
Sapu Minyak Batu Kalau Alami Luka @ Lebam, Berkesan Hilangkan Rasa Pedih!
Jika anda mengalami luka kecil, apakah rawatan atau ubat yang biasa anda ambil? Anda sebenarnya boleh mempertimbangkan penggunaan minyak batu atau lebih tepat lagi, Minyak Batu Sai Kong. Minyak batu untuk luka ini bukan sahaja boleh digunakan ketika mengalami luka, tetapi juga untuk tujuan lain.

Berikut adalah maklumat yang anda perlu tahu mengenai fungsi minyak tradisional Cina ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan rawatan tradisional & herba, anda boleh klik di sini.
Minyak batu, ramuan rawatan tradisional Cina
Bagi masyarakat Melayu, terdapat pelbagai kaedah atau ubat tradisional yang boleh digunakan untuk merawat luka kecil.
Antaranya ialah seperti minyak gamat, kunyit hidup, daun jambu batu dan lain-lain petua lagi.
Namun, anda juga sebenarnya boleh menggunakan persedian tradisional yang dikenali sebagai minyak batu.
Minyak ini boleh dijadikan sebagai satu kaedah rawatan alternatif untuk merawat luka kecil.
Minyak batu merupakan satu persediaan rawatan tradisional Cina dan fungsinya lebih daripada sekadar merawat luka.
Ini fungsi minyak batu

Terdapat beberapa fungsi minyak ini yang kurang diketahui ramai. Walaupun lebih terkenal untuk merawat luka, namun ia boleh digunakan untuk beberapa tujuan lain.
Antara fungsi utama minyak ini ialah:
#1. Merawat luka melecet
Salah satu manfaat minyak batu yang paling dikenali ramai ialah sebagai rawatan untuk individu yang mengalami luka melecet ringan.
Biasanya, luka melecet ringan ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak disebabkan keadaan mereka yang lasak sewaktu bermain.
Minyak batu untuk luka melecet ini bukan hanya membantu mengurangkan rasa sakit, tetapi juga membantu mencegah berlakunya jangkitan pada luka tersebut.
Selain itu, rasa sejuk atau dingin daripada minyak ini lebih bersifat mesra kanak-kanak berbanding ubat-ubatan jenis lain.
#2. Mengurangkan bengkak
Apabila seseorang itu terjatuh atau mengalami kecederaan kecil, luka yang wujud pastinya disertai dengan kemunculan bengkak dan ia sememangnya agak memeritkan.
Dengan menyapu minyak ini pada bahagian yang bengkak, ia boleh mengurangkan kesan bengkak selain mengurangkan rasa sakit disebabkan sensasi sejuk minyak batu untuk luka ini.
Namun, elakkan menyapu minyak pada luka yang terbuka. Cukup sekadar menyapu minyak ini di sekeliling luka sahaja.
#3. Mengatasi lebam pada kulit
Lebam pada kulit boleh berlaku apabila terdapat luka pada kulit yang tidak terbuka.
Ini bermaksud, terdapat pendarahan kecil yang berlaku di bawah permukaan kulit anda.
Ia boleh menjadi amat menyakitkan terutama sekali jika ia berlaku pada bahagian sendi seperti lutut.
Namun anda tidak perlu risau kerana kandungan dalam minyak batu ini boleh membantu mengatasi lebam yang berlaku dengan lebih berkesan.
Minyak ini juga boleh membantu mengurangkan rasa sakit yang dialami.
#4. Merawat kulit melepuh
Kulit melepuh boleh berlaku disebabkan beberapa punca seperti terkena permukaan atau benda-benda yang panas. Rasa pedih kulit yang melepuh boleh menjadi sangat menyakitkan.
Jika anda mengalami rasa sakit disebabkan kulit yang melepuh, anda boleh mencuba dengan menyapu minyak batu untuk luka ini di sekitar kawasan yang melepuh tersebut.
Ini boleh membantu mengurangkan rasa sakit dan pedih yang sedang dialami. Namun, elakkan menyapu minyak ini pada kawasan kulit yang melepuh.
#5. Menghilangkan gatal disebabkan gigitan serangga
Mengalami kegatalan disebabkan gigitan serangga seperti semut dan lebah sememangnya menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan.
Oleh itu, anda boleh menggunakan minyak ini pada bahagian tubuh yang digigit bagi mengurangkan rasa gatal yang dialami.
Kandungan minyak ini bukan sahaja memberikan rasa dingin pada kulit, tetapi juga membantu mengurangkan rasa gatal yang berlaku.
Namun, bagi gigitan serangga yang menyebabkan kulit bengkak, melepuh atau kemerahan, anda perlu mendapatkan rawatan doktor dengan segera.
#6. Minyak batu sebagai minyak urut
Berurut badan sememangnya melegakan, tetapi tidak semua gemarkan penggunaan minyak urut yang bersifat panas.
Oleh sebab itu, minyak ini juga boleh digunakan sebagai minyak urut disebabkan sensasi dinginnya berbanding minyak urut panas yang lain.
Hati-hati ketika menggunakan minyak ini
Walaupun mempunyai banyak manfaat dan kegunaan, anda masih perlu berhati-hati ketika menggunakan minyak ini.
Secara umumnya, minyak ini adalah selamat untuk digunakan. Namun, anda perlu mengawal penggunaannya terutama pada golongan kanak-kanak.
Selain itu, elakkan menyapu minyak ini pada kawasan luka yang terbuka bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak dijangka.
Cukup sekadar menyapunya di sekitar bahagian luka bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami.
Ubat ini juga hanya untuk kegunaan luaran sahaja dan tidak boleh diminum atau disapu pada bahagian dalam tubuh seperti mulut, hidung atau telinga.
Pastikan minyak ini disimpan di tempat yang selamat untuk mengelakkan capaian kanak-kanak kecil.
