Simptom-simptom yang biasa terjadi ketika hamil adalah kepenatan, loya pada waktu pagi atau keluar lendir pada vagina yang berlebihan. Selain itu, kehamilan juga akan mendatangkan kegatalan pada vagina yang menyebabkan ketidakselesaan. Meskipun kondisi ini tidak dianggap sebagai sesuatu yang serius, simptom ini perlu diperiksa dengan segera demi mengelakkan komplikasi yang lain.
Apakah yang menyebabkan kegatalan pada vagina ketika hamil?
Kajian menunjukkan kegatalan pada faraj merupakan simptom yang biasa selain loya, muntah dan kepenatan. Berikut merupakan antara punca berlakunya kegatalan pada vagina:
Kekurangan air dalam badan: Semasa trimester pertama kehamilan, badan anda memerlukan lebih banyak air untuk membantu dalam proses pembentukan badan bayi. Ini akan menyebabkan tisu vagina menjadi kering dan menyebabkan kepedihan, kegatalan lalu menyebabkan luka.
Peluh yang berlebihan di kawasan vagina: Ini akan menyebabkan kelembapan di bahagian vagina lalu menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan pada bahagian vagina.
Alahan terhadap produk tertentu: Produk seperti minyak wangi, pelembut fabrik, sabun pencuci atau kondom yang digunakan bagi aktiviti seharian anda mungkin menjadi faktor kegatalan pada vagina.
Ketika sedang hamil, tisu vagina akan menjadi lebih sensitif. Oleh itu elakkan memakai produk yang mempunyai komponen kimia yang kuat. Sebaliknya gunakan produk yang lebih semulajadi dan bebas tanpa sebarang bahan kimia.
Bagaimana untuk melegakan kegatalan vagina ketika hamil?
1. Tuamkan kain lembut di kawasan yang gatal
Dengan cara ini, anda dapat melegakan sedikit kegatalan pada vagina. Anda juga diingatkan untuk tidak menggunakan air yang terlalu panas bagi mengelakkan ketidakselesaan anda semakin melarat.
2. Tambahkan yogurt dalam diet seharian anda
Selain rawatan luaran, pengambilan bakteria baik yang terdapat dalam yogurt akan membantu tahap keseimbangan nilai pH dalam badan. Pengambilan yogurt yang rendah lemak dan bebas gula juga akan menyihatkan tubuh badan selain menghalang bakteria daripada vagina anda.
3. Pilih pakaian yang sesuai
Ketika sedang hamil, terdapat banyak perubahan berlaku yang membuat badan anda tidak lagi mampu untuk memakai pakaian seharian. Elakkan memakai seluar jean dan seluar dalam yang ketat bagi mengelakkan ketidakselesaan pada bahagian alat sulit.
4. Gunakan krim anti kegatalan
Anda juga boleh menggunakan krim anti kegatalan yang dijual di mana-mana farmasi atau pusat perubatan yang diiktiraf. Namun anda perlu membaca dan memahami label serta berunding dengan pakar terlebih dahulu. Jika kegatalan berterusan, berjumpalah dengan doktor di hospital bagi mendapatkan kepastian tentang kondisi anda.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]