Tugasan penting tersebut perlu dilakukan untuk selama beberapa minggu dan bulan bagi mengurangkan risiko terdedah kepada penyakit sewaktu bawa bayi keluar.
Jika anda sudah bersedia untuk membawa si manja berjalan, berikut beberapa tip mudah boleh anda amalkan:
-
Hadkan pendedahan cahaya matahari
Sememangnya matahari dapat memberikan vitamin D yang sangat diperlukan oleh badan terutamanya bayi yang baru dilahirkan.
Pun begitu, bayi lebih terdedah untuk mengalami selaran matahari, jika terdedah secara berlebihan.
Sebaiknya hadkan pendedahan kepada sinar UV secara langsung untuk tempoh 15 minit sahaja.
Untuk lebih kepastian, berbincanglah dengan doktor bagi menentukan jumlah cahaya matahari yang selamat untuk si manja.
-
Elakkan sentuhan dan ciuman
Ini tip penting yang perlu diikuti jika anda mahu membawa bayi baru lahir keluar berjalan-jalan.
Anda harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan individu sekeliling kerana anda tidak dapat mengetahui keadaan kesihatan seseorang.
Jadi idea paling baik adalah untuk menjauhkan sebarang sentuhan tangan dan wajah kanak-kanak mahupun individu yang tidak dikenali daripada memegang atau mencium bayi anda.
Dengan ahli keluarga sendiri juga anda harus memilih dan tidak membenarkan mereka yang sakit untuk memegang si manja.
Tetapi dinasihatkan untuk anda melakukan dengan cara yang berhemah. Elakkan daripada menimbulkan perselisihan faham.
-
Selektif tentang lokasi
Bukan semua tempat sesuai untuk bawa bayi berjalan, ingat ya wahai mommies.
Tempat seperti sekolah, pejabat doktor, hospital, pusat jagaan harian, kapal terbang mahupun sebarang pengangkutan awam lain adalah tempat yang dikenali sebagai ‘pusat kuman yang utama’. Jadi, sebaiknya, elakkan!
Tetapi jika keadaan memerlukan anda membawa bayi baru lahir ke tempat disebutkan di atas, sentiasa pastikan si manja berada dalam dakapan atau diletakkan dalam carrier mahupun kereta sorong.
Pastikan anda sentiasa membasuh tangan selepas menyentuh sebarang permukaan atau barangan mahupun tangan individu lain sebelum memegang si manja.
-
Keadaan cuaca
Perhatikan juga keadaan cuaca. Jika anda mahu bawa bayi keluar bersiar di taman, elakkan daripada memakaikan pakaian yang berlebihan kepada si comel.
Biasanya ibu bapa serta datuk dan nenek percaya bayi sentiasa mahu dibaluti selimut. Hakikatnya ia bergantung kepada cuaca.
Jika tidak ia mungkin membuatkan bayi berasa panas dan tidak selesa. Cuma sediakan selimut sebagai langkah persediaan.

-
Sediakan kelengkapan
Untuk membawa bayi baru lahir berjalan-jalan, walaupun sekadar bersiar di taman kawasan perumahan, anda tetap perlu menyediakan kelengkapan si manja.
Pakaian salin, lampin bersih, kain napkin, pelindung penyusuan dan tisu basah antara barangan yang harus sentiasa ada semasa keluar.
Jika anda berasa segan untuk menyusukan bayi di tempat awam, mungkin anda boleh mencari tempat yang lebih selesa untuk melakukan penyusuan.
Pertimbangkan secara rasional
Walaupun tiada larangan untuk bawa bayi keluar, namun sebagai ibu bapa, anda harus mempunyai pertimbangan rasional.
Bagi bayi baru lahir yang mempunyai isu berkaitan kesihatan, untuk jangka masa tertentu sehingga dibenarkan doktor, elakkanlah daripada keluar.
Fikirkan tentang keselamatan si manja dan keperluan untuk membawa mereka keluar, sama ada penting ataupun tidak.