Media sosial dan teknologi mengubah cara manusia berinteraksi. Kini jarak dan tempat tidak lagi menjadi halangan untuk kekal berhubung. Dengan hanya satu klik di hujung jari, jaringan interaksi sosial maya membolehkan anda kekal terhubung dengan orang lain tanpa mengira waktu.
Penggunaan teknologi moden juga mengubah persekitaran perkembangan anak anda. Berbeza dengan generasi terdahulu yang hanya mengenal gajet dan teknologi di usia dewasa, anak anda mungkin terdedah kepada penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer daripada usia bayi lagi. Oleh itu, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa mengetahui kesan penggunaan gajet kepada perkembangan mental anak anda.
Kaitan langsung antara penggunaan gajet dan kemerosotan kesihatan mental remaja masih diperdebatkan antara saintis. Masalah seperti kemurungan dan keresahan adalah masalah kesihatan yang rumit. Genetik, persekitaran, trauma masa lalu, dan masalah buli boleh memainkan peranan.
Namun, satu perkara yang pasti, statistik menunjukkan terdapat peningkatan dalam kemerosotan psikologi remaja selari dengan peningkatan penggunaan telefon pintar. Telefon pintar mungkin bukan satu-satunya faktor penyumbang kepada masalah ini, tetapi boleh meningkatkan risikonya.
Masalah kekurangan tidur
Berdasarkan kajian, hampir 80% remaja tidur dengan telefon pintar mereka di sisi dan menggunakannya sebagai jam loceng. Secara purata, mereka menghantar 34 mesej selepas berbaring di atas katil untuk tidur.
Sesetengah pakar tidur memberi amaran bahawa waktu tidur remaja boleh terganggu dengan lampu daripada skrin telefon yang menghalang mereka mencapai tidur nyenyak. Memandangkan rima sirkadian atau kitaran tidur/jaga tidak dapat membezakan cahaya matahari dan skrin gajet, cahaya tersebut boleh mengelirukan otak menyebabkan masalah tidur.
Penggunaan gajet menyebabkan 45% remaja mendapat tidur kurang daripada 8 jam yang mereka perlukan. Kekurangan tidur memberi kesan psikologi kepada remaja termasuklah mudah marah, kemahiran sosial terjejas dan memori lemah yang boleh memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka. Risiko diabetes, tekanan darah tinggi, penambahan berat badan dan kemurungan juga dilaporkan meningkat dengan kekurangan tidur.
Kemurungan facebook
Kemurungan facebook merujuk kepada fenomena akibat menghabiskan masa secara berlebihan pada laman media sosial. Dalam remaja yang sihat bersosial, penggunaan media sosial dikaitkan dengan peningkatan hubungan sosial tetapi sebaliknya dalam remaja yang berisiko mengalami kemurungan.
Namun, remaja dan orang dewasa yang normal pun berisiko mengalami masalah mood dan kepuasan hidup jika menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial. Lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja yang mempunyai masalah keyakinan diri. Ini disebabkan ilusi kesempurnaan hidup yang dipamerkan menyebabkan masing-masing berasa tidak memenuhi jangkaan hidup mereka.
Sindrom Swafoto
Dalam sebuah kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, hampir 91% remaja mempamerkan gambar mereka di sosial media. Kaji selidik tentang imej diri oleh AOL.com dan TODAY Show mendapati 65% remaja perempuan berasa selfie atau swafoto menambah keyakinan diri mereka. Namun 53% merasakan foto mereka yang dimuat naik oleh orang lain membuatkan mereka berasa buruk.
Disebabkan itu remaja terus berusaha mempamerkan imej diri mereka yang terbaik melalui swafoto, menambahkan lagi masalah narsisisme. Narsisisme mencerminkan imej diri yang diperbesarkan yang sebenarnya menyembunyikan masalah tidak yakin diri.
Di samping keinginan untuk swafoto ‘sempurna’, remaja juga boleh terjebak dalam menghantar swafoto bogel atau secara seksual kepada seseorang atau menerima foto seksual daripada seseorang. Ini mendedahkan mereka kepada pemangsa seperti pedofilia.
Komunikasi dan Tumpuan
Penyelidik dalam neurobiologi menyatakan bahawa remaja yang memanfaatkan teknologi mungkin dapat melakukan pelbagai tugas pada masa yang sama, tetapi kemasukan maklumat baru yang berterusan sebenarnya boleh mengakibatkan ketidakupayaan
menumpukan dan menapis maklumat, serta meningkatkan tekanan perasaan.
Antara risiko lain yang turut meningkat adalah kesusahan sesetengah remaja memahami nuansa komunikasi dan emosi dalam interaksi sebenar. Disebabkan mereka banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, mereka lebih menggemari komunikasi dengan respon laju dan pantas.
Satu kajian melaporkan bahawa pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja rumah mereka untuk lebih daripada 2 minit tanpa perhatian mereka dialihkan oleh gajet mereka. Apa yang perlu dirisaukan adalah kemungkinan generasi remaja masa kini akan belajar bukan secara mendalam seperti generasi sebelumya kerana ketidakmampuan mereka memproses maklumat secara mendalam disebabkan gangguan-gangguan sewaktu belajar.
Peranan ibu bapa: kawalan dan didikan
Sesetengah pakar melihat cabaran utama dalam dunia keibubapaan masa kini bukanlah teknologi itu sendiri, sebaliknya lebih tentang bagaimana remaja menggunakan teknologi.
Menetapkan had penggunaan teknologi adalah penting untuk keseluruhan keluarga-bukan hanya untuk anak-anak. Kebanyakan pakar bersetuju bahawa penggunaan teknologi secara bersederhana adalah penting untuk semua peringkat umur dan ibu bapa mesti mengawasi tabiat penggunaan gajet mereka sendiri sebagai contoh ikutan yang sihat kepada anak-anak.
Berikan galakkan kepada anak anda untuk terlibat dengan aktiviti luar dan aktiviti keluarga. Tetapkan had kepada anak anda seperti penetapan menutup telefon pada waktu tidur, atau mengecas telefon semalaman di bilik lain. Ibu bapa juga wajar mendidik anak mereka bahawa tentang penggunaan telefon pintar secara sihat.
[embed-health-tool-child-growth-chart]