Penyakit talasemia sebenarnya terdiri daripada beberapa jenis gangguan atau kondisi darah yang mempengaruhi badan manusia dalam satu cara yang sama.
Contohnya, talasemia merangkumi kondisi seperti alpha talasemia, beta talasemia dan talasemia jenis lain (E beta talasemia dan talasemia sel sabit).
Ada dua jenis talasemia iaitu alpha talasemia dan beta talasemia. Kedua-duanya mempunyai dua lagi pecahan kategori tambahan iaitu talasemia major dan talasemia minor.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Gangguan Darah, anda boleh klik di sini.
Bagaimana tahu diri pembawa @ penghidap talasemia?
Individu yang mempunyai talasemia sederhana dan teruk selalunya akan mengetahui mengenai kondisi mereka ini sejak kanak-kanak.
Mereka akan alami anemia yang teruk ataupun doktor akan mengesan anemia pada individu tersebut ketika dia melakukan ujian darah.
Disebabkan talasemia merupakan sesuatu yang berlaku secara turun-temurun, kondisi ini selalunya berlaku kepada beberapa orang dalam satu keluarga.
Oleh sebab itu, pesakit talasemia juga mungkin didedahkan mengenai penyakit yang mereka alami melalui ahli keluarga terdekat.
Talasemia lebih lazim berlaku dalam kalangan mereka dari negara Mediterranean seperti Greece dan Turkey, dan juga individu yang berasal dari Asia, Afrika, dan Timur Tengah.
Bagaimana penyakit talasemia ini akan dirawat?
Rawatan talasemia berbeza bergantung kepada jenis dan betapa teruk keadaan pesakit tersebut. Semakin teruk talasemia yang pesakit tersebut hidap, semakin kuranglah hemoglobin yang terkandung di dalam badan pesakit.
Secara tidak langsung, anemia yang dihidapi oleh pesakit juga akan menjadi semakin teruk.
Salah satu cara untuk merawat anemia adalah dengan menambah darah merah dalam badan.
Salah satu cara untuk menambah darah pula adalah dengan melakukan transfusi darah. Pesakit yang menghidap talasemia, terutamanya talasemia major memerlukan transfusi darah secara berkala untuk bantu mereka kekal sihat.
Selalunya, mereka yang menghidap talasemia yang ringan atau sederhana tidak memerlukan sebarang rawatan.
Namun, individu yang mengalami talasemia yang teruk mungkin perlukan:
- Chelation therapy – Terapi ini dijalankan untuk membuang lebihan zat besi di dalam darah. Untuk pengetahuan anda, zat besi akan berkumpul di dalam badan pesakit talasemia yang melakukan tranfusi darah secara berkala
- Pemindahan sum sum tulang – Rawatan ini boleh digunakan untuk merawat kanak-kanak yang mempunyai talasemia yang teruk. Penerima sum sum tulang tidak lagi perlu lakukan transfusi darah
Suplemen asid folik untuk kanak-kanak dengan penyakit talasemia jenis haemoglobin H
Penyakit hemoglobin H (HbH) merupakan sejenis talasemia alpha yang menyebabkan penghidapnya mengalami anemia yang teruk.
Kebanyakan pesakit yang mempunyai Hbh tidak memerlukan sebarang transfusi darah, namun doktor mungkin akan menggalakkan agar pesakit mengambil suplemen asid folik sebanyak 0.5 ke 1.0 mg sehari.
Tambah lagi, pesakit perlu mengambil vaksinasi sama seperti kanak-kanak lain untuk melindungi mereka daripada sebarang jangkitan.
Suplemen ini bertujuan untuk membantu badan pesakit untuk membuat sel darah baru.
Selain itu, pesakit yang mempunyai kondisi ini mungkin memerlukan transfusi darah, lebih-lebih lagi selepas melakukan sebarang pembedahan.
Namun, ada juga penghidap talasemia jenis ini yang mungkin memerlukan transfusi darah secara berkala.
Oleh sebab itu, mereka perlu mengambil ubat-ubatan tambahan untuk membuang lebihan zat besi daripada badan mereka.
Ibu bapa yang mempunyai anak dengan penyakit ini perlu berjumpa doktor dengan kerap supaya tahap hemoglobin anak mereka boleh dipantau.
Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut mungkin tidak lagi perlu untuk mengunjungi hospital sekerap dulu.
Kunjungan pesakit yang seterusnya ke pusat talasemia mungkin hanya satu atau dua kali setahun.
Gaya hidup yang individu perlu amalkan!
Pesakit yang hidup dengan kondisi ini perlu melakukan perubahan dari segi gaya hidup. Contohnya:
- Elakkan makan suplemen yang mengandungi zat besi.
- Pastikan anda makan makanan yang sihat – Selain suplemen asid folik, doktor mungkin akan membekalkan pesakit dengan suplemen kalsium dan vitamin D untuk mengekalkan kekuatan tulang.
- Pastikan anda elakkan jangkitan – Basuh tangan dengan kerap dan jauhi mereka yang sakit.
- Pesakit juga perlu mengambil vaksinasi untuk mengelakkan meningitis, pneumonia dan hepatitis B. Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika terkena jangkitan.
Hidup dengan penyakit talasemia amat mencabar. Jadi, pesakit yang mempunyai penyakit ini mungkin perlu mendapatkan khidmat doktor sebelum membina keluarga.
Pesakit juga boleh menyertai kumpulan sokongan untuk pesakit talasemia. Mereka boleh berikan anda informasi tambahan dan menjadi pendengar yang lebih baik.