Bagi peminat sukan, khususnya futsal dan bola sepak, masalah ligamen bukanlah sesuatu yang asing. Pemain bola sepak dunia juga tidak terlepas daripada keadaan ini. Antara pemain yang pernah mengalami ligamen koyak termasuk Zlatan Ibrohimavich dan Ruud Van Nistelrooy.
Sebelum mengenali dengan lebih lanjut tentang ligamen koyak, mari kita kenali dahulu struktur asas ligamen pada lutut.
Struktur ligamen lutut
Lutut adalah antara sendi paling utama pada tubuh manusia. Ia digunakan hampir sepanjang masa dan menampung banyak tekanan sepanjang hari. Disebabkan fungsinya yang sangat penting, ia adalah sendi yang sangat stabil.
Sendi ini distabilkan oleh bentuk tulang peha (femur) dan betis (tibia), pelapik sendi (meniscus) serta beberapa ligamen di sekeliling lutut. Ligamen-ligamen ini termasuk:
- Anterior Cruciate Ligament (ACL).
- Posterior Cruciate Ligament (PCL).
- Medial Collateral Ligament (MCL).
- Lateral Collateral Ligament (LCL).
ACL adalah struktur yang paling kerap mengalami kecederaan semasa bersukan dan menjadi sebab utama pesakit mendapatkan bantuan perubatan. Wanita adalah 3 kali ganda lebih kerap mengalaminya kerana faktor perbezaan anatomi dan kekuatan otot berbanding lelaki.
Lutut menjadi longgar selepas terjatuh?
Fungsi ligamen pada lutut adalah untuk menstabilkan sendi lutut agar badan kekal stabil semasa bergerak. Berbeza dengan sendi bahu di mana ia sedikit kurang stabil untuk membolehkan pergerakan yang lebih bebas sesuai dengan fungsinya yang memerlukan pergerakan dalam julat yang luas.
Jika pergerakan atau trauma yang memberikan terlalu banyak tekanan ke atas ligamen ini, ia boleh cedera atau putus.
Dalam kes ACL, ia boleh terputus disebabkan pergerakan kaki yang berpusing ketika tapak kaki sedang berpijak di tanah (implanted foot). Ini dikenali sebagai pivoting injury. Ia juga boleh berlaku jika seseorang berhenti dari berlari secara mendadak atau boleh juga berlaku disebabkan kemalangan jalan raya.
Apabila ACL terputus, ia akan menghasilkan bunyi ‘pop’ yang didengari sendiri oleh pesakit. Kemudian, lutut akan bengkak dengan cepat disebabkan oleh darah yang terkumpul di dalam sendi tersebut (haemarthrosis). Pesakit yang mengalaminya tidak dapat meneruskan permainan.
Walaupun ACL akan menyebabkan lutut tidak stabil dan ‘longgar’, ia hanya akan menjadi jelas selepas dua hingga empat minggu apabila bengkak dan sakit sudah surut.
Pemeriksaan doktor
Doktor akan membuat pemeriksaan berbentuk fizikal dan ujian radiologi untuk mendapatkan diagnosis akhir.
Bagi pemeriksaan fizikal, doktor akan menggunakan kaedah “look, feel, move, special test“.
Look – Doktor akan melihat sekitar bahagian lutut jika ada bengkak, otot mengecil (atrophy) dan luka atau parut.
Feel – Doktor akan memegang dan memeriksa jika ada kesakitan pada ligamen atau meniscus. Ini melibatkan menekan lutut dengan jari.
Move – Lutut akan digerakkan untuk melihat julat pergerakan sendi anda sama ada normal atau terbatas.
Special test – Ada 3 pemeriksaan khusus yang biasanya dilakukan iaitu Anterior Drawer Test, Lachman Test dan Pivot Shift Test. Pemeriksaan ini bertujuan memastikan integriti ACL pesakit.
Jika pemeriksaan fizikal menemukan kemungkinan kecederaan ACL, doktor mungkin akan beralih kepada ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) untuk mengesahkan keadaan tersebut. Selain ligamen, MRI juga boleh menunjukkan kecederaan pada tulang rawan dan meniscus.
Adakah mengurut boleh merawat keadaan ACL koyak?
Ligamen adalah berbeza dengan tisu badan yang lain kerana ia tidak boleh membesar dan pulih dengan sendiri. Jika pesakit mahu bersukan semula, ligamen yang koyak itu perlu diganti melalui pembedahan.
Jadi, sudah tentu mengurut semata-mata tidak memadai untuk pesakit kembali aktif seperti sebelumnya. Seseorang boleh hidup tanpa melalui pembedahan tetapi kekuatan sendinya tidak akan kembali seperti normal.
Apakah rawatan untuk ACL koyak?
Pilihannya sama ada pembedahan atau tanpa pembedahan.
Seperti yang disebutkan di atas, pesakit yang tidak menjalani pembedahan tidak akan dapat mengembalikan kekuatan sendinya yang normal kerana ligamen tidak boleh pulih dengan sendiri. Untuk jangka masa panjang pula, pesakit terdedah kepada kecederaan tulang rawan serta risiko mendapat penyakit osteoartritis lebih awal (early osteoarthritis).
Bagi rawatan pembedahan, ACL yang terlibat perlu digantikan dengan urat (tendon) pesakit sendiri. Kebiasaannya tendon yang diambil adalah daripada Harmstring, Quadriceps atau Patella tendon.
Pembedahan menggunakan kaedah arthroscopy di mana hanya beberapa luka kecil dibuat dan pembedahan dilakukan dengan pengawasan kamera.
Selepas pembedahan, pesakit perlu melakukan fisioterapi. Ini adalah bahagian paling penting dalam rawatan ACL koyak. Bahkan, fisioterapi mungkin dimulakan sebelum pembedahan. Secara am, ia mengambil masa sehingga 9 bulan sebelum pesakit boleh kembali aktif bersukan dan melakukan aktiviti lasak.
[embed-health-tool-bmi]