Jika anda merancang untuk menangguhkan kehamilan, anda boleh mempertimbangkan untuk melakukan ujian hormon Anti-Mullerian (AMH). Ujian AMH dibuat bagi mengenal pasti bilangan tahun kesuburan seseorang wanita. Ini perkara yang anda perlu tahu jika ingin melakukannya.
1. Fungsi AMH
Hormon Anti-Mullerian ialah hormon yang dihasilkan secara khusus oleh sel dalam folikel ovari. Hormon ini mengenal pasti rizab ovari, atau dalam erti kata lain, ia membantu mengetahui kuantiti telur yang masih ada dalam ovari anda, bukannya kualiti telur anda.
2. Tidak semestinya untuk mengesan kesuburan
Kebanyakan pasangan yang ingin mendapat anak hanya melakukan ujian AMH semasa rawatan kesuburan mereka. Namun, sebenarnya ujian ini boleh dilakukan lebih awal terutama jika seseorang wanita itu bercadang untuk melengahkan kehamilan. Bagi mengetahui tahap kesuburan anda, ujian AMH boleh dilakukan untuk membantu anda mengesan tahap kesuburan dan merancang kehamilan.
3. Boleh dilakukan pada bila-bila masa
Ujian AMH dilakukan dengan mengambil darah wanita, pada bila-bila masa termasuklah ketika seseorang wanita itu didatangi haid. Prosesnya adalah mudah dan cepat.
4. Mengetahui tahap AMH
Semakin banyak jumlah telur yang tertinggal di dalam ovari, semakin tinggi tahap AMH pada aliran darah. Tahap rendah pada ujian AMH merupakan petanda seseorang wanita itu mengalami rizab ovari yang rendah, iaitu jumlah folikel yang berbaki hanya sedikit.
5. Bacaan tahap AMH
Tahap AMH yang tinggi berkemungkinan menunjukkan seseorang wanita itu mengalami Sindrom Polisistik Ovari (PCOS), iaitu melebihi 3.0 ng/ml. Bagi tahap AMH normal, bacaannya adalah melebihi 1.0 ng/ml. Tahap AMH rendah adalah antara 0.3-0.6 ng/ml. Semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin berkurangan kepekatan hormon AMH.
6. Usia mempengaruhi AMH anda
Sama seperti faktor yang mempengaruhi kesuburan, peningkatan usia juga boleh menyebabkan AMH anda menurun selepas usia 35 tahun.
7. Ambil berat amalan gaya hidup
Gaya hidup turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tahap AMH anda. Amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok akan menurunkan tahap AMH seseorang wanita. Malahan, pengambilan rokok yang banyak (iaitu 20 batang rokok sehari) adalah dikaitkan dengan tahap AMH rendah dan memungkinkan wanita mengalami menopaus awal.
Meskipun keputusan ujian anda nanti menunjukkan tahap AMH anda rendah, namun usahlah gusar kerana pengambilan makanan sihat dan seimbang serta gaya hidup sihat boleh membantu anda meningkatkan kembali tahap AMH.
Anda mungkin berminat untuk membaca:
-
Apa Perlu Buat Jika Tahap AMH Rendah?
-
Simpanan Ovum dan Ujian AMH
-
Ambil Tahu Simpanan Ovari Bantu Wanita Rancang Kehamilan
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
[embed-health-tool-ovulation]