backup og meta

Tompok Hitam Pada Mata Tanda Barah? Ini 7 Tanda Awal Kanser Mata Yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/09/2022

    Tompok Hitam Pada Mata Tanda Barah? Ini 7 Tanda Awal Kanser Mata Yang Anda Perlu Tahu

    Seringkali kita mengabaikan tanda kanser mata memandangkan ia bukanlah sejenis kanser yang lazim didiagnosis di seluruh dunia.

    Walau bagaimanapun, jika masalah ini tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kecacatan penglihatan sehingga mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

    Artikel ini akan menerangkan sedikit sebanyak berkenaan dengan gejala bagi kanser mata.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

    Simptom umum kanser mata yang anda perlu tahu

    Seperti yang anda sedia maklum, bukan semua individu yang menghidap kanser akan mengalami simptom pada peringkat awal.

    Individu yang berbeza boleh menunjukkan gejala yang berlainan namun merujuk kepada diagnosis yang sama.

    Secara umumnya, mereka yang didiagnosis akan menunjukkan tanda kanser mata seperti:

    1. Penglihatan kabur pada sebelah mata.
    2. Floaters (bayang hitam terapung pada ruang penglihatan.
    3. Perubahan pada warna iris mata.
    4. Tompok hitam (satu atau lebih) pada iris mata.
    5. Mata merah dan sakit tanpa punca yang jelas.
    6. Mata bengkak atau tersembul.
    7. Hilang keupayaan penglihatan periferal.

    Pada peringkat awal, jumlah tanda kanser mata yang dialami penghidap mungkin sangat sedikit sehingga diagnosis kanser mata sukar dibuat.

    Tidak hairanlah jika perubahan mata anda dikesan oleh ahli optik (optometrist) lebih awal berbanding dengan doktor semasa anda membuat pemeriksaan rutin mata.

    Tanda dan punca kanser mata pada kes melanoma dan retinoblastoma

    tanda kanser mata

    Jika dibandingkan di antara kedua-duanya, terdapat perbezaan yang ketara dari segi simptom dan populasi lazim yang didiagnosis dengan masalah kesihatan tersebut.

    Sebagai contoh, bagi melanoma, ia sering didiagnosis dalam kalangan orang dewasa. 

    Punca kanser tersebut tertumpu kepada perubahan patologi sel yang dikenali sebagai melanoma.

    Melanoma merupakan kanser yang berlaku pada sel yang menghasilkan pigmen melanin.

    Pigmen tersebut boleh ada pada mata dan kulit setiap individu.

    Sementara itu, retinoblastoma pula sering didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak terutamanya mereka yang berusia 5 tahun dan ke bawah.

    Punca kanser retinoblastoma masih lagi tidak jelas namun ia mempunyai sangkut paut dengan proses mutasi pada gen RB1 yang diwarisi oleh anak daripada kedua-dua ibu bapa.

    Simptom kedua-dua jenis kanser mata ini berbeza mengikut proses patologi masing-masing.

    Simptom kanser melanoma mata

    1. Floaters.
    2. Bintik hitam pada iris mata yang semakin membesar.
    3. Perubahan pada bentuk pupil (bulatan hitam) yang terletak di tengah mata.
    4. Mata menjadi kabur pada bahagian sebelah yang terkesan.
    5. Hilang keupayaan penglihatan periferal.

    Simptom kanser retinoblastoma

    1. Pupil menjadi putih (leukokoria).
    2. Mata juling (strabismus).
    3. Warna pupil berlainan bagi kedua-dua belah mata.
    4. Glaukoma sehingga menyebabkan mata menjadi sakit (jarang berlaku).

    Memang tidak pelik sekiranya simptom bagi masalah retinoblastoma ini dikesan oleh ibu bapa pada awalnya.

    Jika anda mengambil gambar anak menggunakan flash, mata normal anak akan kelihatan merah pada pupil manakala mata yang terkesan dengan kanser akan kelihatan putih.

    Apa yang perlu saya lakukan jika mengalami simptom kanser mata?

    tanda kanser mata

    Jika anda mengalami mana-mana simptom yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kanser mata, pastikan anda merujuk kepada doktor.

    Anda mungkin memerlukan rujukan pakar dan pemeriksaan mata boleh dibuat menggunakan peralatan oftalmoskop bagi mengesahkan diagnosis.

    Bagi kanak-kanak pula, umumnya, pemeriksaan bayi selepas dilahirkan turut melibatkan pemeriksaan mata bagi melihat sekiranya terdapat tanda kanser retinoblastoma.

    Namun, pada peringkat awal, tanda kanser mata yang dialami berkemungkinan sangat minor sehingga sukar untuk dikesan oleh doktor.

    Jika anda mengesyaki anak anda menghidap kanser mata, bawa mereka berjumpa dengan pakar kanak-kanak dengan kadar segera.

    Retinoblastoma adalah sejenis kanser yang agresif. Pun begitu ia merupakan salah satu kanser yang boleh dirawat dengan jayanya sebelum ia menjadi teruk.

    Konklusi

    Kanser mata jarang berlaku namun jika ia didiagnosis, pengesanannya pada peringkat awal boleh meningkatkan potensi kesembuhan penyakit tanpa sebarang komplikasi.

    Jika anda mengalami sebarang tanda kanser mata seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan dan rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan