Ini Tinggi Ideal Untuk Anak &3 Tip Ramal Ketinggian Saat Mereka Dewasa Nanti
Pernah terfikir tinggi badan anak yang ideal? Jangan risau dalam perkongsian artikel ini, anda akan mengetahui tinggi anak 2 tahun hingga usia 5 tahun yang bersesuaian dengan usia. Jom teruskan pembacaan!

Tumbesaran tinggi badan anak
Pertumbuhan secara umumnya tidak hanya melibatkan panjang dan berat badan anak, tetapi ia turut meliputi tumbesaran dan perkembangan dalaman seperti aspek mental dan emosi si kecil.
Proses pertumbuhan otak anak paling pesat pada 5 tahun pertama kehidupan mereka, yang mencapai sehingga 90% daripada saiz akhir tumbesaran.
Pertumbuhan juga akan mempengaruhi bahagian tubuh berbeza pada kadar tumbesaran yang berlainan.
Tumbesaran dan perkembangan anak akan lengkap apabila mereka mencapai usia antara 16 hingga 18 tahun.
Kadar pertumbuhan normal biasanya dikategorikan dalam julat yang digunakan oleh pakar pediatrik untuk mengukur bagaimana anak membesar.
Ada ke ukuran tinggi badan anak ideal untuk dijadikan rujukan ibu bapa?
Sudah tentu ada!
Tinggi badan anak ideal mengikut umur
Berikut adalah ketinggian purata berdasarkan carta pertumbuhan yang dibangunkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC):
Ketinggian mengikuti usia bagi bayi dan kanak-kanak perempuan sehingga 6 tahun
Umur 1 tahun = 69 hingga 79 cm
Tinggi anak 2 tahun = 80 hingga 91 cm
Umur 3 tahun = 88 hingga 102 cm
Umur 4 tahun = 94 hingga 108 cm
Umur 5 tahun = 102 hingga 116 cm
Umur 6 tahun = 107 hingga 124 cm
Ketinggian mengikuti usia bagi bayi dan kanak-kanak lelaki sehingga 6 tahun
Umur 1 tahun = 71 hingga 81 cm
Tinggi anak 2 tahun = 81 hingga 94 cm
Umur 3 tahun = 90 hingga 103 cm
Umur 4 tahun = 95 hingga 109 cm
Umur 5 tahun = 104 hingga 118 cm
Umur 6 tahun = 107 hingga 124 cm
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Meramal tinggi anak
Setiap ibu bapa pasti tertanya-tanya akan ketinggian anak mereka apabila dewasa nanti.
Adakah mereka akan pendek, tinggi atau sederhana?
Pastinya ada parents yang cuba meramal sejauh mana tinggi yang boleh dicapai anak mereka kelak, betul tak?
Ada beberapa kaedah boleh digunakan ibu bapa bagi meramal ketinggian kanak-kanak apabila dewasa di rumah.
Kaedah “dua tahun darab dua”
Kaedah mudah untuk meramal tinggi semasa dewasa adalah dengan menggandakan tinggi badan anak tersebut semasa usianya 2 tahun, mudah bukan?
Cuma anda perlu menunggu sehingga mereka berusia 2 tahun.
Untuk menggunakan kaedah ini:
- Ketahui berapa tinggi anak 2 tahun
- Gandakan ketinggian itu dengan gandaan 2
- Hasil yang diperolehi adalah ramalan tinggi anak
Sebagai contoh, jika anak perempuan anda mempunyai tinggi 80 cm ketika berusia 2 tahun, kemungkinan besar apabila dewasa ketinggiannya akan mencapai 160 cm (5 kaki 2 inci).
Cara pengiraannya adalah 80 cm x 2 = 160 cm
Umumnya kaedah ini telah diguna pakai sejak lama dahulu, namun masih tiada kajian dibuat untuk menilai akan ketepatannya.
Tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Mengikut carta tumbesaran tinggi badan anak
Carta pertumbuhan adalah ukuran yang sering digunakan untuk mengukur tinggi, berat dan saiz kepala anak.
Dengan memplotkan tumbesaran kanak-kanak merupakan cara terbaik bagi memantau pertumbuhan mereka agar membesar seperti yang sepatutnya.
Carta ini juga boleh membantu meramal ketinggian anak.
Anda cuma perlu mengikut garisan mendatar pada carta untuk meramalkan potensi tinggi dewasa anak.
Ia bergantung pada carta pertumbuhan standard yang digunakan oleh pakar pediatrik untuk memantau perkembangan anak.


Untuk meramalkan ketinggian anak melalui cara ini:
- Ukur ketinggian anak sekarang
- Plotkan pada lengkung pertumbuhan
- Ikut garisan melengkung pertumbuhan tersebut – pastikan berada pada persentil yang sama – sehingga usia dewasa
- Hasilnya adalah ketinggian yang diramalkan
Misalnya, jika anak lelaki anda tingginya 110 cm ketika berusia 6 tahun (persentil ke-15), anda boleh menjangkakan tingginya akan menjadi 170 cm apabila berusia 19 hingga 20 tahun.
Tinggi badan anak ikut potensi genetik
Daripada semua kaedah ramalan ketinggian, cara ini mungkin yang paling tepat.
Ia mempertimbangkan potensi genetik anak berdasarkan purata ketinggian ibu bapa – dikenali sebagai mid parental atau kaedah Tanner.
Untuk meramal ketinggian anak dengan kaedah ini:
- Catat ketinggian ibu genetik
- Catat ketinggian ayah genetik
- Dapatkan ketinggian purata antara kedua-dua ketinggian tersebut
- Tambahkan 6.35 cm (2 ½ inci) jika meramalkan ketinggian anak lelaki. Sekiranya ketinggian yang ingin diramal adalah untuk anak perempuan, kurangkan 6.36 cm
- Hasil yang diperolehi adalah ramalan ketinggian untuk anak apabila dewasa nanti
Untuk contoh kiraan, sekiranya ibu adalah 155 cm dan ayah adalah 160 cm, purata ketinggian adalah 160 cm.
Cara pengiraannya: (155 cm + 165 cm) / 2 = 160 cm.
Dalam kaedah ini, jangkakan anak untuk mendapat ketinggian:
Anak lelaki: 166.35 cm
Anak perempuan: 153.35 cm
Adakah ia tepat? Seperti yang dinyatakan tadi, sudah tentu tidak, tetapi tiada ruginya kalau anda ingin mencuba untuk mengetahui tinggi badan anak!
Kesimpulan
Walaupun mungkin corak pertumbuhan anak menyimpang daripada tumbesaran biasa kanak-kanak lain, tetapi usah bimbang.
Ini kerana pada akhirnya, anak anda akan mempunyai ketinggian normal apabila menjengah ke alam dewasa.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai kebimbangan mengenai kadar perkembangan anak, lakukan pemeriksaan doktor.