backup og meta

Cyst Pada Buah Pinggang, Bahaya Atau Tidak? Ketahui Simptom Penyakit Ini Sebelum Terlambat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/07/2021

    Cyst Pada Buah Pinggang, Bahaya Atau Tidak? Ketahui Simptom Penyakit Ini Sebelum Terlambat!

    Sista atau cyst di buah pinggang (kidney cyst) merupakan satu ketulan atau kantung yang dipenuhi udara atau air. Cyst ini boleh terbentuk di dalam atau di luar buah pinggang dan boleh menyebabkan gangguan pada fungsi organ tersebut.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan sista atau cyst yang terbentuk di dalam buah pinggang terdiri daripada jenis simple kidney cysts. Sista jenis ini adalah bukan kanser (benign) dan jarang sekali menyebabkan komplikasi.

    Malah, ramai pesakit yang mempunyai sista dapat hidup secara normal tanpa sebarang masalah pada buah pinggang mereka. 

    Di dalam buah pinggang, ada bahagian yang dikenali sebagai nefron yang terdiri daripada beberapa penapis dan tiub.

    Apabila darah mengalir melalui buah pinggang, nefron akan membuang cecair lebihan dan bahan buangan (toksin) dari darah yang akan keluar melalui badan sebagai urin.

    Orang yang lebih tua kadangkala akan mengalami pembentukan sista pada permukaan buah pinggang atau di dalam nefron mereka.

    Walaupun simple kidney cyst ini selalunya tidak berbahaya, namun masih ada risiko untuk sista tersebut membesar dan menyebabkan kesakitan pada belakang, sisi dan atas abdomen pesakit.

    Selain itu, sista ini juga boleh dijangkiti dan mengakibatkan pendarahan atau hematuria (kencing berdarah).

    Jika ini berlaku, ia akan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat kepada penghidapnya. Oleh sebab itu, sista ini mungkin perlu dibuang oleh doktor.

    Namun, kebarangkalian itu untuk terjadi adalah rendah kerana sista jenis ini jarang menyebabkan gangguan pada fungsi buah pinggang.

    Simple kidney cyst berbeza dengan polycystic kidney disease (PKD). PKD merupakan sejenis penyakit genetik yang lebih serius dan boleh mengakibatkan penyakit buah pinggang kronik.  

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Buah Pinggang, sila dapatkannya di sini.

    Tanda cyst di buah pinggang

    cyst di buah pinggang

    Apabila semakin tua, sista buah pinggang boleh tumbuh dengan lebih besar dan jadi semakin banyak. 

    Walaupun begitu, ia selalunya tidak akan menyebabkan pesakit mengalami apa-apa simptom atau masalah kesihatan lain.

    Jarang untuk pesakit mempunyai banyak sista dalam satu-satu masa. Walau bagaimanapun, pesakit mungkin perlu memastikan kondisi yang mereka alami itu bukan polycystic kidney disease (PKD) yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

    Namun, jika sista itu mempunyai saiz besar, ia mungkin akan:

    1. Mengakibatkan tekanan pada kawasan tulang atau organ lain dan menyebabkan ketidakselesaan.
    2. Menghalang pengaliran darah atau urin menerusi buah pinggang atau ureter.
    3. Mengalami jangkitan dan menyebabkan pesakit demam atau jatuh sakit.
    4. Pecah dan menyebabkan kesakitan serta kencing berdarah (hematuria).
    5. Menyebabkan tekanan darah tinggi.

    Bergantung kepada lokasi sista tersebut, ia mungkin akan mempengaruhi fungsi buah pinggang pada masa hadapan. Masalah tekanan darah tinggi pula akan berlaku jika sista tersebut menghalang buah pinggang daripada menapis cecair lebihan daripada darah. 

    Punca sista buah pinggang

    Hingga ke hari ini, punca sista buah pinggang masih belum diketahui. 

    Walau bagaimanapun, ia mungkin disebabkan oleh permukaan buah pinggang yang semakin lemah dan membentuk poket-poket yang dikenali sebagai diverticulum

    Poket ini kemudiannya dipenuhi dengan air lalu menjadi sista. Sebab itulah, orang yang lebih berusia berisiko untuk menghidap cyst di buah pinggang.

    Bagaimana cyst dalam buah pinggang dirawat?

    cyst di buah pinggang

    Sista buah pinggang yang mencetuskan masalah kesihatan akan didiagnosis terlebih dahulu menggunakan ujian imbasan seperti ultrasound, CT scan atau MRI. Imbasan ini dapat memastikan ketulan pada buah pinggang pesakit merupakan sista atau tumor.

    Selain itu, doktor juga akan mencadangkan pesakit untuk melakukan ujian darah dan ujian urin bagi menentukan sama ada sista tersebut mempengaruhi fungsi buah pinggang atau tidak. 

    Dalam kebanyakan kes, sista buah pinggang tidak perlu dirawat kerana ia tidak mendatangkan sebarang bahaya.

    Walau bagaimanapun, doktor mungkin akan menyarankan pesakit untuk melakukan ujian imbasan susulan dalam masa 6 ke 12 bulan akan datang.

    Selain itu, sista buah pinggang juga lebih kerap berlaku di dalam kalangan mereka yang lebih berusia. Malah, lelaki juga didapati lebih berisiko untuk mengalami kondisi ini berbanding wanita.

    Namun, jika kehadiran sista itu memberikan tekanan pada organ lain atau mempengaruhi fungsi buah pinggang, doktor mungkin akan membuang atau mengecilkan sista tersebut.

    Ada dua cara yang dapat digunakan untuk merawat cyst di buah pinggang iaitu:

    1. Aspiration dan sclerotheraphy

    Doktor akan masukkan jarum panjang di dalam kulit untuk bocorkan sista tersebut dan kemudiannya mengeluarkan cecair di dalamnya. Selepas itu, satu larutan cecair lain akan disuntik untuk mengecutkannya. 

    Prosedur ini boleh dilakukan berkali-kali jika dirasakan perlu dalam masa yang singkat dengan bantuan anesthesia. 

    Selalunya, pesakit tidak perlu tinggal di hospital selepas melakukan prosedur ini.

    2. Pembedahan

    Sista bersaiz besar mungkin memerlukan pembedahan untuk mengecilkan atau membuangnya dari badan pesakit. Selalunya, pembedahan ini akan dilakukan dengan cara memasukkan instrumen kecil melalui abdomen.

    Semasa pembedahan, doktor akan membocorkan sista tersebut untuk membuang semua cecair yang ada di dalamnya. Kemudian, doktor mungkin akan memotong atau membakar dinding sista untuk mengelaknya dari terbentuk lagi pada masa hadapan.

    Sista buah pinggang selalunya tidak akan mendatangkan sebarang bahaya.

    Oleh sebab itu, prognosisnya juga positif. Rawatan yang dilakukan sangat efektif dan hanya akan mendatangkan komplikasi kecil.

    Bolehkah masalah sista buah pinggang dielakkan?

    Penyakit sista buah pinggang tidak boleh dielakkan. Malah, puncanya juga masih belum diketahui hingga hari ini.

    Namun, anda boleh mengurangkan risiko penyakit ini dengan memastikan pengambilan air yang mencukupi setiap hari.

    Selain itu, pastikan anda mengambil kurang daripada 2300 mg garam setiap hari (kurang 1500 mg jika anda berusia 50 tahun ke atas atau mengalami darah tinggi).

    Jika anda berusia lebih daripada 50 tahun ke atas, ada kemungkinan anda mempunyai sista pada kawasan buah pinggang, namun tidak menyedarinya kerana tiada simptom.

    Walau bagaimanapun, jika anda mula rasa sakit pada belakang atau atas abdomen dan mengalami hematuria (kencing berdarah), pastikan anda berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

    Kesimpulan

    cyst di buah pinggang

    Walaupun tidak berbahaya, sista atau cyst di kawasan buah pinggang boleh dijangkiti atau pecah. Apabila ini berlaku, pesakit akan alami pelbagai simptom seperti sakit pada kawasan abdomen, demam, kerap membuang air kecil dan kencing berdarah.

    Masalah ini boleh dirawat dengan sclerotheraphy atau pembedahan untuk membuangnya tanpa sebarang komplikasi jangka panjang.

    Semasa temu janji, anda boleh berbincang dengan doktor untuk mengetahui sama ada sista buah pinggang yang dialami boleh menyebabkan sebarang masalah kesihatan atau sebaliknya. 

    Selain itu, anda juga berhak bertanya soalan seperti:

    1. Berapa besarkah sista yang saya alami?
    2. Adakah ia boleh melukakan buah pinggang saya?
    3.  Adakah simptom yang saya alami ini disebabkan oleh sista buah pinggang?
    4.  Apakah pilihan rawatan yang saya ada?
    5.  Apakah komplikasi yang mungkin berlaku kepada saya?
    6. Perlukah saya berjumpa doktor pakar?
    7. Adakah saya memerlukan temu janji susulan?

    Dengan mengumpul sebanyak mungkin informasi mengenai kesihatan diri, anda akan rasa lebih yakin dan arif dalam melakukan sebarang keputusan berkaitan dengan kondisi yang dialami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan