backup og meta

Apa Tanda 12 Jam Sebelum Bersalin? Ibu, Peka Dengan Hint Ini, 7 Hari Sebelum Sudah Ada Tanda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/02/2023

    Apa Tanda 12 Jam Sebelum Bersalin? Ibu, Peka Dengan Hint Ini, 7 Hari Sebelum Sudah Ada Tanda

    Apakah tanda seminggu sebelum bersalin yang boleh dikenal pasti ya? Bagaimana pula dengan simptom 12 jam sebelum bersalin? 

    Pastinya banyak persoalan yang bermain di fikiran bakal-bakal ibu. Tenang, teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Kelahiran bayi

    Sebelum mengetahui tentang tanda seminggu sebelum bersalin, ayuh kita fahami secara ringkas mengenai fasa melahirkan anak ini.

    Proses bersalin adalah apabila bayi keluar daripada rahim. Ia berlaku apabila anda mengalami kontraksi yang menyebabkan serviks berubah.

    Kontraksi terjadi apabila otot rahim menjadi tegang dan berehat. Ia berfungsi menolak bayi keluar daripada rahim. 

    Serviks pula adalah pintu kepada rahim yang terletak pada bahagian atas faraj. Apabila fasa kelahiran bermula, serviks akan mengembang.

    Kenal pasti tanda seminggu sebelum bersalin

    Sukar untuk meramalkan bila kelahiran akan bermula kerana ia berbeza bagi setiap individu dan kelahiran. Namun mengetahui tanda awal kelahiran pastinya dapat memberikan anda gambaran bila ia akan berlaku.

    Secara amnya, tanda-tanda bersalin sudah dekat melibatkan perubahan fizikal dalam hormon dan badan.

    Namun, perlu kami ingatkan bahawa tiada masa spesifik untuk tanda-tanda tertentu sebelum bersalin. Sekiranya anda mengalami simptom, cepat-cepatlah ke hospital.

    Pada bulan terakhir kehamilan, bakal ibu mudah penat. Anda mungkin akan perasan kedudukan bayi ‘jatuh’ ke dalam pelvis. Ini akan memberi tekanan pada pundi kencing, sekali gus membuatkan anda kerap ke tandas.

    tanda seminggu sebelum bersalin

    Tanda seminggu sebelum bersalin

    Pada minggu-minggu terakhir, biasanya bakal ibu menjadi lebih letih. Tetapi ada juga yang seakan mendapat tenaga tambahan bagi menyediakan persiapan menyambut kelahiran bayi.

    Anda mungkin menyedari perubahan dalam cecair faraj atau mengalami kekejangan pada perut. Tekanan pada faraj atau bahagian belakang badan juga biasa untuk dialami.

    Menghampiri detik bersalin, beberapa tanda boleh berlaku seperti:

    • Kekejangan seperti sakit senggugut
    • Sakit belakang
    • Cirit-birit

    Kontraksi Braxton Hicks merupakan tanda pada akhir kehamilan. Ia tidak teratur, boleh menjadi kuat dan menyakitkan, bahkan ada kalanya hilang apabila anda menukar posisi duduk atau berjalan.

    Tanda 12 jam sebelum bersalin

    Air ketuban pecah merupakan gejala bersalin paling jelas. Anda akan merasa seperti air mengalir keluar daripada faraj.

    Keadaan ini agak jarang berlaku, kerana kebanyakan air ketuban akan dipecahkan oleh doktor apabila tiba masanya. Tetapi sekiranya berlaku, lakukan pemeriksaan dengan doktor segera.

    Jika cecair berwarna hijau atau coklat, ia mungkin bermakna terdapat mekonium – najis bayi – di dalamnya dan anda perlu mendapatkan pemantauan hospital.

    Baca juga:

    Mukus lendir, tanda seminggu sebelum bersalin?

    Semasa tempoh kehamilan, terdapat palam lendir tebal menutup saluran serviks bagi melindungi bayi daripada jangkitan.

    Apabila serviks mula lembut, mengembang dan menipis, palam lendir ini turut akan menjadi longgar dan keluar daripada faraj.

    Warna lendir tanda bersalin boleh disertai dengan darah, mungkin berwarna merah jambu atau coklat dan ini adalah perkara biasa. Namun jika disertai pendarahan yang banyak, lakukan pemeriksaan doktor segera.

    Fahami tanda awal bersalin

    Kini anda sudah tahu tentang simptom seminggu sebelum beranak, bahkan 12 jam tanda akan melahirkan.

    Tetapi tahukah anda bahawa fasa kelahiran itu terbahagi kepada beberapa peringkat?

    Fasa bersalin merangkumi keseluruhan proses bersalin, daripada kontraksi pertama (peringkat 1) hingga meneran (peringkat 2) hingga ketika mengeluarkan plasenta/uri (peringkat 3) selepas bayi selamat dilahirkan.

    Peringkat pertama boleh bertahan antara berjam-jam hingga berhari-hari. Anda mungkin tidak merasakan sebarang perubahan sehingga mengalami ketidakselesaan disebabkan kontraksi yang mula menjadi kuat dan teratur.

    tanda seminggu sebelum bersalin

    Masa kelahiran bayi

    Anda akan melahirkan anak apabila kontraksi menjadi teratur. Disarankan untuk ke hospital apabila kontraksi berlaku selang 5 minit.

    Dalam tempoh 12 jam sebelum bersalin atau peringkat awal anda digalakkan untuk melakukan perkara seperti:

    • Berjalan atau bergerak
    • Minum air – minuman isotonik mungkin dapat membantu mengekalkan tahap tenaga
    • Makan snek
    • Lakukan latihan relaksasi dan pernafasan
    • Minta pasangan melakukan urutan atau gosokan lembut pada bahagian belakang badan
    • Mandi air suam

    tanda seminggu sebelum bersalin

    Tanda seminggu sebelum bersalin: AWAS kelahiran pramatang

    Sekiranya anda mengalami sebarang tanda-tanda bersalin sebelum tempoh kehamilan memasuki minggu ke-37, wujud risiko untuk berlakunya kelahiran pramatang.

    Jika berlaku sebarang simptom di bawah, berjumpa doktor segera:

    • Kontraksi setiap 10 minit atau kurang
    • Keluar palam lendir menutup serviks
    • Air ketuban pecah – mengalami air daripada faraj
    • Pendarahan faraj
    • Rasa tekanan pada faraj atau bahagian belakang badan

    Maklumkan juga kepada doktor jika anda mendapati pergerakan (tendangan) bayi dalam kandungan berkurangan atau tiada langsung.

    Jika terdapat sebarang kebimbangan atau pertanyaan, rujuklah kepada doktor pakar sakit puan bagi mendapatkan lebih kepastian.

    Semoga perkongsian artikel ini membawa manfaat dan moga proses kelahiran si comel anda nanti akan berjalan lancar.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan