backup og meta

Terencat Akal

Definisi

Apa itu Terencat Akal?

Kecacatan intelektual, yang dahulunya dikenali sebagai kecacatan mental yang dicirikan dengan kecerdasan atau keupayaan mental di bawah purata normal  dan kekurangan kemahiran yang diperlukan untuk kehidupan seharian. Orang kurang upaya ini dapat belajar kemahiran baru, tetapi mereka belajar dengan lebih perlahan. Terdapat pelbagai tahap kecacatan intelektual, dari sederhana hingga teruk.

Kes yang teruk didiagnosis sewaktu kelahiran. Walau bagaimanapun, anda mungkin tidak menyedari anak anda mempunyai kerencatan akal sehingga mereka gagal memenuhi matlamat pertumbuhan yang normal. Hampir semua kes terencat akal didiagnosis sewaktu kanak-kanak mencapai umur 18 tahun.

Seseorang yang mempunyai kecacatan intelektual mempunyai batasan dalam dua bidang. Bidang-bidang ini adalah:

  • Fungsi intelek. Juga dikenali sebagai IQ, ini merujuk kepada keupayaan seseorang untuk belajar, membuat pertimbangan, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah.
  • Penyesuaian diri. Ini adalah kemahiran yang diperlukan untuk kehidupan sehari-hari, seperti berkomunikasi dengan berkesan, berinteraksi dengan orang lain, dan menjaga diri sendiri.

Apakah kebarangkalian Terencat Akal?

Terencat akal boleh berlaku di semua peringkat umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Terencat Akal?

Simptom-simptom biasa adalah:

  • Kegagalan untuk memenuhi tahap biasa intelektual;
  • Duduk, merangkak, atau berjalan lebih lewat dari anak-anak lain;
  • Masalah belajar bercakap atau masalah bercakap dengan jelas;
  • Masalah mengingat;
  • Gagal untuk memahami akibat sesuatu tindakan;
  • Ketidakupayaan untuk berfikir secara logik;
  • Tingkahlaku kebudak-budakan yang tidak seiring dengan usianya;
  • Kurang rasa ingin tahu;
  • Masalah pembelajaran;
  • IQ di bawah 70;
  • Ketidakupayaan untuk menjalani kehidupan yang normal disebabkan oleh ketidakupayaan berkomunikasi, menjaga diri, atau berinteraksi dengan orang lain.

Jika anak anda mempunyai terencat akal, mereka mungkin akan mengalami beberapa isu tingkah laku seperti berikut:

  • Bertindak agresif;
  • Kebergantungan terhadap orang lain;
  • Menyisihkan diri dari aktiviti sosial;
  • Tingkah laku mencari perhatian;
  • Kemurungan pada zaman remaja;
  • Kurang kawalan impuls;
  • Bersikap pasif;
  • Kecenderungan untuk mencederakan diri;
  • Kedegilan;
  • Kurang keyakinan diri;
  • Toleransi yang rendah terhadap kekecewaan;
  • Gangguan psikotik;
  • Kesukaran memberi perhatian.

Dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai kecacatan intelektual yang teruk, mungkin terdapat masalah kesihatan lain juga. Masalah ini termasuklah sawan, gangguan mod (kebimbangan, autisme, dsb.), kemerosotan fungsi motor, masalah penglihatan, atau masalah pendengaran.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengalami mana-mana simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai apa-apa soalan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara yang berbeza. Oleh itu, sebaiknya anda berbincang dengan doktor tentang apa yang terbaik dalam situasi anda.

Punca

Apakah Punca Terencat Akal?

Penyebab terencat akal yang umum adalah:

  • Keadaan genetik: Hal ini termasuk perkara seperti sindrom Down dan sindrom X rapuh.
  • Masalah sewaktu kehamilan: Perkara yang boleh mengganggu perkembangan otak janin iaitu penggunaan alkohol atau dadah, kekurangan zat makanan, jangkitan tertentu, atau pre-eklampsia.
  • Masalah semasa melahirkan anak: Kecacatan intelektual mungkin berlaku jika bayi kekurangan oksigen sewaktu bersalin atau dilahirkan pramatang.
  • Penyakit atau kecederaan: Jangkitan seperti meningitis, batuk kokol, atau campak boleh menyebabkan kecacatan intelektual. Kecederaan kepala yang teruk, hampir lemas, malnutrisi yang melampau, jangkitan di otak, pendedahan kepada bahan toksik seperti plumbum, dan pengabaian atau penderaan yang teruk juga boleh menyebabkannya.
  • Tidak diketahui: Dalam dua pertiga daripada semua kanak-kanak yang mempunyai kecacatan intelektual, puncanya tidak diketahui.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Terencat Akal?

Terdapat banyak faktor risiko bagi terencat akal, seperti:

  • Mempunyai ahli keluarga, seperti ibu bapa atau adik-beradik, dengan penyakit mental.
  • Situasi kehidupan yang tertekan, seperti masalah kewangan, kematian seseorang yang dicintai atau perceraian;
  • Penyakit (kronik) yang berterusan, seperti kencing manis;
  • Kerosakan otak akibat kecederaan serius (traumatik), seperti pukulan yang kuat ke kepala;
  • Pengalaman traumatik, seperti pertempuran tentera atau diserang;
  • Menggunakan alkohol atau menyalahgunakan ubat-ubatan rekreasi;
  • Didera atau diabaikan sewaktu kanak-kanak;
  • Mempunyai sedikit kawan atau hubungan yang sihat;
  • Mempunyai sejarah penyakit mental.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Terencat Akal didiagnosis?

Bagi membuat diagnosis terencat akal, anak anda mesti mempunyai kemahiran intelektual dan skil penyesuaian diri di bawah purata normal. Doktor tersebut akan melakukan penilaian yang terdiri daripada tiga bahagian:

  • Temu bual dengan anda;
  • Pemerhatian ke atas anak anda;
  • Ujian piawai.

Anak anda akan diberikan ujian kecerdasan standard, seperti Ujian Kecerdasan Stanford-Binet. Ini akan membantu doktor menentukan IQ anak anda. Doktor juga boleh mengendalikan ujian lain seperti Vineland Adaptive Behavior Scales. Ujian ini menilai tahap kemahiran hidup harian dan kemahiran sosial anak anda, berbanding dengan anak-anak lain dalam kumpulan umur yang sama.

Adalah penting untuk diingatkan bahawa kanak-kanak dari pelbagai budaya dan status sosioekonomi boleh mendapat keputusan yang berbeza bagi ujian ini. Untuk membuat diagnosis, doktor anak anda akan mengambil kira keputusan ujian, temu ramah dengan anda, dan pemerhatian ke atas anak anda.

Ujian makmal dan pengimejan juga boleh dilakukan. Hal ini dapat membantu doktor mengesan gangguan metabolik dan genetik, serta masalah dalam struktur otak anak anda. Keadaan lain, seperti hilang pendengaran, gangguan pembelajaran, gangguan neurologi, dan masalah emosi juga boleh melambatkan perkembangannya. Jika bayi mempunyai masalah fizikal yang menandakan gangguan genetik atau metabolik, pelbagai ujian boleh dilakukan untuk mengesahkan diagnosis. Hal ini termasuk ujian darah, ujian air kencing, pengimejan untuk mencari masalah struktur di otak, atau elektroenkefalogram (EEG) untuk mencari petanda sawan. Doktor anak anda harus menyingkirkan simptom-simptom ini sebelum mendiagnosis anak anda sebagai kecacatan intelektual.

Bagi kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan, doktor akan melakukan ujian untuk mengesan dan menyingkirkan masalah lain, termasuk masalah pendengaran dan gangguan neurologi tertentu. Sekiranya tiada sebab lain ditemui bagi menjelaskan kelewatan tersebut, anak akan dirujuk untuk membuat ujian formal.

Bagaimana pesakit Terencat Akal dirawat?

Anak anda mungkin memerlukan kaunseling yang berterusan untuk membantu mereka menghadapi situasi mereka. Anda akan mendapat pelan perkhidmatan keluarga yang menjelaskan keperluan anak anda. Pelan ini juga akan memperinci perkhidmatan yang anak anda perlukan untuk membantu mereka dalam pertumbuhan yang normal. Selain itu, keperluan keluarga anda juga akan dimasukkan dalam pelan tersebut.

Matlamat utama rawatan adalah untuk membantu anak anda mencapai potensi diri sepenuhnya dari segi pendidikan, kemahiran sosial dan kemahiran hidup. Rawatannya merangkumi terapi tingkah laku, terapi pekerjaan, kaunseling, dan dalam beberapa kes, penggunaan ubat.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Terencat Akal?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda menghadapi terencat akal:

  • Ketahui sebanyak mungkin tentang kecacatan intelektual: Semakin banyak yang anda tahu,  semakin baik anda boleh menjaga anak anda.
  • Galakkan anak anda untuk berdikari: Biarkan anak anda mencuba perkara baru dan galakkan mereka melakukan sesuatu perkara dengan sendirinya. Berikan bimbingan apabila diperlukan dan maklum balas positif apabila anak anda melakukan sesuatu yang baik atau mahir dalam perkara baru.
  • Pastikan anak anda terlibat dalam aktiviti kumpulan: Mengambil kelas seni atau menyertai persatuan pengakap akan membantu anak anda membina kemahiran sosial.
  • Pastikan anda sentiasa terlibat: Dengan cara berhubung dengan guru anak anda, anda akan dapat mengikuti kemajuannya dan memperkukuh apa yang anak anda belajar di sekolah melalui amalan di rumah.
  • Mengenali ibu bapa kanak-kanak lain yang cacat intelek: Mereka boleh menjadi sumber nasihat dan sokongan emosi yang bagus.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Intellectual Disability. http://www.webmd.com/parenting/baby/intellectual-disability-mental-retardation#1. Accessed November 6, 2016
What causes mental retardation? 17 possible conditions. http://www.healthline.com/symptom/mental-retardation. Accessed November 6, 2016

Versi Terbaru

17/11/2022

Ditulis oleh Tyasyurrun Nazirin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Anak Kerap Demam? Ketahui 5 Punca Utama Kenapa Si Kecil Demam Berulang!

Apa Kesan Selepas Anak Makan Ubat Cacing? Ibu Bapa, Tolong Ambil Perhatian!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Tyasyurrun Nazirin · Disemak pada 17/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan