backup og meta

Apa Kaitan Hormon Estrogen & Barah Payudara? Kenali Peranannya Ini

Apa Kaitan Hormon Estrogen & Barah Payudara? Kenali Peranannya Ini

Bilangan insiden (kes baharu) kanser payudara (positif reseptor estrogen dan progesteron serta negatif reseptor) dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2018 adalah sebanyak 7593 kes, mewakili 17.3 peratus daripada keseluruhan kanser pada tahun tersebut.

Di Malaysia, ianya adalah barah nombor satu dalam kaum wanita, diikuti oleh barah usus di tempat kedua.

Dalam skala yang lebih besar, seramai 2.1 juta wanita di seluruh dunia menghidap barah payudara setiap tahun. Salah satu faktor risiko yang menyebabkan wanita cenderung untuk menghidap barah payudara adalah kerana peranan yang dimainkan oleh hormon estrogen.

Dalam artikel ‘Estrogen dan Barah Payudara’ ini, peranan estrogen terhadap terjadinya penyakit barah payudara akan dibincangkan. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Payudara, sila dapatkannya di sini.

Apa itu Estrogen?

Estrogen adalah hormon seks utama wanita yang dihasilkan oleh ovari.

Ia memainkan peranan penting dalam mengawal fungsi dan kesihatan organ reproduktif wanita di samping memberikan wanita ciri-ciri seks sekunder mereka.

Meskipun ia dihasilkan di ovari, isyarat yang membenarkan ovari untuk menghasilkan hormon ini datangnya dari otak, khususnya kelenjar pituitari.

Secara amnya, estrogen boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya adalah:

  • Estrone: Estrogen jenis ini hanya wujud di dalam badan wanita selepas mereka mencapai usia menopaus. Ia merupakan sejenis estrogen yang lemah sehinggakan badan boleh menukarkannya kepada jenis estrogen lain mengikut keperluan semasa.
  • Estradiol: Lelaki dan perempuan, kedua-dua jantina tersebut menghasilkan estradiol. Jenis estrogen ini boleh didapati pada wanita yang berada dalam lingkungan usia boleh hamil. Peningkatan pada paras jenis estrogen secara berlebihan ini boleh menyebabkan masalah jerawat, hilang nafsu seks, osteoporosis dan kemurungan.
  • Estriol: Paras estriol cuma meningkat ketika wanita sedang hamil. Ia merupakan komponen penting untuk membantu pertumbuhan rahim sebagai persiapan sebelum bersalin.

Apakah fungsi estrogen di dalam badan?

hormon estrogen

Estrogen merupakan hormon penting terutamanya buat wanita bagi mencapai fungsi fisiologi normal seperti:

  1. Membantu merangsang tumbesaran telur folikel di dalam ovari.
  2. Mengekalkan ketebalan dinding faraj dan merangsang pengeluaran cecair pelincir.
  3. Memperbaiki dan mengekalkan integriti membran mukus yang menyelubungi permukaan rahim.
  4. Mengawal aliran dan kepekatan cecair rahim.
  5. Membentuk tisu payudara dan membantu untuk menghentikan pengeluaran susu ibu setelah sesi penyusuan anak.

Setiap individu mempunyai paras hormon estrogen yang berbeza.

Ia boleh berubah mengikut kitaran haid yang dialami oleh wanita dan perkara ini boleh mempengaruhi mood sebelum haid atau masalah kepanasan semasa menopaus.

Oleh sebab hormon ini begitu penting buat wanita, ketidakseimbangannya boleh menyebabkan masalah seperti:

  1. Tidak haid atau haid tidak teratur.
  2. Darah haid keluar banyak atau sedikit.
  3. Simptom pra haid atau menopaus yang teruk.
  4. Perpeluhan pada waktu malam dan kepanasan.
  5. Masalah sukar tidur dan perubahan mood mendadak.
  6. Kurang nafsu seks
  7. Kekeringan faraj
  8. Kelesuan
  9. Keresahan dan kemurungan
  10. Kulit kering

Bagaimana Estrogen meningkatkan risiko barah payudara?

hormon estrogen

Majoriti barah payudara dipengaruhi oleh hormon estrogen dan ia disebut sebagai barah payudara positif-ER.

Kadangkala, sebilangan besar barah payudara yang positif-ER, akan turut positif-PR.

Positif ER bermaksud positif reseptor estrogen manakala positif-PR bermaksud positif reseptor progesteron.

Estrogen melekat pada reseptor ER-α dan merangsang sel-sel payudara untuk membahagi.

Pembahagian sel-sel yang berlaku dengan kerap dan rancak ini mempunyai kemungkinan untuk mutasi sel berlaku dalam mana-mana sel yang sedang membahagi dengan aktif ini.

Mutasi ini menyebabkan pembahagian sel-sel tersebut berlaku secara tidak terkawal dan apabila terkumpul dalam tempoh bertahun-tahun, ia cukup untuk menghasilkan ketumbuhan atau barah payudara. 

Sel-sel mutasi yang telah menjadi sel barah ini membahagi hingga ia berupaya untuk membesar dan memasuki tisu serta struktur-struktur lain berdekatannya seperti tulang rusuk, otot dada dan saluran limfa.

Lazimnya, terdapat gen-gen yang akan menghalang pertumbuhan sel-sel barah ini daripada terus membahagi.

Namun sekiranya wanita tersebut mempunyai mutasi genetik yang menyebabkan sistem kawalan ini terganggu, sel-sel barah dapat terus membahagi dan terkumpul.

Apakah rawatan untuk barah payudara yang positif ER?

Mujurlah, barah payudara jenis positif ER mempunyai peluang sembuh yang lebih baik berbanding barah payudara jenis yang lain.

Antara rawatan yang digunakan untuk barah payudara jenis ini adalah penggunaan terapi hormon.

Terapi ini menggunakan ubat Tamoxifen, sejenis ubat yang bersaing dengan hormon estrogen untuk melekat pada reseptor estrogen.

Jalani saringan mamogram dan lakukan pemeriksaan payudara kendiri dari semasa ke semasa bagi memastikan pengesanan awal.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang faktor risiko, simptom dan rawatan untuk barah payudara, berjumpalah dengan doktor anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Breast Cancer Mayo Clinic
  2. Breast Cancer Types: What Your Type Means?
  3. Estradiol hormone
  4. Estriol hormone
  5. Estrogen hormones

Versi Terbaru

03/04/2023

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

7 Tanda Kanser Payudara Setiap Wanita WAJIB Tahu!

6 Fakta Menarik Jika Wanita Tekad Mencegah Kanser Payudara, Lihat Yang Terakhir!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/04/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan