Menggunakan pelembap
Sebaik sahaja anak anda selesai mandi, lapkan badannya dengan cepat dan sapukan pelembap segera. Tindakan meletakkan pelembap dalam tempoh beberapa minit selepas mandi akan dapat membantu mengekalkan air yang terdapat pada kulitnya. Sekiranya kulit anak kering lagi walaupun telah diletakkan pelembap harian, cuba beralih daripada losyen kepada penggunaan krim atau salap (ointment).
Salap merupakan satu pilihan terbaik dalam membantu mengekalkan kelembapan kulit tetapi ia boleh menyebabkan anak anda berasa berminyak. Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan ketidakselesaan kepada anak. Cara yang terbaik, pastikan anda menggunakannya dalam kuantiti yang sedikit dan gosokkan pada kulit dengan perlahan.
Penggunaan pelembap dua kali sehari juga dapat membantu mengurangkan masalah kulit anak kering. Sapukan sekali selepas mandi pagi dan sekali ketika waktu tengah hari.
Elakkan minyak zaitun atau minyak bunga matahari
Minyak zaitun merupakan antara pilihan tradisional bagi kegunaan mengurut bayi. Tetapi ada kajian yang mengatakan kepekatan asid oleik (acid oleic) yang tinggi dalam minyak zaitun dapat merosakkan lapisan penghalang kulit dan berpotensi mendatangkan lebih mudarat kepada keadaan sedia ada. Malahan ia cenderung menyebabkan perkembangan masalah ekzema atopik.
Elakkan garam atau klorin
Air garam ataupun air yang mengandungi klorin boleh menyebabkan kulit menjadi sangat kering. Jadi jika anda membawa si kecil mandi laut atau kolam renang, pastikan anda membilas badan mereka dengan air paip setelah selesai mandi. Jangan lupa untuk menyapu pelembap ketika kulit si kecil masih dalam keadaan lembap.
Gunakan humidifier
Jika berkemampuan, anda boleh menggunakan pelembap kabut sejuk (cool mist humifier) di kediaman anda. Sudah tentu fungsinya adalah untuk membantu melembapkan udara dan sekali gus mengurangkan masalah kulit anak yang kering.
Air yang mencukupi
Jika kulit anak kering, ini bermakna kadar kelembapan dalam badan mereka adalah tidak mencukupi. Pastikan si kecil minum air dengan secukupnya untuk menggantikan kelembapan yang tersejat daripada kulit mereka.
Sekiranya si kecil anda masih bayi, kekalkan dengan rutin menyusu badan atau susu formula untuk enam bulan pertama, melainkan doktor menasihatkan untuk memberikan air kepada bayi atas sebab-sebab tertentu.
Tetapi, minum air dalam jumlah yang banyak masih tidak akan dapat membantu mengatasi masalah kulit anak kering jika anda tidak membantu melembapkan kulit mereka dengan pelembap.
Cuaca panas
Berada di Malaysia, bererti anda tidak dapat lari daripada cuaca sejuk dan panas sepanjang tahun. Tetapi itu tidak bermakna anda boleh mengambil mudah mengenainya. Pastikan anda mengambil langkah penjagaan dengan melindungi si kecil daripada terkena selaran matahari atau cuaca panas secara berlebihan.
Bahan-bahan tertentu
Elakkan daripada meletakkan bedak atau minyak wangi secara langsung kepada kulit anak anda. Sebaiknya anda disarankan untuk menggunakan produk pencuci tanpa pewangi atau produk pencuci khusus untuk bayi dan kanak-kanak. Ini terutamanya jika anak anda mempunyai kulit yang sensitif.
Pakaian dan kuku
Jika kulit anak anda sangat sensitif, jangan biarkan anak memakai pakaian yang ketat atau material kasar. Juga perlu diingat bahawa beberapa material kain, seperti bulu, boleh menjadi sangat menjengkelkan kepada kulit kering. Pastikan kuku si manja sentiasa dipotong rapi dan pendek, jika kegatalan adalah masalah utama mereka.
Kesimpulannya
Jika kulit anak kering, pastikan anda tidak menganggap ia sebagai satu masalah remeh. Jika kita sebagai individu dewasa akan berasa stres apabila berdepan dengan rasa gatal dan tidak selesa akibat kulit kering atau kulit sensitif, bayangkan pula perasaan si kecil yang mengalaminya?
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.