Banyak betul tahi cicak di tepi tingkap. Rimas rasanya! Tidak ada sesiapapun yang inginkan cicak di dalam rumah. Walaupun ia tidaklah membawa bahaya seperti lipas atau tikus, namun cicak masih lagi tergolong dalam kumpulan serangga perosak. Jadi, ada ke cara hilangkan tahi cicak di dinding yang berkesan?
Jawapannya ialah ya, ada solusi yang mudah untuk masalah ini. Malah, semua bahan yang bakal digunakan untuk menghalau cicak ini mungkin sudah ada di dapur anda.
Ingin tahu lebih lanjut? Jom, teruskan pembacaan anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Habit Sihat, anda juga boleh klik di sini.
5 cara hilangkan tahi cicak di dinding
Tahukah anda, ada lebih daripada 4,000 spesies cicak di dunia ini? Cicak yang lazim kita temui di rumah turut dikenali sebagai common house gecko, atau nama saintifiknya, Hemidactylus frenatus.
Mungkin ramai yang tidak tahu, cicak ini asalnya dari negara kita sendiri! Namun, kini ia boleh ditemui di serata dunia.
Jika ada banyak cicak di rumah, sudah tiba masanya untuk anda hentikannya.
Sebenarnya, ada banyak cara hilangkan tahi cicak di dinding. Anda boleh gunakan bahan-bahan yang ada di rumah atau guna sahaja khidmat profesional!
Cicak boleh mendatangkan penyakit!
1. Pertama sekali, kenal pasti dari mana cicak masuk
Untuk kurangkan tahi daripada cicak di dinding rumah, pertama sekali anda perlulah tahu dari mana mereka masuk. Jangan lupa, cicak mempunyai badan yang fleksibel. Jadi, ia boleh masuk melalui rekahan-rekahan kecil di rumah.
Jadi, selepas anda kenal pasti dari mana cicak masuk, cuba tutup rekahan tersebut. Jika ia masuk dari tingkap, cuba pasang kasa dawai untuk menghalangnya daripada memasuki rumah.
2. Sembur dinding menggunakan bahan penjauh serangga semula jadi
Anda tidak perlu berbelanja ratusan ringgit untuk halau cicak dari rumah. Sebenarnya, ada banyak bahan semua jadi yang anda boleh gunakan sebagai penghalau cicak.
Cicak tidak menyukai bau yang kuat dan pedas. Ada juga yang kata cicak tidak sukakan bau bawang putih dan bawang merah.
Cara pertama, cuba campurkan beberapa sudu serbuk cili di dalam air panas. Kemudian, sembur pada kawasan dinding, tingkap dan pintu.
Selain itu, anda juga boleh kisar bawang bersama air dan gunakan campuran ini sebagai semburan. Tapi jangan sembur banyak-banyak, berbau bawang pula rumah nanti!
Jika anda tidak mahu sembur rumah dengan bawang, hirisan bawang putih sudah memadai untuk menghalau cicak. Letak sahaja beberapa ulas bawang putih di kawasan yang dikehendaki. Pasti kurang tahinya nanti!
Baca juga:
- Rumah Banyak Haiwan Melekat Di Dinding, Ini Cara Buat Perangkap Cicak DIY!
- Selain Bela Kucing, Ini 8 Cara BERKESAN Halau Cicak Dari Rumah!
3. Letak ubat gegat di tempat yang ada banyak tahi cicak
Jangan ingat ubat gegat berkesan untuk lipas sahaja! Ia juga boleh digunakan untuk menghalau semut, lalat, kupu-kupu dan juga cicak!
Tidak rugi jika anda beli ubat gegat sebungkus dua. Letakkannya di kawasan yang ada banyak cicak seperti di bawah sinki, bilik air, dapur atau di sekitar peti ais.
4. Gunakan campuran serbuk kopi dan tembakau
Tahukah anda, campuran kopi dan tembakau sebenarnya beracun pada cicak! Tak percaya? Cuba letakkan kopi dan tembakau dalam kain nipis. Kemudian gantung di tempat yang ada banyak cicak.
Keesokan harinya, anda mungkin akan nampak banyak bangkai cicak bergelimpangan di sekitar kain tersebut.
Selain itu, anda juga boleh campurkan kopi dan tembakau dalam satu bekas. Sapukan gam pada hujung pencungkil gigi dan gaulkannya dengan campuran tadi. Letakkan umpan tersebut di kawasan kegemaran cicak seperti di belakang peti ais atau almari.
5. Kemas rumah untuk elak banyak tahi cicak
Kadangkala, cicak suka singgah sebab rumah kita bersepah! Cuba tengok kebun dekat luar, sudah berapa lama dibiarkan tak terjaga?
Jika ini yang berlaku, cuba habiskan masa hujung minggu untuk kemas rumah dan potong rumput yang tumbuh meliar di rumah.
Bersihkan kesan-kesan tahi yang melekat di dinding dan sembur dengan air bawang atau lada seperti yang kami terangkan dalam perenggan di atas.
Kalau semuanya tak berjaya, mungkin sudah tiba masanya untuk anda gunakan khidmat profesional!