Bagaimana kesan regangan kulit berlaku?
Kesan regangan kulit berlaku apabila kulit tidak cukup masa untuk mengembang akibat daripada perubahan dan pengembangan tubuh ketika hamil. Pada kebiasaannya, kulit manusia boleh menyesuaikan dengan pergerakan badan, dengan cara mengembang dan mengecut apabila berat badan kita berubah. Bagaimanapun, semasa kehamilan, kulit kita mungkin tidak cukup kenyal untuk mengembang mengikut kadar perkembangan bayi, sehingga merosakkan bahagian dalam tisu kulit. Apabila kerosakan ini pulih dengan sendirinya, ia membentuk parut yang dikenali sebagai kesan regangan kulit.
Ada juga pakar berpendapat kesan regangan kulit terjadi disebabkan oleh perubahan hormon dalaman wanita hamil. Hormon ini dipercayai menyebabkan kulit menyerap lebih banyak air, serta meregangkan jalinan antara serat-serat kolagen di bawah kulit badan. Hal ini menyebabkan kelemahan tisu-tisu kulit, dan terbentuklah kesan regangan kulit.
Kaitan antara kenaikan berat badan semasa hamil dengan kesan regangan kulit
Setiap wanita hamil pasti akan mengalami kenaikan berat badan. Namun, anda akan lebih cenderung untuk mendapat kesan regangan kulit jika kenaikan berat badan anda melebihi daripada purata normal semasa kehamilan. Kebanyakan wanita hamil naik berat badan antara 10 kg dan 12.5 kg, bagaimanapun kenaikan berat badan adalah berbeza mengikut individu. Bagi mengelakkan berat badan anda berlebihan semasa hamil, anda disarankan untuk makan makanan yang seimbang dan sihat. Namun, jika anda risau tentang berat badan anda, berjumpalah dengan doktor anda bagi mendapatkan khidmat nasihat.