brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Ubat HFMD: Apa Yang Boleh Diberi, Tanda Sembuh & Cara Elak Jangkitan di Taska

Anak anda sedang demam, ada ulser mulut dan lepuh di tapak tangan selepas pulang dari taska? Mungkin itu HFMD. Tapi, apa itu HFMD? Dan apa ubat HFMD yang paling berkesan? Jawapan ringkasnya, tiada ubat antivirus khusus dan kebanyakan kes sembuh sendiri dalam 7 hingga 10 hari dengan penjagaan di rumah. Nak tahu lebih lanjut? Teruskan membaca artikel ini! 

Ubat HFMD: Apa Yang Boleh Diberi, Tanda Sembuh & Cara Elak Jangkitan di Taska

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Apa punca HFMD ?

Penyakit tangan kaki dan mulut atau hand-food-and-mouth-disease (HFMD) disebabkan oleh enterovirus, terutamanya Coxsackievirus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Virus ini merebak melalui air liur, hingus, cecair lepuh dan najis.

Di taska atau rumah pengasuh, kanak-kanak kecil bergaul rapat, suka memasukkan tangan atau mainan ke mulut dan berkongsi barang, menjadi punca HFMD mudah merebak.

Solusi atau ubat untuk HFMD, apa parent boleh buat?

1. Rehat secukupnya

Dengan memastikan si manja mendapat rehat yang cukup di rumah, anda dapat memastikan sakit yang dialaminya beransur reda. 

2. Minum banyak cecair

  • Bagi anak bawah usia setahun, teruskan penyusuan susu ibu atau susu formula.
  • Jika anak berusia lebih 1 tahun, pastikan pengambilan cecair yang mencukupi. Berikan mereka air, susu, jus epal atau aiskrim popsicle. Berikan makanan lembut dan sejuk kerana ia lebih mudah ditelan apabila mulut sakit.

3. Beri paracetamol 

Apakah ubat untuk HFMD? Tiada ubat antivirus khusus.

Pastikan anda berikan ubat mengikut dos pada label atau nasihat doktor dan ahli farmasi bagi mengurangkan demam dan ulser di dalam mulut. 

Harus diingatkan, anda tidak boleh memberi aspirin kerana ia boleh menyebabkan kematian.

4. Gel atau ubat sapu mulut 

Gel oral membentuk lapisan di atas luka untuk mengurangkan kesakitan semasa makan dan memastikan kawasan itu lembap.

Apa-apa pun, pastikan anda sentiasa semak label untuk kesesuaian umur.

5. Jangan pecahkan lepuh

Bagi mengelakkan jangkitan dan luka semakin merebak, pastikan tidak pecahkan lepuh yang dialami.

Tanda HFMD sudah sembuh pada si manja

Berikut ialah tanda HFMD sudah sembuh:

  • Demam reda tanpa ubat demam selama sekurang-kurangnya 24 jam
  • Ulser mulut beransur sembuh, anak boleh makan dan minum seperti biasa
  • Lepuh mengering dan berkerak
  • Anak kembali aktif dan ceria

Walau bagaimana, lepuh masih boleh berjangkit sehingga ia kering dan berkerak dan virus mungkin masih keluar bersama najis beberapa minggu.

Teruskan amalan cuci tangan walaupun anak sudah sihat. Anak perlu berada di rumah sehingga sembuh dan ikut nasihat doktor sebelum kembali ke taska.

HFMD di taska: Cara untuk mencegah HFMD merebak

ubat hfmd
Guru taska sedang periksa suhu badan kanak-kanak di pusat taska.

Ibu bapa

  • Jangan hantar anak yang bergejala ke taska atau tempat awam.
  • Maklumkan pihak taska jika anak disahkan HFMD.

Guru taska

  • Buat saringan kesihatan di pintu masuk.
  • Asingkan kanak-kanak bergejala.
  • Bersihkan mainan dan permukaan secara berkala.
  • Pastikan semua orang mencuci tangan selepas tukar lampin dan sebelum makan.

Jika wabak berlaku, premis boleh diarahkan tutup selama 10 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Kesimpulan

Walaupun tiada ubat HFMD khusus, penjagaan sokongan yang betul biasanya mencukupi.

Perhatikan tanda-tanda yang luar biasa seperti muntah, sawan dan demam 3 hari berturut-turut pada anak anda.

Pastikan juga anak anda sembuh sepenuhnya sebelum kembali ke taska dan amalkan kebersihan untuk melindungi kanak-kanak lain.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip · Disemak pada 2 hari lalu