🔥 Diskusi Terhangat

AWASI! Gula tersembunyi dalam makanan

Pengambilan gula yang keterlaluan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti, hyperaktif dan karies gigi. Gula boleh didapati dalam banyak makanan yang tidak dijangkakan. Tahu tak para ibu bapa, anda mungkin memberi anak anda gula yang berlebihan tanpa mengetahuinya? Ibu bapa haruslah bijak memilih makanan yang tidak terlampau manis kerana memperkenalkan makanan yang manis kepada kanak-kanak pada usia yang muda akan mempengaruhi pilihan citarasa mereka.


Menurut NHS UK, pengambilan gula bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 10 tahun haruslah tidak melebihi daripada 24g sehari (6 kiub gula). Pengambilan gula bagi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun pula tidak patut melebihi daripada19g (5 kiub gula).


Walaupun anak anda tidak pernah mengambil gula-gula, tetapi makan gula tersembunyi dalam makanan "sihat" bersendirian pun mungkin akan melebihi had pengambilan gula harian yang disyorkan. Marilah kita lihat senarai gula tersembunyi dalam makanan kita dan menjadi lebih berwaspada ketika memberi makanan kepada anak-anak anda.


Berhati-hati dengan penyamaran! Gula juga dikenali sebagai:

  • Sukrosa
  • Fruktosa
  • Maltosa
  • Sorbitol
  • Manitol
  • Sirap jagung
  • Madu
  • Malt dan ekstrak malt
  • Maltodekstrin
  • Molasses
  • Gula tebu
  • Rice syrup
  • Agave
  • Sirap maple
  • Inverted sugar

Dll…



Gula tersembunyi dalam makanan:


1. Granola bar


Ramai orang menganggap granola bar sebagai snek yang sihat. Dalam sesetengah kes, granola bar merupakan sumber serat dan protein yang baik. Namun ada juga yang mengandungi gula, karbohidrat dan kalori yang berlebihan. Granola bar biasa ditambah dengan pemanis seperti sirap jagung, gula perang, madu, sirap, dekstrosa dan fruktosa. Terdapat juga granola bar yang dibalut dengan salutan yogurt atau coklat, dan ditaburkan dengan cip coklat yang lagi menambahkan kandungan gula yang terkandung di dalam.


2. Susu berperisa


Susu berperisa seperti susu coklat lebih digemari oleh kanak-kanak disebabkan kemanisannya, walaupun ia merupakan sumber kalsium namun kandungan gula di dalam susu berperisa banyak tinggi. Oleh demikian berbanding dengan susu yang berperisa, susu asli barulah pilihan yang lebih baik untuk anak anda di samping mengandungi gula yang lebih rendah. Minum minuman yang manis di peringkat awal dengan berlebihan akan memupuk citarasa mereka dalam menyukai makanan yang lebih manis berbanding dengan makanan yang lain.


3. Cereals


Cereals dengan pembungkusan yang berwarna-warni pasti akan menarik perhatian anak-anak anda. Walaupun sesetengah bijirin mempunyai serat yang lebih tinggi namun untuk menarik citarasa anak anda, cereals ini biasanya akan ditambah dengan gula yang banyak.


4. Minuman berkarbonat & cordial


Minuman berkarbonat antara makanan yang mengandungi gula yang amat tinggi, kebanyakan minuman berkarbonat mempunyai sekurang-kurangnya 7 sudu teh gula di dalamnya. Bukan sahaja itu, minuman berkarbonat juga antara faktor utama yang menyebabkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak. Minuman berkarbonat mengandungi sirap jagung fruktosa tinggi (HFCS) yang akan meningkatkan selera makan dan menggalakkan obesiti.


5. Yogurt


Yogurt yang berperisa (flavoured yoghurt) diantara makanan yang mengandungi gula tersembunyi. Jadi, ibu bapa boleh gantikan yogurt yang berperisa seperti flavor strawberi atau mangga dengan yogurt asli yang lebih rendah dalam gula. Jika anak anda tak biasa makan yogurt asli yang kurang berperisa, boleh juga tambah dengan buah-buahan yang segar seperti berries dan pisang.


6. Sos tomato


Sos tomato mengandungi banyak gula dan garam dan mempunyai nilai pemakanan yang amat rendah. Satu hidangan sos tomato (1 sudu besar) mengandungi sekitar 1 sudu teh gula. Untuk menambahkan kemanisan dan keseleraan sos tomato, sirap jagung fruktosa tinggi (HFCS) biasanya akan ditambah, HFCS ini bukan sahaja tidak baik untuk usus tetapi juga menyebabkan penambahan berat badan.


7. Pastri


Pastri dan kek kegemaran kanak-kanak biasanya tinggi dalam lemak dan gula. Ia boleh menjadi ketagihan tetapi pengambilan pastri dan kek patutlah dihadkan. Dalam pilihan roti dan bijirin, kita patut menggantikan karbohidrat ringkas seperti pastri dan roti putih yang tinggi dalam gula dengan gandum penuh, yang mempunyai lebih banyak serat dan lebih rendah mengandungi gula.


8. Biskut/ biskut coklat chip


Biskut antara snek kegemaran kanak-kanak sepanjang masa, namun sesetengah biskut seperti biskut coklat chip adalah tinggi dalam kandungan gula, ibu bapa patutlah mengehadkan pengambilan biskut yang terlampau manis dan menggantikan dengan biskut kraker asli yang tak berperisa.



Gula tersembunyi boleh didapati dalam makanan seperti kek, biskut, coklat, air soda serta kordial. Walaupun menyelerakan, kita patut elakkan makanan bergula dan minuman manis dengan berlebihan untuk mengelakkan masalah kesihatan.



Disediakan oleh: Sylvia Ho (Pakar pemakanan)




Sumber:


Ismail, W. S. bt. W. (2019, November 1). Pengambilan Gula Dan Kesihatan Pergigian. PORTAL MyHEALTH. Retrieved January 7, 2023


NHS. Sugar. NHS choices. Retrieved January 7, 2023


Admin. (2011, September 6). Fakta Mengenai Gula. PORTAL MyHEALTH. Retrieved January 7, 2023

AWASI! Gula tersembunyi dalam makananAWASI! Gula tersembunyi dalam makanan
Suka
Kongsikan
Simpan
Komen
300
4

0 komen

Cari komuniti anda
Terokai komuniti kami yang berapandukan kepada topik-topik kesihatan semasa