backup og meta

Makan Kena Beringat, Penghidap Diabetes Perlu Ikut 5 Tip Ini Jika Datang Majlis Kenduri!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/11/2022

    Makan Kena Beringat, Penghidap Diabetes Perlu Ikut 5 Tip Ini Jika Datang Majlis Kenduri!

    Apabila tiba musim perayaan atau sambutan besar-besaran, pasti ramai rakan-rakan yang menganjurkan kenduri kecil atau rumah terbuka. Begitu juga sewaktu cuti sekolah, pelbagai jemputan kenduri kahwin diterima. Bagi mereka yang menghidap kencing manis, ada beberapa tip pengurusan dan diet utk diabetes yang boleh anda ikuti sewaktu kenduri seperti ini. Ia bertujuan supaya anda boleh mengawal tanda tanda diabetes yang dialami.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Penghidap diabetes perlu sentiasa berhati-hati ketika datang kenduri

    Acara-acara sosial seperti kenduri kahwin, rumah terbuka atau kenduri doa selamat merupakan satu majlis yang mempertemukan kita dengan ahli komuniti yang lain.

    Pada waktu ini, biasanya akan dihidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk dijamu kepada semua tetamu yang hadir.

    Namun, sebagai seorang yang menghidap diabetes, anda tidak boleh makan dengan sewenang-wenangnya.

    Jika tidak, pastinya gula darah anda akan mencanak naik.

    Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang anda untuk terus hadir dan menikmati makanan di kenduri selagi mana anda tahu apa yang boleh dan tidak boleh dimakan. 

    5 tip diet utk diabetes ketika hadir ke kenduri

    Anda perlu ikuti 5 tip ini sewaktu hadir ke kenduri atau majlis sosial bagi mengawal paras gula darah anda:

    #1. Bawa potluck anda sendiri

    diet utk diabetes

    Jika ada rakan-rakan atau jiran yang menjemput anda hadir ke kenduri rumah mereka, anda boleh bertanya sekiranya anda boleh membawa bersama hidangan potluck yang disediakan dari rumah.

    Cara ini juga lebih menarik kerana anda dapat menikmati pelbagai jenis hidangan lain yang dibawa bersama oleh tetamu yang hadir.

    Sekiranya anda atau rakan-rakan anda ingin menganjurkan majlis makan-makan kecil, anda boleh tawarkan untuk menganjurkannya di rumah anda.

    Dengan itu, anda boleh menyediakan diet utk diabetes yang bersesuaian dengan penyakit kencing manis.

    #2. Rancang sebelum hadir ke majlis

    Sebelum anda keluar pergi ke majlis tersebut, pastikan anda menyemak paras gula terlebih dahulu.

    Jika anda memandu sendiri kenderaan ke lokasi majlis, adalah amat berbahaya jika gula darah berada pada paras yang terlalu rendah.

    Ini merupakan antara perancangan awal yang paling utama.

    Selain itu, jika majlis diadakan di restoran, pastikan anda menyemak dahulu menu yang tersedia menerusi laman web restoran tersebut.

    Dengan itu, anda tahu apakah jenis makanan yang boleh serta akan anda tempah dan makan. 

    #3. Bawa bersama glukometer

    Anda juga disarankan untuk membawa bersama glukometer ketika hadir ke kenduri.

    Diet utk diabetes tidak hanya melibatkan jenis makanan yang dimakan, tetapi juga pemantauan paras gula darah secara berkala.

    diet utk diabetes

    Oleh sebab itu, glukometer perlu dibawa bersama terutama sekali jika anda hadir ke kenduri di tempat yang jauh dan mengambil masa yang agak lama.

    Anda boleh menyemak paras gula darah sebelum dan selepas menikmati hidangan di majlis kenduri tersebut. 

    #4. Ambil minuman rendah gula

    Menjadi kebiasaan dalam mana-mana kenduri, minuman yang disediakan sememangnya jenis minuman bergula yang manis.

    Malah, minuman disediakan dengan pelbagai jenis dan perisa.

    Ini sememangnya satu godaan ngeri buat mereka yang menghidap diabetes kerana ia bukanlah diet utk diabetes yang baik.

    Namun, anda masih boleh menikmatinya jika anda tahu teknik yang betul.

    Pertama, ambil separuh cawan sahaja minuman manis, dan tambahkan dengan air kosong atau air mineral.

    Kedua, banyakkan pengambilan sup berbanding air manis untuk mengenyangkan perut anda. 

    #5. Makan bersama individu lain yang menghidap diabetes

    diet utk diabetes

    Bagi memastikan anda tidak terlupa rutin pengurusan gula darah anda, anda boleh duduk dan makan bersama-sama ahli keluarga atau jiran-jiran yang mempunyai diabetes.

    Dengan itu, anda boleh saling mengingatkan antara satu sama lain ketika menikmati hidangan yang disediakan.

    Anda juga boleh berkongsi tip dan resipi diet utk diabetes bersama mereka. 

    Kesimpulan

    Tanda tanda diabetes boleh dikawal jika anda tahu menguruskan paras gula anda sewaktu hadir ke kenduri.

    Nikmatilah masa bersama rakan-rakan dan jiran sewaktu berada di sesuatu majlis makan-makan.

    Tetapi pastikan anda mengawal pemakanan anda sepanjang masa di sana. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan