backup og meta

Atasi Tekanan Sebagai Ibu Bapa Tunggal

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 26/11/2019

    Atasi Tekanan Sebagai Ibu Bapa Tunggal

    Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai dan untuk membesarkan anak-anak bukanlah satu perkara yang mudah. Ia merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan kesabaran serta kekuatan terutamanya buat mereka yang memegang status ibu bapa tunggal. Tekanan dalam memikul tanggungjawab ini adalah tidak dapat dielakkan. Tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi tekanan sebagai ibu bapa tunggal.

    Tip atasi tekanan sebagai ibu bapa tunggal

    1. Dapatkan sokongan

    Setiap ibu bapa tunggal memerlukan bantuan – ia sama ada seseorang untuk membantu anda menjaga anak-anak sementara anda melakukan tugasan luar atau seseorang yang boleh anda berkongsi dan meluahkan apa yang anda rasakan. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menguruskan segalanya secara sendirian, apatah lagi buat mereka yang baru berpisah dengan pasangan – memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru – dapatkan sokongan dan bantuan daripada keluarga mahupun rakan baik anda. Jika situasi kewangan anda adalah baik, anda mungkin boleh mencari pembantu rumah yang boleh dipercayai untuk menjaga anak-anak atau membantu anda dengan tugasan di rumah.

    1. Tiada yang sempurna

    Sama ada anda adalah ibu atau bapa tunggal, berhenti untuk cuba melakukan segalanya, berhenti untuk risaukan tentang segalanya. Hakikat ibu tunggal atau bapa tunggal yang hebat tidak wujud, malah anda mungkin meletakkan risiko kepada tahap kesihatan anda dengan mencuba untuk menjadi sempurna dalam setiap perkara yang anda lakukan. Tiada ibu bapa dapat lari daripada melakukan kesilapan. Bertenang dan lakukan apa yang termampu anda lakukan mengikut keupayaan anda dan cuba berikan yang terbaik tanpa memaksa diri anda.

    1. Kewangan

    Isu ini merupakan antara isu utama yang menimbulkan tekanan kepada setiap ibu bapa terutamanya ibu bapa tunggal. Ia adalah cabaran paling hebat yang perlu dikendalikan dengan baik. Anda perlu belajar untuk menguruskan segala perbelanjaan. Jika dahulu anda berkongsi kewangan dengan pasangan, kini segalanya perlu diuruskan sendiri. Ia lebih berat jika sebelum berlakunya penceraian, anda merupakan seorang suri rumah, dan selepas bercerai anda perlu bekerja dan belajar untuk menguruskan hal kewangan tanpa pergantungan kepada mana-mana pihak. Anda mungkin perlu melupakan segala yang gemar lakukan dahulu seperti; menonton wayang, membeli-belah dan mengutamakan apa yang lebih penting buat keluarga dan anak-anak anda. Anda boleh mencatatkan segala perbelanjaan keluar masuk duit agar anda lebih mengetahui tentang kedudukan perbelanjaan bulanan dan harian anda.

    1. Wujudkan peraturan

    Bergelar ibu bapa tunggal bermakna anda perlu menjadi ibu dan bapa dalam masa yang sama. Letih dan memenatkan, apatah lagi jika pekerjaan harian anda juga mendatangkan tekanan kepada anda. Jadi, ada masanya, kita terlupa tentang aspek disiplin anak-anak dan memandang remeh isu ini. Tetapi, anda seharusnya mementingkan soal disiplin anak-anak – apa yang perlu anak anda lakukan, peraturan yang perlu dipatuhi dan apa hukuman jika melanggar peraturan. Pastikan anda mendapat kerjasama dari bekas pasangan anda tentang soal disiplin ini.

    Berlaku jujur

    Anak anda perlu mengetahui apa yang berlaku antara anda dan pasangan. Jika cuba berselindung atau menyembunyikan perkara sebenar hanya kerana ingin menjaga hati dan perasaan anak-anak. Keadaan akan menjadi lebih rumit dan parah jika hal penceraian anda berdua terlepas ke pengetahuan anak-anak melalui individu lain. Jika anak anda sudah dewasa dan boleh memahami apa yang berlaku, mungkin anda boleh berbincang bersama mereka tentang situasi yang dihadapi. Pastikan mereka mengetahui, walau apapun yang berlaku antara anda dan pasangan, kasih sayang terhadap anak-anak tidak akan berubah.

    1. Kekal positif

    Akan ada masanya, anda akan berasa benar-benar letih dan tidak mampu untuk meneruskan segalanya. Jika menangis adalah jawapan yang anda perlukan, maka menangislah semahunya. Jika anda perlu meluahkan kepada seseorang, cari individu yang boleh anda percayai, seperti ahli keluarga atau rakan baik. Apa yang penting, jangan pendamkan apa yang anda rasai. Anda mungkin merasakan hidup anda seperti sudah berakhir. Tetapi percayalah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kekal positif, jaga diri anda sebaiknya – bersenam, makan makanan berkhasiat, dapatkan rehat yang secukupnya dan seimbangkan kehidupan anda.

    Apa yang disenaraikan adalah antara beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh mereka bergelar ibu bapa tunggal dalam atasi tekanan sebagai ibu bapa tunggal. Sememangnya memikul tanggungjawab ibu atau bapa tunggal bukanlah perkara yang mudah. Namun, perbanyakan bersabar. Anda pasti dapat atasi tekanan sebagai ibu bapa tunggal dari semasa ke semasa.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 26/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan