Ada GDM Semasa Hamil? 5 Cara Mudah Untuk Anda Atasi GDM Sepanjang Kehamilan
Paras gula darah anda tinggi semasa hamil walaupun sebelum ini tiada diabetes? Keadaan ini dikenali sebagai GDM semasa mengandung. Apakah bahaya GDM semasa mengandung dan apa pula cara mengatasi GDM semasa hamil?

Ambil nafas dan hembus. Anda tidak perlu khuatir kerana GDM boleh dikawal dengan baik jika dikesan awal dan diurus dengan betul.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu GDM semasa mengandung?
GDM (gestational diabetes mellitus) atau diabetes gestasi ialah diabetes yang pertama kali dikesan ketika hamil.
Ia biasanya berlaku pada trimester kedua atau ketiga.
Semasa hamil, hormon daripada plasenta menyebabkan badan kurang sensitif terhadap insulin, iaitu hormon yang mengawal gula darah.
Jika pankreas tidak dapat menghasilkan insulin tambahan yang mencukupi, paras gula dalam darah akan meningkat.
GDM selalunya tidak menunjukkan simptom yang jelas.
Sebab itu, ujian toleransi glukosa oral (OGTT) penting dan biasanya dilakukan antara minggu ke-24 hingga ke-28 kehamilan. Ibu mengandung yang berisiko tinggi mungkin perlu menjalani ujian ini lebih awal.
Apakah faktor risiko GDM?
Semua ibu hamil boleh mendapat GDM, tetapi risikonya lebih tinggi jika anda:
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes (BMI melebihi 27 kg/m²)
- Pernah mendapat GDM pada kehamilan sebelum ini
- Mempunyai ibu, bapa atau adik-beradik yang menghidap diabetes
- Pernah melahirkan bayi seberat 4 kg atau lebih
- Berumur 25 tahun ke atas
- Menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS)
- Mempunyai tekanan darah tinggi atau sejarah kelahiran mati tanpa sebab yang jelas
- Kurang aktif secara fizikal
Jika anda mempunyai salah satu faktor ini, maklumkan kepada doktor sejak pemeriksaan pranatal pertama.
Apakah bahaya GDM semasa mengandung ?
GDM yang tidak terkawal boleh menyebabkan beberapa risiko kepada diri dan kandungan. Antaranya:
- Bayi membesar terlalu besar dan meningkatkan risiko bersalin secara pembedahan
- Gula darah bayi rendah selepas lahir
- Kelahiran pramatang
- Preeklampsia pada ibu
- Risiko ibu dan anak mendapat diabetes jenis 2 pada masa hadapan
5 Cara mengatasi GDM semasa hamil
Berikut ialah langkah utama yang boleh anda ambil:

1.Amalkan pemakanan seimbang
Pemakanan seimbang antara cara mengatasi GDM semasa hamil.
Anda boleh ikuti konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu suku pinggan nasi atau karbohidrat, suku protein dan separuh sayur serta buah.
Makan makanan berkanji dan indeks glisemik (GI) rendah yang mengeluarkan gula secara perlahan seperti gandum, beras perang, roti jelapang, bijirin, kekacang, lentil, muesli dan bubur kosong.
Selain itu, makan dalam hidangan kecil tetapi kerap.
2. Kekal aktif
Berjalan kaki selama 30 minit sehari, berenang atau yoga pranatal membantu badan menggunakan insulin dengan lebih berkesan.
Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman.
3. Pantau gula darah
Doktor akan meminta anda memeriksa paras gula darah di rumah menggunakan glukometer dan merekodkan bacaannya.
Untuk mengawalnya, pastikan anda makan makanan seimbang dan melakukan senaman secara berkala.
4. Ambil ubat jika perlu, cara mengatasi GDM semasa hamil
Sesetengah ibu memerlukan metformin atau suntikan insulin.
Kedua-duanya selamat semasa hamil jika diambil mengikut preskripsi doktor.
5. Hadir setiap temujanji pranatal
Jika anda lakukan pemeriksaan di klinik kerajaan, anda perlu mengambil check gula sebelum dan selepas makan sebelum diulas oleh doktor.
Pemeriksaan berkala seperti ini membantu doktor memantau pertumbuhan bayi dan kesihatan anda.
Adakah GDM hilang selepas bersalin?
Dalam kebanyakan kes, tahap gula darah pada ibu bersalin akan turun disebabkan tahap hormon anda kembali normal.
Oleh itu, anda akan menjalani ujian gula darah semula sekitar 6 hingga 12 minggu selepas bersalin untuk mengesahkannya.
Kesimpulan
GDM semasa mengandung adalah perkara biasa dan boleh diurus.
Kenali faktor risikonya, jalani saringan mengikut jadual dan amalkan gaya hidup sihat.
Doktor dan pegawai dietietik akan menncadangkan pelan rawatan yang sesuai untuk anda.