backup og meta

Jangan Pandai-pandai Rawat Jerawat Dengan BAKING SODA! Buruk Kesannya Nanti

Jangan Pandai-pandai Rawat Jerawat Dengan BAKING SODA! Buruk Kesannya Nanti

Jerawat berlaku apabila liang pori tersumbat dengan kotoran dan minyak kulit yang dihasilkan secara semula jadi. Pelbagai kaedah telah dicuba bagi merawatnya, termasuk penggunaan bahan soda penaik!

Apabila liang pori mula tersumbat, bakteria akan tumbuh maka terbentuklah jerawat yang tidak diundang.

Selain di wajah, jerawat juga boleh terbentuk di leher, dada, punggung malah di belakang badan.

Perkara ini sedikit sebanyak akan menjejaskan penampilan dan tahap keyakinan diri seseorang individu.

Serbuk penaik atau lebih dikenali sebagai baking soda adalah kaedah semula jadi yang popular untuk merawat masalah jerawat dan pencegahan parut, tetapi persoalannya, adakah ia selamat?

Dalam artikel ini, kita akan lihat bagaimana caranya serbuk penaik digunakan untuk merawat masalah jerawat dan sama ada ia mempunyai kesan sampingan yang buruk ataupun tidak.

Cara-cara menggunakan serbuk penaik untuk merawat jerawat

serbuk penaik

Baking soda dikatakan dapat membantu dalam mengurangkan jerawat, kesakitan dan keradangan pada kulit kerana sifat antiradang dan antiseptiknya.

Walau bagaimanapun, penggunaan serbuk penaik pada kulit sebenarnya tidak disarankan oleh pakar dermatologi.

Ia boleh merengsa dan menghilangkan sumber minyak semula jadi kulit yang bertindak sebagai pelindung.

Justeru, pakar menyarankan mereka yang memilih untuk menggunakan bahan ini dalam merawat masalah jerawat, tidak melakukannya pada setiap hari dan harus diambil dalam jumlah minimum.

Penggunaan soda penaik untuk merawat jerawat boleh digunakan dalam pelbagai cara, termasuk:

Masker muka: Untuk dijadikan sebagai masker, campurkan antara 1 sehingga 2 sudu teh baking soda dengan pencuci muka dan tambahkan sedikit air suam untuk membentuk pes. Urut lembut ke kawasan yang bermasalah dan biarkan pada kulit selama 10 sehingga 15 minit sebelum mencucinya dengan air suam.

Exfoliant: Untuk menggunakan baking soda sebagai pengelupas, buat campuran yang sama dengan masker muka, tetapi segera basuh setelah digunakan. Anda juga boleh menambahkan soda penaik ke dalam produk skrub wajah untuk membersihkan pori-pori dan menyingkirkan sel-sel kulit mati dengan mendalam.

Cuci muka: Untuk mencuci muka, tambahkan maksimum 2 sudu teh baking soda ke dalam produk pencuci muka. Urut wajah dengan lembut dan basuh dengan air suam.

Spot treatment: Sesetengah individu menggunakan bahan ini sebagai ubat jerawat yang disapu khas pada kawasan berjerawat. Pes boleh dihasilkan dengan mencampurkan 2 sudu teh soda penaik dengan sedikit air. Ia boleh disapu secara terus pada kawasan bermasalah dan dibiarkan selama 20 minit sebelum dibilas dengan air.

Pun begitu, anda harus berhati-hati kerana bahan ini dapat mengeringkan kulit, justeru sapukan pelembap dengan kadar segera selepas melakukan kaedah-kaedah di atas.

Betul ke baking soda berkesan?

Masih tidak banyak penyelidikan dilakukan berkenaan fungsi keberkesanan bahan ini sebagai rawatan masalah kulit berjerawat, dan kebanyakan pakar kulit juga tidak menyarankan penggunaannya.

Kita sering dengar mengenai imbangan pH kulit tapi apakah ia sebenarnya?

Paras pH semula jadi kulit badan manusia adalah sekitar 4.5 hingga 5.5. Nilai ini juga bergantung kepada skala asid kerana kulit adalah sistem pertahanan pertama yang menghalang segala jenis bakteria

Apabila kulit kekal dalam julat tersebut, kulit kita akan dapat terus menghasilkan minyak semula jadi yang sihat, menjadikannya lembap dan dilindungi daripada bakteria serta pencemaran.

Antara sebab mengapa pakar tidak mengesyorkan baking soda adalah kerana ia mempunyai tahap pH 9, bersifat alkali dan boleh membahayakan kesihatan kulit.

Serbuk penaik turut mampu mempengaruhi tahap pH kulit, menghilangkan minyak semula jadi yang sihat dan menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak menyenangkan.

Kesan-kesan sampingan lain juga termasuk:

  • Kulit yang sangat kering
  • Permulaan awal kedutan
  • Jerawat menjadi semakin teruk
  • Kerengsaan dan keradangan pada kulit
  • Sensitif terhadap haba panas dan matahari

Selain serbuk penaik, ada kaedah lain?

hilangkan bekas jerawat

Baking soda adalah salah satu daripada banyak bahan di rumah yang boleh dicuba untuk merawat masalah kulit berjerawat.

Terdapat banyak lagi rawatan semula jadi yang lebih selamat dan memberikan kesan sampingan pada tahap minimum.

Antara alternatif lain dalam merawat masalah jerawat termasuk:

  • Cuka epal sider
  • Minyak tea tree
  • Mengelakkan daripada menyentuh wajah
  • Mengamalkan diet yang tidak mengandungi gula atau kanji halus
  • Mengelak pengambilan produk berasaskan tenusu yang boleh mengakibatkan jerawat

Apa yang dapat dipelajari?

Baking soda adalah salah satu bahan di dapur yang berkemampuan untuk merawat jerawat sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan berhati-hati.

Namun, kerana ia bersifat alkali, bahan ini dapat mempengaruhi keseimbangan normal pH kulit wajah anda dan menyebabkan masalah kekeringan serta menjadi lebih sensitif.

Seperti yang telah dimaklumkan, pakar dermatologi juga tidak mengesyorkan untuk menggunakan serbuk penaik sebagai rawatan kulit berjerawat dan sebaliknya menasihatkan agar orang ramai mengambil ubatan yang telah diiktiraf dan dijamin selamat.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan bahan ini sebagai rawatan, pastikan untuk mengehadkan kuantiti dan kekerapan penggunaannya.

Di samping itu, jangan lupa untuk memakai pelembap kulit sejurus penggunaannya agar masalah lain, seperti kulit kering tidak akan timbul.

Apa pun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor atau mereka yang lebih arif sebelum melakukan sebarang keputusan yang boleh merisikokan kesihatan kulit anda okay!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.niams.nih.gov/health-topics/acne
  2. https://www.acne.org/baking-soda-reviews-209/
  3. https://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/sodium_bicarbonate#section=Top
  4. https://www.acne.org/vinegar-as-a-topical-reviews-30/

Versi Terbaru

21/05/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Rahsia Kulit Wajah Cantik Orang Korea, Teknik Double Cleansing, 2x Cuci Muka, Perlu Ke?

Betul Ke Berkesan Putihkan Gigi Dengan Baking Soda? Ada Rawatan Yang Lebih Selamat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan