Anak Terlalu Besar, Kecil @ Normal? Ini Berat Badan Seimbang Perlu Parents Tahu
Apakah berat badan ideal anak kerana anda sedang keliru sama ada si kecil terlalu berat atau kurus pada tahap usianya kini? Adakah cara untuk parents lakukan agar berat badan anak seimbang dan sihat?

Berikut beberapa nasihat dan garis panduan umum mengenai keseimbangan berat badan mengikut usia yang boleh ibu bapa cuba amalkan.
Berat badan ideal anak
Setiap ibu bapa pastinya akan mengambil berat aspek pertumbuhan dan perkembangan anak mereka.
Untuk memastikan agar anak mempunyai keseimbangan berat badan sihat, anda boleh membantu dengan menggalakkan mereka mengambil makanan berkhasiat yang digabungkan bersama aktiviti fizikal.
Jika terdapat kebimbangan atau keraguan, pantau tumbesaran anak dan berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
Terdapat beberapa cara untuk membantu mengekalkan berat badan anak agar kekal seimbang dan sihat seperti:
- Lakukan proses penyusuan eksklusif kepada anak sehingga mereka berusia 2 tahun ke atas
- Tawarkan hidangan makanan dan snek dengan banyak pilihan buah-buahan serta sayuran segar dan bijirin
- Percaya bahawa anak akan makan mengikut jumlah yang diperlukan. Hubungan pemakanan yang seimbang adalah apabila anda menyediakan apa yang diperlukan dan anak boleh menentukan jumlah kuantiti atau sama untuk makan mahupun tidak
- Jangan memaksa anak untuk makan dan menghukumnya kerana tidak mahu makan
- Seorang kanak-kanak tidak memerlukan jus. Jus buah tanpa gula adalah berkhasiat tetapi tinggi kandungan gula, kalori dan asid semula jadi. Jika ingin memberikan jus, hadkan pengambilannya pada 125 mL (atau ½ cawan) setiap hari
- Sediakan hanya air antara waktu hidangan makan dan snek
- Galakkan si kecil untuk kekal aktif secara fizikal setiap hari untuk membantu mengekalkan berat badan ideal anak
- Hadkan jumlah atau masa skrin untuk anak
Seorang anak yang mempunyai berat badan berlebihan pada usia 2 tahun, dikatakan lebih cenderung untuk mengalami masalah obes ketika berumur 12 tahun berbanding kanak-kanak sebaya lain dengan berat normal.
Jadi sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan dalam mendidik anak untuk mengamalkan pemakanan seimbang serta menjadikan senaman sebagai amalan harian.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Pantau berat badan anak
Menyaksikan anak membesar di depan mata adalah antara pengalaman yang tiada tolok bandingannya.
Umumnya ketika si kecil berusia antara 12 hingga 24 bulan, kadar pertumbuhan mereka akan sedikit perlahan, tetapi masih mengalami pertambahan berat badan dan juga ketinggian.
Bagi mengukur kadar tumbesaran dan berat bada ideal anak, doktor biasanya akan menggunakan carta pertumbuhan berdasarkan jumlah berat dan ukuran lilit kepala secara berkala.
Apabila anak sudah mula berjalan, mereka akan mula membina lebih banyak otot pada tangan serta kaki.
Keadaan ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka kehilangan sedikit lemak pada bahagian wajah dan perut.
Ia juga membuatkan anak sudah tidak kelihatan seperti bayi dan lebih kepada menjadi kanak-kanak kecil.

Berikut adalah beberapa panduan umum untuk pertumbuhan dan perkembangan berat badan ideal anak yang berumur 1 hingga 5 tahun:
- 1 tahun – Berat lahir biasanya akan meningkat sebanyak 2.5 hingga 3 kali ganda
- 1 – 2 tahun – Purata pertambahan berat sekitar 1.4 hingga 2.3 kg
- 2 – 5 tahun – Pada tempoh ini, kebanyakan kanak-kanak akan memperolehi purata tambahan berat badan antara 1.5 hingga 2.5 kg
Sekiranya terdapat perkara berkaitan tumbesaran si kecil yang mendatangkan kerungsingan pada anda, pilhan terbaik adalah untuk melakukan rundingan dengan doktor atau pakar pediatrik.
Bantu anak membesar
Untuk mendapatkan berat badan ideal anak bersama tumbesaran normal dan seimbang, ia perlu digabungkan dengan 3 faktor penting iaitu:
- Pengambilan makanan yang sihat
- Tidur yang mencukupi
- Senaman yang teratur dan berkala
Gabungan ketiga-tiga faktor ini adalah petunjuk tahap kesihatan keseluruhan anak yang terbaik.
Dalam masa yang sama, corak pertumbuhan anak juga banyak dipengaruhi oleh aspek genetik.
Seperkara perlu ibu fahami, memaksa anak untuk mengambil makanan tambahan atau suplemen secara berlebihan seperti vitamin, mineral atau sebarang nutrien lain berbanding yang disaran tidak akan menjadikan anak lebih tinggi.
Malah pengambilan makanan dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan kenaikan berat badan anak secara berlebihan – sekali gus mencetuskan masalah obesiti.
Anak juga boleh menjadi seorang yang cerewet dalam pemakanan.
Namun itu bukan alasan untuk ibu berputus asa, sebaliknya terus untuk menawarkan pelbagai pilihan makanan yang berkhasiat.
Kebiasaannya kanak-kanak dalam lingkungan usia 1 hingga 5 tahun akan aktif secara semula jadi.
Maka galakkan untuk kekal menjadi individu aktif dan dalam masa yang sama sediakan persekitaran selamat untuk diterokai.
Capai berat badan ideal anak
Keturunan memainkan peranan dalam bentuk dan berat badan seseorang individu. Namun genetik bukanlah takdir yang tidak boleh diubah.
Untuk mencapai berat badan anak yang seimbang, pastikan mereka mengamalkan tabiat pemakanan yang betul dan kekal aktif.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu menjadi contoh teladan yang terbaik buat anak-anak.
Jangan pula jadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan betul, sedangkan diri sendiri ke laut!
