
Adakah anda pernah atau sedang mengalami situasi air kencing kuning berubah ke warna lain, tapi tidak tahu sebabnya? Usah khuatir, ini kerana anda bukan keseorangan dan ia juga normal.
Perubahan pada warna urin individu itu mungkin boleh berlaku angkara pengambilan ubatan atau rawatan tertentu, kitaran menstruasi serta masalah kesihatan tubuh badan.
Dalam pada itu, makanan atau minuman yang anda ambil juga boleh jadi punca air kencing berubah warna! Persoalannya, apa sahaja jenis makanan atau minuman tersebut?
Adakah air kencing kuning normal?
Umumnya, mungkin ramai individu yang berpendapat bahawa warna urin yang normal adalah kuning dan jernih. Bagi pendapat doktor pula, ia adalah warna ‘urochrome’.
Ya, anda mungkin tidak salah tentangnya. Berikut ini pula adalah variasi warna urin yang normal:
- Warna air kencing kuning jernih – Merupakan warna yang paling umum dan biasa ditemui, ia adalah petanda bahawa urin anda itu normal dan mungkin tidak ada masalah berkaitan dengannya
- Warna jerami pucat – Jika anda ada warna urin seperti ini, anda boleh dianggap bertuah kerana ia adalah warna yang paling sihat dan menandakan anda terhidrat dengan sempurna
Terma normal yang dimaksudkan di atas tadi mungkin boleh diklasifikasikan sebagai sihat. Pun begitu, ia bukan bermakna jika air kencing bertukar warna lain, urin anda itu tidak normal.
Ini kerana wujud juga beberapa faktor luaran lain seperti makanan dan minuman yang anda ambil itu akan menyebabkan perubahan pada warna urin. Tenang, ia juga masih lagi normal.




















