Anak Sembelit? Cuba 5 Cara Ini, Dulu Baru Tahu Keberkesanannya!
Anak menangis setiap kali hendak buang air besar? Sembelit sangat biasa dalam kalangan kanak-kanak dan kebanyakan kes boleh diatasi di rumah melalui perubahan pemakanan dan rutin harian. Ubat sembelit budak hanya diperlukan dalam keadaan tertentu dan sebaiknya mengikut nasihat doktor atau ahli farmasi.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, boleh klik di sini.
Cara nak tahu anak tengah sembelit, ada 5 cara mudah!
Anak anda mungkin mengalami sembelit jika dia:
- Buang air besar kurang daripada 3 kali seminggu
- Mengeluarkan najis yang keras, kering atau bersaiz besar
- Sakit atau meneran kuat ketika buang air besar
- Mengadu sakit perut atau kurang selera makan
- Ada kesan najis pada seluar dalam (akibat najis keras yang tersekat)
Kenapa budak selalu sembelit? Ada 7 punca anak sembelit
Kebanyakan sembelit pada kanak-kanak bukan berpunca daripada penyakit serius. Antara punca yang paling biasa:
1. Kurang serat
Jika si manja kurang makan sayur dan buah, tetapi banyak makan makanan segera, roti putih atau snek, ia antara punca anak sembelit.
Parent perlu utamakan makanan yang berserat tinggi seperti yogurt, sayur dan betik.
2. Kurang minum air

Air amatlah penting untuk tubuh tak kira dewasa ataupun kanak-kanak.
Selain untuk beri hidrasi pada tubuh, ia juga membantu untuk kelancaran usus di dalam badan.
3. Menahan buang air besar
Antara punca lain ialah tahan buang air besar.
Anak anda mungkin takut sakit, malu menggunakan tandas sekolah atau terlalu asyik bermain.
Oleh itu, anda perlu memberi galakkan dan semangat bagi melatih si manja untuk ke tandas tanpa ragu.
4. Latihan tandas
Tekanan daripada ibu bapa agar anak tidak terberak atau terkencing dalam seluar dan semasa toilet training boleh membuatkan anak menahan najis.
5. Perubahan rutin, punca anak sembelit
Anak kecil sememangnya memerlukan rutin dan bantuan, lebih-lebih lagi latihan menggunakan tandas.
Bercuti, mula bersekolah atau sakit boleh mengganggu tabiat buang air besar si manja.
6. Terlalu banyak susu lembu
Susu yang berlebihan boleh mengurangkan selera anak terhadap makanan berserat. Hal ini kerana, anak anda sudah kenyang dengan susu berkalori tinggi.
7. Kurang aktif
Terlalu lama menghadap skrin juga memperlahankan pergerakan usus.
Tabiat ini tidak bagus bagi seorang kanak-kanak kerana mereka perlu bergerak bebas dan melakukan aktiviti fizikal.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak saya mengalami sembelit?
Untuk atasi punca anak sembelit, parent boleh cuba 5 langkah mudah ini terlebih dahulu:
- Tambah makanan berserat. Berikan si manja buah seperti betik, pear, buah naga dan prun, serta sayur, oat dan bijirin penuh.
- Galakkan minum air kosong. Air kosong lebih baik jika dibanding dengan minuman manis.
- Latih rutin ke tandas. Ajak anak duduk di tandas 15 hingga 30 minit selepas makan atau snek. Letakkan bangku kecil di bawah kakinya supaya lebih selesa meneran.
- Galakkan aktiviti fizikal. Bermain di luar, berbasikal atau berlari membantu usus bergerak.
- Beri pujian, bukan marah. Suasana yang tenang membuatkan anak tidak takut ke tandas.
Ubat sembelit budak: Bila perlu beri dan apa pilihannya?
Jika perubahan gaya hidup tidak membantu, doktor mungkin mencadangkan ubat seperti:
- Laksatif pukal: Menyerap air dalam usus untuk membentuk najis pukal dan menggalakkan pergerakan usus.
Contoh: wheat bran, oat bran, ispaghula husk, psyllium
- Pelembut najis: Bertindak sebagai pelincir dan melembutkan najis.
Contoh: cecair parafin (liquid paraffin)
- Laksatif osmotik: Meningkatkan jumlah air dalam usus untuk memudahkan pergerakan najis.
Contoh: lactulose, macrogol
- Laksatif perangsang: Merangsang otot rektum untuk membantu menolak najis keluar.
Contoh: bisacodyl, senna, glycerin
Dos bergantung pada umur dan berat badan anak, jadi jangan beri ubat dewasa atau ubat julap tanpa nasihat profesional.
Ikut arahan pada label atau tanya ahli farmasi terlebih dahulu.
Kesimpulan
Sembelit pada anak biasanya berpunca daripada pemakanan, kurang minum air dan tabiat tahan diri dari membuang.
Dengan serat yang cukup, air yang mencukupi dan rutin tandas yang konsisten, kebanyakan anak akan pulih. Jika perlu, gunakan ubat sembelit budak jika diperlukan.