backup og meta

BONGKAR 5 Mitos & Salah Faham Vaksin COVID-19 Untuk Remaja 12 Tahun Ke Atas!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/11/2021

    BONGKAR 5 Mitos & Salah Faham Vaksin COVID-19 Untuk Remaja 12 Tahun Ke Atas!

    Sudah lebih setahun negara kita dilanda wabak COVID-19. Oleh sebab itu, bahaya Coronavirus sudah pasti telah diketahui ramai. Syukurlah, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), ibu bapa kita kebanyakannya sudahpun menerima vaksinasi.

    Namun, baru-baru ini, sebuah lagi berita gembira telah disampaikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi PICK, Khairy Jamaluddin.

    Ibu bapa kini boleh menarik nafas lega kerana vaksinasi mungkin dapat dilakukan pada masa hadapan untuk golongan remaja 12 tahun ke atas, lebih-lebih lagi untuk mereka yang perlu mengambil peperiksaan penting.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    [covid_19]

    Menurut Khairy Jamaluddin lagi, pemberian vaksin untuk golongan remaja 12 tahun ke atas akan dijalankan di negara kita pada masa terdekat menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech.

    Walau bagaimanapun, dalam kegembiraan yang dirasai oleh sebelah pihak, masih ada segelintir ibu bapa yang rasa sangsi terhadap keberkesanan vaksin COVID-19 untuk anak-anak mereka.

    Malah, muncul pula mitos-mitos mengenai bahaya vaksin untuk anak-anak yang berusia 12 tahun ke atas. 

    Jadi, bagaimanakah kita dapat membezakan informasi mana yang salah dan betul?

    5 mitos lazim mengenai vaksin untuk remaja

    Sebenarnya, ada terlalu banyak mitos dan salah faham yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat mengenai vaksinasi terhadap virus COVID-19.

    Kami faham, ramai ibu bapa yang ingin melindungi anak mereka daripada sebarang bahaya. Walau bagaimanapun, bahaya Coronavirus lebih hebat jika anak anda dibiarkan tanpa vaksin.

    Di bawah, kami kongsikan 5 mitos utama berkaitan pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan remaja.

    Mitos 1: Kanak-kanak dan remaja tidak perlu divaksin kerana mereka bukan golongan berisiko

    bahaya coronavirus

    Sebenarnya, kenyataan di atas adalah tidak benar sama sekali. Di Amerika Syarikat, jumlah kes COVID-19 dalam kalangan remaja dan kanak-kanak telah meningkat dari 3% ke 24% dalam masa setahun.

    Jadi, kanak-kanak juga berhadapan dengan bahaya Coronavirus, sama seperti orang dewasa.

    Walaupun benar kanak-kanak tidak mengalami simptom yang teruk, masih ada juga yang perlu dikejarkan ke hospital. Malah, ramai juga yang telah meninggal dunia disebabkan COVID-19.

    Oleh sebab itu, ibu bapa masih perlu membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.

    Malah, selepas divaksin, anak anda boleh melakukan pelbagai aktiviti dan tidak lagi terbatas berbanding semasa pandemik. Mereka juga dapat bergaul dengan bebas tanpa perlu risau mengenai penyakit COVID-19.

    Baca juga:

    Mitos 2: Vaksin COVID-19 bahaya terhadap kanak-kanak

    Ramai yang sangka pemberian vaksin adalah bahaya untuk kanak-kanak dan remaja.

    Malah, ada juga yang anggap vaksin COVID-19 untuk remaja lambat diluluskan kerana ada masalah yang timbul!

    Jangan cepat percaya! Sebenarnya, ujian klinikal untuk kanak-kanak dan remaja lebih panjang berbanding orang dewasa. Salah satu sebabnya ialah ia perlu melalui fasa demi fasa untuk memastikan keselamatan vaksin.

    Selain itu, dos untuk kanak-kanak dan orang dewasa juga berbeza. Jadi, ujian klinikal akan memakan masa yang lebih panjang untuk menentukan dos yang sesuai.

    Sebenarnya, bahaya Coronavirus lebih merisaukan berbanding bahaya vaksin! COVID-19 tidak akan melakukan diskriminasi. Ia akan menjangkiti sesiapa sahaja tidak kira bangsa ataupun usia.

    Mitos 3: Vaksin COVID-19 boleh merosakkan DNA dan menyebabkan kemandulan

    bahaya coronavirus

    Vaksin tidak akan merubah DNA anda dalam apa cara sekalipun.

    Dua jenis vaksin yang sedang digunakan iaitu vaksin MRNA dan vaksin vektor viral tidak akan memberikan kesan terhadap DNA anda ataupun anak anda.

    Selain itu, tidak ada sebarang bukti bahawa vaksin boleh menyebabkan kemandulan.

    Vaksin COVID-19 selamat untuk masyarakat dalam setiap lapisan umur. Wanita yang hamil atau ingin hamil juga boleh mengambil vaksin.

    Mitos 4: Vaksin COVID-19 mempunyai kesan jangka panjang

    Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang bukti yang boleh menunjukkan vaksin dapat mengakibatkan kesan buruk jangka panjang terhadap kanak-kanak dan remaja.

    Sebaliknya, bahaya Coronavirus lebih besar berbanding pemberian vaksin. Malah, mereka yang pernah menghidap COVID-19 mungkin akan mengalami pelbagai masalah kesihatan kekal walaupun setelah sembuh daripada jangkitan COVID-19!

    Mitos 5: Vaksin COVID-19 tidak berkesan terhadap kanak-kanak dan remaja

    bahaya coronavirus

    Menurut FDA, ujian klinikal menunjukkan bahawa pemberian vaksin amat efektif untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 yang sederhana dan teruk.

    Malah, data yang sedia ada juga mencadangkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech lebih efektif dalam kalangan remaja berbanding orang dewasa.

    Setiap vaksin dan ubat-ubatan yang anda ambil mempunyai risikonya yang tersendiri. Namun, kebaikan yang dibawa oleh vaksin melebihi sebarang keburukan yang ada. Sebab itulah, kita lebih digalakkan untuk mengambil vaksinasi.

    Kesimpulan

    Pasti ramai yang sudah tahu mengenai bahaya Coronavirus. Oleh sebab itu, semua orang haruslah mengambil vaksinasi, tidak kiralah apa jua umur mereka.

    Imuniti kelompok hanya mampu dicapai apabila 80% daripada populasi mendapatkan vaksinasi. Golongan kanak-kanak dan remaja merangkumi sebahagian besar daripada populasi di Malaysia.

    Jika mereka turut mengambil vaksin, secara tidak langsung kita selangkah lebih dekat untuk menang dalam perlawanan menentang COVID-19.

    Malah, mereka juga dapat ke sekolah dan menjalani hidup dengan normal tanpa perlu risau mengenai bahaya Coronavirus.

    Oleh sebab itu, jangan lupa untuk menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setiap vaksin yang diberikan membawa kita selangkah lebih dekat kepada kehidupan yang lebih normal. 

    [mc4wp_form id=”115319″]

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 01/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan