Kaki kebas merupakan antara tanda tanda diabetes pada kaki yang sering berlaku kepada penghidap diabetes. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sedang mengalami tanda tanda diabetes pada kaki ini pada peringkat awal.
Jadi bagaimana untuk tahu sekiranya kita sedang alami kaki kebas atau tidak?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Buat ujian sensitiviti ini untuk kesan tanda tanda diabetes pada kaki
Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami tanda kencing manis pada kaki seperti kaki kebas pada permulaan menghidap diabetes.
Sebenarnya, anda boleh melakukan ujian sensitiviti kaki di rumah sahaja untuk melihat sama ada kaki anda masih boleh merasa sesuatu atau tidak.
Sensitiviti pada kaki ini amatlah penting kerana ia merupakan salah satu cara tubuh badan anda mengesan sebarang bahaya yang mungkin ada sewaktu anda berjalan.
Kesakitan yang dialami akan memberitahu anda bahawa anda sedang tercedera dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera.
Untuk pengetahuan anda, ujian sensitiviti ini dinamakan sebagai Ipswich Touch Test atau Ujian Sentuhan Ipswich. Ia telah direka oleh Gerry Rayman dan juga kumpulannya di Hospital Ipswich, England.
Mengapa anda perlu lakukan ujian sensitiviti kaki ini?
Sekiranya anda menghidap diabetes dan kerap berasa kebas pada kaki, anda tidak akan menyedari bahawa kaki anda sebenarnya sudah tercedera jika terpijak sesuatu yang berbahaya.
Perkara ini pastinya akan menjadi lebih buruk jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal kerana ia boleh menyebabkan jangkitan yang serius.
Malah, ia boleh mendorong kepada amputasi atau pemotongan kaki.
Oleh itu, bagi mengesan tanda tanda diabetes pada kaki, anda sangat digalakkan untuk melakukan ujian sensitiviti ini.
Tanda tanda diabetes pada kaki: Ini cara untuk buat ujian sensitiviti kaki
Ujian ini sangat mudah dan pantas untuk dilakukan. Namun, anda memerlukan pertolongan individu lain yang akan membantu menyentuh kaki anda dan mencatatkan hasil ujian.
Pembantu ini akan menyentuh tiga jari pada setiap kaki anda dan dia akan mencatatkan bilangan sentuhan yang telah anda rasakan.
Perlu diingat, pembantu anda perlu menyentuh jari kaki anda selembut yang boleh dan tidak melebihi dua saat.
Pembantu anda juga tidak boleh menyentuh setiap jari kaki lebih daripada satu sentuhan.
Ini cara-caranya:
- Tanggalkan stoking kaki anda dan berbaring mengikut keselesaan anda sama ada di atas sofa, katil atau lantai.
- Pembantu anda akan mengingatkan anda berkenaan yang mana satu kaki kiri dan kaki kanan anda. Mereka boleh mengingatkan anda dengan cara menyentuh setiap kaki sambil berkata, “Ini kaki kiri” dan “Ini kaki kanan”.
- Tutup mata anda dan pastikan anda menutupnya sehinggalah ujian ini selesai. Anda hanya perlu memberikan respons dengan berkata “kanan” atau “kiri” sejurus anda merasakan sentuhan pada kaki kiri dan kanan anda.
- Sekarang pembantu anda akan mula menyentuh jari kaki anda dengan menggunakan jari telunjuknya. Pembantu anda boleh mula menyentuh jari kaki anda mengikut turutan seperti gambar di bawah ini:
- Anda perlu menyebut “kanan” atau “kiri” sewaktu anda merasakan sentuhan pada jari kaki. Sekiranya sensitiviti kaki anda sudah mula hilang atau kebas, anda tidak akan merasakan sentuhan tersebut.
- Pembantu anda akan mencatatkan hasil ujian anda.
Maksud hasil ujian sensitiviti
Sekiranya anda merasakan sentuhan pada lima atau enam jari, ini bermakna sensitiviti kaki anda masih berada dalam keadaan yang baik.
Anda mungkin tidak akan mengalami peningkatan risiko untuk mendapat masalah atau tanda tanda diabetes pada kaki.
Namun, anda masih lagi perlu membuat pemeriksaan kaki secara berkala bersama doktor untuk memastikan anda tidak mendapat masalah lain berkaitan diabetes pada kaki.
Jika anda hanya merasakan sentuhan pada empat jari atau kurang daripada jumlah tersebut, ini bermaksud bahawa kaki anda sudah mula mengalami kekurangan sensitiviti dan kerap mengalami kebas.
Risiko anda untuk mendapat ulser kaki juga semakin tinggi.
Dapatkan kepastian daripada doktor yang merawat anda melalui pemeriksaan penuh.
Sekiranya doktor mengesahkan bahawa kaki anda sudah kehilangan sensitiviti, anda akan dirujuk kepada pakar kaki pesakit diabetes bagi membantu anda menguruskan keadaan tersebut.
Buat ujian sentuhan lebih awal untuk kurangkan komplikasi diabetes
Kaki kebas merupakan antara tanda kencing manis pada kaki yang sering diabaikan oleh ramai individu.
Mereka mungkin menganggap bahawa kebas kaki yang dialami itu merupakan satu perkara yang normal.
Oleh sebab itu, ujian sentuhan kaki ini amat penting untuk menentukan tanda tanda diabetes pada kaki anda pada peringkat awal.
Jika tanda diabetes ini dapat dikesan lebih awal, maka rawatan dapat diberikan dengan lebih pantas dan seterusnya mengurangkan risiko komplikasi diabetes yang lain.
[embed-health-tool-bmi]