home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Wanita, Jangan Lambat Bertindak! Ini Rawatan Kanser Pangkal Rahim Mengikut Tahap

Wanita, Jangan Lambat Bertindak! Ini Rawatan Kanser Pangkal Rahim Mengikut Tahap

Sakit pangkal rahim boleh dialami oleh mereka yang didiagnosis dengan masalah kanser serviks. Jika dikesan awal, penawar kanser pangkal rahim boleh meningkatkan potensi kesembuhan dan kualiti hidup penghidap kanser.

Kanser serviks lazimnya didiagnosis dalam kalangan wanita yang berusia di antara 45 hingga 65 tahun.

Ia jarang dikesan pada wanita yang berusia 20 tahun dan ke bawah.

Seperti masalah kanser yang lain, kejayaan membasmi sel kanser bergantung kepada tahap kanser. Semakin awal ia dikesan, semakin tinggi kebarangkalian untuk sembuh daripada keadaan kesihatan tersebut.

Artikel ini akan memfokuskan jenis penawar kanser pangkal rahim bagi tahap kanser tertentu. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

Kanser serviks tahap 0, karsinoma in situ

Karsinoma in situ merujuk kepada tahap 0 dalam proses patologi kanser. Ia tidak berbahaya dan perubahan kanser hanya berlaku pada permukaan kawasan pangkal rahim.

Ia belum merebak ke tisu dalam atau menyebabkan sebarang komplikasi.

Pada peringkat ini, penawar kanser pangkal rahim yang boleh disarankan oleh doktor adalah seperti berikut:

  • Konisasi – Prosedur ini boleh menjadi penawar atau alat diagnosis yang sangat berkesan. Jika anda menjalani kaedah konisasi, tisu kanser pada pangkal rahim anda akan dibuang mengikut bentuk kon. Sampel tersebut kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk memastikan keseluruhan tisu kanser telah dibuang. Jika tidak anda akan menjalani prosedur pembuangan mengikut dapatan pemeriksaan mikroskop
  • Histerektomi (buang rahim) – Dikhususkan bagi wanita yang tidak lagi mahukan anak. Ia hanya boleh dijalankan jika tumor tidak boleh dibuang sepenuhnya melalui kaedah konisasi
  • Terapi radiasi dalaman menggunakan bahan atau implan yang boleh menghantar radiasi berdos rendah bagi wanita yang tidak boleh menjalani prosedur pembedahan

Ketumbuhan pangkal rahim tahap IA

Umumnya, kanser serviks tahap IA terbahagi kepada 2 iaitu tahap IA1 dan IA2.

Pada ketika ini, kebiasaannya simptom pendarahan dan sakit pangkal rahim sudah dialami oleh segelintir pesakit.

Rawatan bagi kedua-duanya melibatkan kaedah yang berbeza. Bagi kanser pangkal rahim tahap IA1, ia melibatkan prosedur:

Bagi tahap IA2 pula, ia boleh melibatkan rawatan yang lebih agresif seperti:

  • Histerektomi secara radikal (buang rahim, serviks dan sebahagian faraj) berserta dengan kelenjar limfa
  • Trakelektomi secara radikal (buang serviks, sebahagian faraj dan tisu yang menyokong organ tersebut)
  • Terapi radiasi dalaman bagi wanita yang tidak boleh menjalani pembedahan

Kanser serviks tahap IB dan IIA

Seperti tahap IA, pada ketika ini sebahagian pesakit sudah mengalami simptom awal kanser seperti pendarahan dan sakit pangkal rahim.

Rawatan bagi tahap ini termasuklah:

  • Terapi radiasi dan kemo dalam masa yang sama
  • Histerektomi secara radikal berserta dengan pembuangan kelenjar limfa pada kawasan pelvik. Ia boleh disertakan dengan terapi radiasi ditambah dengan terapi kemo atau tidak (bergantung kepada penilaian doktor)
  • Trakelektomi secara radikal
  • Terapi kemo disusuli dengan pembedahan untuk membuang ketumbuhan pangkal rahim
  • Terapi radiasi sahaja bagi mereka yang tidak boleh menjalani pembedahan

Kanser pangkal rahim tahap IIB, III dan IVA

Apabila kanser sudah mencapai tahap lewat, rawatan baginya menjadi lebih agresif.

Kebiasaannya pada peringkat ini, rawatan tidak lagi melibatkan pembedahan berikutan saiz tumor yang semakin membesar dan hanya berfokus kepada terapi radiasi secara agresif.

  • Terapi radiasi bersama dengan kemo dalam masa yang sama
  • Terapi radiasi dan pembedahan untuk membuang kelenjar limfa pada kawasan pelvik bersama/tanpa terapi kemo
  • Terapi radiasi dalaman
  • Ujian klinikal menggunakan terapi kemo untuk mengecilkan saiz tumor pangkal rahim diikuti dengan pembedahan
  • Ujian klinikal yang melibatkan penggunaan terapi kemo dan radiasi dalam masa yang sama, disusuli dengan terapi kemo sahaja

Kanser serviks tahap IVB

Bagi rawatan kanser pangkal rahim tahap akhir, ia boleh melibatkan:

  • Terapi radiasi untuk melegakan simptom kanser (paliatif)
  • Terapi kemo dan terapi bersasar
  • Terapi kemo untuk melegakan simptom kanser (paliatif)
  • Ujian klinikal yang melibatkan penggunaan ubat anti kanser baharu atau gabungan ubat baharu

Konklusi

Rawatan bagi masalah kanser pangkal rahim bergantung kepada tahap yang dialami oleh pesakit.

Secara mudahnya, pada peringkat awal, ketumbuhan tersebut boleh dibuang melalui kaedah pembedahan.

Namun, jika kanser sudah mencecah tahap lewat, rawatan terapi radiasi secara agresif boleh membantu pesakit untuk mengawal pertumbuhan kanser.

Keputusan ini tidak rigid dan ia dibuat berdasarkan kepada situasi klinikal dan perkembangan ilmu perubatan semasa.

Maka amat penting untuk anda mendapatkan maklumat terkini daripada doktor perubatan yang merawat anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Cervical Cancer Treatment (PDQ®)–Patient Version. (https://www.cancer.gov/types/cervical/patient/cervical-treatment-pdq). Diakses pada 20 Februari 2021.
  2. Radical hysterectomy with adjuvant radiotherapy versus radical radiotherapy for FIGO stage IIB cervical cancer. (https://bmccancer.biomedcentral.com/articles/10.1186/1471-2407-14-63). Diakses pada 20 Februari 2021.
  3. Cervical Cancer Stages. (https://www.cancer.org/cancer/cervical-cancer/detection-diagnosis-staging/staged.html). Diakses pada 20 Februari 2021.
Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Disemak pada 24/02/2021
x