pucuk boleh dirawat asalkan anda mengambil ubat-ubatan dan melakukan rawatan yang bersesuaian.

Oleh sebab itu, jangan hilang harapan. Selepas rawatan, tidak mustahil kehidupan anda akan kembali normal.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. How to treat high blood pressure without ruining your sex life. https://www.escardio.org/The-ESC/Press-Office/Press-releases/how-to-treat-high-blood-pressure-without-ruining-your-sex-life. Accessed June 18, 2021.
  2. Erectile Dysfunction. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/erectile-dysfunction. Accessed June 18, 2021.
  3. Erectile Dysfunction. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/erectile-dysfunction/symptoms-causes/syc-20355776. Accessed June 18, 2021.
  4. What is Erectile Dysfunction? https://www.saintjohnscancer.org/urology/conditions/erectile-dysfunction/. Accessed June 18, 2021.
  5. Erectile Dysfunction (ED). https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/e/erectile-dysfunction-(ed). Accessed June 18, 2021.

Versi Terbaru

28/04/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Lelaki Yang Ada Masalah MATI PUCUK Boleh Cuba Herba Kambing Ini, BERKESAN!

Suami Salahkan Isteri Tak Menarik, Sebab Tu 'Adik' Lembik? Ini Mitos & Fakta Mati Pucuk


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/04/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan