Vagina merupakan kediaman bagi pelbagai jenis bakteria baik. Walau bagaimanapun, jika keseimbangan pH di dalam vagina terganggu, jangkitan bakteria atau thrush yang akan akibatkan kegatalan dan bau yang tidak enak boleh berlaku.
Tahap pH yang rendah di kawasan vagina merupakan sebuah benteng semula jadi yang boleh mengelakkan jangkitan daripada bakteria asing.
Oleh itu, jika anda ingin bersihkan alat sulit anda, jangan usik bahagian vagina anda. Tetapi, bahagian luar vagina anda iaitu vulva masih perlu dijaga dan dibersihkan.
Bersihkan vulva anda!
Jika anda ingin cuci kemaluan anda, elakkan daripada menggunakan sabun wangi ataupun antibacterial kerana sabun jenis ini boleh menganggu kestabilan pH vagina anda.
Tambah lagi, pewangi merupakan sejenis bahan yang boleh mengakibatkan iritasi pada Miss V anda. Oleh itu, cuba elakkan daripada guna sabun mandi untuk membasuh bahagian intim.
Sebenarnya, anda juga tidak perlu berbelanja lebih untuk feminine wash ataupun sabun untuk bahagian intim. Cukup sekadar menggunakan air suam dan sabun kosong tanpa pewangi setiap hari.
Selain itu, amalkan juga kaedah membasuh dari depan ke belakang dan bukan sebaliknya.
Elakkan juga amalan meruang kerana amalan tersebut punyai lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Meruang hanya akan membuatkan kondisi vagina anda lebih teruk dan mungkin meningkatkan risiko anda untuk terkena jangkitan.
Cara terbaik menjaga Miss V anda

Cara menjaga Miss V bukan terhad kepada mencucinya sahaja. Namun, ada banyak lagi perkara yang perlu anda titik beratkan.
Sebagai contoh, cara pemakaian dan juga material yang anda pakai juga boleh memberikan impak terhadap kesihatan vagina anda.
Di sini kami berikan anda 8 tip untuk menjaga Miss V supaya kekal sihat dan tidak berbau:
- Guna air suam untuk cuci kemaluan anda. Kemudian, keringkan dengan tuala.
- Elakkan daripada menyentuh kawasan vagina. Vagina anda boleh bersihkan dirinya sendiri.
- Jika anda datang bulan, luangkan masa lebih untuk basuh vulva anda.
- Gunakan seluar dalam yang diperbuat daripada kapas jika anda mudah mengalami gatal-gatal pada kawasan intim.
- Tukar pakaian dalam secepat mungkin jika anda rasa ia basah atau berpeluh.
- Elakkan daripada memakai seluar dalam jenis thong kerana ia boleh buatkan kemaluan anda gatal.
- Jangan sesekali meruang, sembur deodoran, gunakan tisu basah, minyak pati ataupun apa-apa produk yang mempunyai pewangi ke atas vagina anda.
- Elakkan pakai pakaian yang ketat.
Mudah sebenarnya cara untuk menjaga Miss V!
Mudah bukan untuk menjaga vagina anda! Cuma, anda perlu tahu teknik yang betul dan tempat yang anda tidak boleh basuh jika ingin membersihkan vagina anda.
Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah keputihan yang luar biasa atau sakit di bahagian alat sulit, jangan ingat dengan kerap membasuhnya, masalah itu akan beransur pergi!
Jika anda hadapi masalah di atas, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor.