backup og meta

Jaga-jaga Jika Alami Berdarah Lepas Seks & Sakit Belakang, Ini Simptom Jarang Berlaku Bagi Kanser Serviks

Jaga-jaga Jika Alami Berdarah Lepas Seks & Sakit Belakang, Ini Simptom Jarang Berlaku Bagi Kanser Serviks

Ketumbuhan pangkal rahim (kanser serviks) adalah sejenis kanser yang berlaku pada sel serviks. Sel tersebut terletak di bahagian bawah rahim menghubungkan struktur tersebut dengan faraj.

Punca utama bagi masalah kesihatan ini adalah pendedahan terhadap virus papilloma (HPV) melalui hubungan seks.
Lazimnya, apabila badan manusia dicerobohi oleh HPV, sistem imun akan melindungi badan daripada kesan buruk yang dibawa oleh virus tersebut.

Walau bagaimanapun, bagi segelintir pesakit, virus tersebut akan kekal dorman dan menyebabkan terjadinya proses patologi terhadap sel serviks sehingga mengakibatkan ia menjadi kanser.

Diagnosis awal boleh membantu meningkatkan potensi kesembuhan pesakit terhadap ketumbuhan tersebut.

Artikel ini akan menerangkan simptom ketumbuhan pangkal rahim yang mungkin dialami pesakit. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

Simptom yang sering dilaporkan oleh pesakit ketumbuhan pangkal rahim 

Apabila berbicara mengenai kanser serviks, simptom yang sering dilaporkan oleh pesakit adalah berkaitan dengan pendarahan.

Terdapat beberapa bentuk pendarahan yang boleh menjadi tanda tanda kanser pangkal rahim peringkat awal.

ketumbuhan pangkal rahim

Antaranya adalah:

  • Pendarahan faraj yang abnormal. Ini merupakan satu istilah umum yang merujuk kepada pendarahan tidak normal dalam kitaran haid. Pendarahan yang berlaku di antara dua kitaran haid kebiasaannya menjadi tanda awal kepada penyakit seperti kanser serviks. Oleh sebab darah yang keluar boleh jadi kelihatan pudar dan cair, ia sering diabaikan. Bagi mereka yang sudah menopaus, jika berlaku pendarahan, ia turut boleh menjadi tanda awal bagi kanser serviks
  • Pendarahan selepas hubungan seks. Walaupun hanya sedikit yang keluar, pendarahan selepas hubungan seks perlu disiasat. Terdapat pelbagai jenis punca yang boleh menyebabkan pendarahan selepas hubungan seks seperti jangkitan dan kanser
  • Pendarahan berlebihan semasa haid. Jika anda mengalami pendarahan berlebihan atau tempoh haid berpanjangan berbanding dengan kitaran haid anda yang normal, ia perlu diperiksa oleh doktor. Apa yang anda perlu ambil perhatian adalah apakah tempoh masa normal bagi pendarahan yang sering anda alami? Jika ia berbeza dengan sebelum ini, perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada doktor

Selain pendarahan, pesakit juga boleh mengalami simptom…

Sakit pada bahagian pelvik juga boleh menjadi simptom bagi ketumbuhan pangkal rahim. 

Walaupun ia tidak spesifik namun pemeriksaan awal boleh membantu mengenal pasti puncanya dan jika ia kanser, rawatan susulan boleh diberikan secepat mungkin.

Sakit yang dialami kebiasaannya di bawah kawasan pusat. Kebanyakan pesakit melaporkan karakter sakit sebagai sakit yang dicucuk-cucuk.

Apa yang lebih penting adalah ia boleh jadi semakin teruk ketika atau selepas melakukanhubungan seks.

Selain daripada sakit pelvik, faraj pesakit kanser serviks juga boleh mengeluarkan cecair tidak normal yang berwarna coklat kemerah-merahan.

Pun begitu, warna cecair berbeza mengikut individu. Jumlahnya boleh jadi banyak atau sedikit dan ia boleh jadi kerap atau keluar kadangkala sahaja.

Simptom yang jarang berlaku disebabkan oleh ketumbuhan pangkal rahim

ketumbuhan pangkal rahim

Apabila ketumbuhan serviks sudah semakin membesar, ia boleh menekan organ lain terutamanya pundi kencing dan bahagian bawah usus besar yang terletak berdekatan dengannya.

Perkara ini boleh mempengaruhi fungsi organ tersebut dan menyebabkan simptom sakit akibat tekanan pada saraf dan salur darah yang terletak berdekatan dengan kawasan tersebut.

Antara simptom yang boleh dialami pesakit akibat kanser serviks adalah:

  • Sakit belakang. Boleh berlaku akibat tekanan yang disebabkan oleh tumor yang semakin membesar terhadap saraf tulang belakang
  • Kaki menjadi bengkak. Apabila tumor menekan pada kelenjar limfa atau salur darah vena, ia boleh menghalang aliran normal menyebabkan kaki anda kelihatan bengkak
  • Simptom usus dan pundi kencing. Oleh sebab kedua-dua ini terletak berdekatan, ketumbuhan pangkal rahim boleh menyebabkan simptom seperti tidak boleh tahan kencing, tahan buang air besar atau kedua-duanya. Jika tumor terlalu besar, ia juga boleh menghalang aliran keluar najis dan air kencing menyebabkan masalah sembelit dan kencing tidak lawas

ketumbuhan pangkal rahim

Konklusi

Jika anda mengalami sebarang simptom kanser serviks seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda membuat pemeriksaan dengan kadar segera.

Diagnosis awal boleh membantu anda untuk mencapai kesembuhan daripada keadaan kesihatan ini. Oleh itu wanita amat disarankan untuk melakukan ujian saringan dan pemeriksaan berkala.

Pengambilan vaksinasi HPV boleh membantu mengurangkan kadar kanser serviks yang disebabkan oleh jangkitan ini.

Selain itu, amalkan seks selamat bagi mencegah berlakunya jangkitan terhadap anda dan juga pasangan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan dengannya, sila rujuk kepada doktor perubatan bertauliah untuk keterangan lanjut.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cervical cancer: Overview. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279259/). Diakses pada 20 Februari 2021.
  2. Awareness of cervical cancer risk factors and symptoms: cross‐sectional community survey in post‐conflict northern Uganda. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/26205470/. Diakses pada 20 Februari 2021.
  3. Postcoital Bleeding: A Review on Etiology, Diagnosis, and Management. https://doi.org/10.1155/2014/192087. Diakses pada 20 Februari 2021.
  4. Pelvic cancer pain. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/11135274/. Diakses pada 20 Februari 2021.
  5. Comparison of Lower Extremity Edema in Locally Advanced Cervical Cancer: Pretreatment Laparoscopic Surgical Staging with Tailored Radiotherapy Versus Primary Radiotherapy. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/26059654/. Diakses pada 20 Februari 2021.
  6. What Is Cervical Cancer? https://www.cancer.gov/types/cervical. Accessed on Aug 19, 2023.
  7. Cervical cancer. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cervical-cancer/symptoms-causes/syc-20352501. Accessed on Aug 19, 2023.

Versi Terbaru

13/03/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Siti Sofiah


Artikel Berkaitan

Barah Pembunuh Senyap! Kenal Pasti Tanda Awal Kanser Ovari Sebelum Terlambat!

Wanita Harus Peka Dengan 6 Simptom Kanser Serviks Ini, Perhatikan Perubahan Vagina Anda!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/03/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan