backup og meta

Bolehkah Produk Kolagen Mencantikkan Kulit?

Bolehkah Produk Kolagen Mencantikkan Kulit?

Pergilah ke mana sahaja farmasi dan kedai makanan kesihatan dan anda akan temui pelbagai produk suplemen kolagen/collagen untuk kecantikan. Terdapat dalam bentuk tablet, cecair, serbuk atau krim dan digilai ramai kerana keberkesanannya yang diakui ramai wanita. Pun begitu, apa sebenarnya kolagen ini dan adakah ia benar-benar berbaloi untuk diambil?

Apa itu kolagen

Kolagen adalah sejenis protein yang diperlukan dalam pembentukan kulit, rambut, kuku, tisu penyambung, kartilag, tulang dan sendi. Diperbuat daripada beberapa jenis amino asid, kolagen membentuk 30% daripada protein dalam badan.

Kolagen memberikan kekuatan kulit dan keanjalan, dan menjadikan kulit muda kelihatan lebih gebu dan kurang berkedut. Kolagen juga adalah tisu yang memegang ligamen, sendi dan tulang bersama. Sesetengah kolagen juga bertindak sebagai lapisan pelindung untuk organ dalam badan, seperti buah pinggang.

Kolagen dan penuaan

Dengan penuaan, penghasilan kolagen berkurangan menyebabkan kedutan, garis halus dan kulit kering. Pendedahan kepada faktor seperti cahaya UV, diet tinggi gula atau merokok juga boleh mengurangkan tahap kolagen. Di samping kulit yang kelihatan lebih tua, kekurangan kolagen boleh menyebabkan tendon dan ligamen yang kaku dan bengkak.

Kehilangan kolagen bermula pada umur 25 tahun, dan dianggarkan hampir 30% kolagen akan hilang menjelang usia 45 tahun. Lelaki bagaimanapun mempunyai kulit yang lebih tebal berbanding wanita dan oleh itu, mempunyai kolagen yang lebih padat. Jadi, walaupun perempuan dan lelaki kehilangan kolagen pada kadar yang sama, kulit wanita kelihatan lebih cepat menua kerana sebab ini dan pengurangan mendadak selepas menopaus.

Bolehkah produk kolagen membantu kulit anda?

Terdapat dakwaan bahawa penggunaan krim kolagen boleh menggalakkan perkembangan kolagen dalam kulit, lantas mengurangkan tanda penuaan. Pun begitu, terdapat terlalu sedikit data yang dapat mendokong dakwaan ini terutamanya kerana molekul kolagen terlalu besar untuk diserap melalui kulit.

Pengambilan suplemen atau makanan tambahan kolagen pula masih diperdebatkan dalam kalangan pakar kesihatan. Namun didapati lebih berkesan berbanding produk kolagen luaran. Dalam satu kajian yang membabitkan 114 wanita berumur 45 hingga 65 tahun yang mengambil suplemen kolagen selama lapan minggu, terdapat penurunan dalam kedutan wajah sebanyak 20%.

Pun begitu, pakar kesihatan masih mempersoalkan kejujuran penemuan saintifik sebegini yang kebiasaannya dalam kajian yang ditaja pengeluar kolagen. Antara sebab lain pengambilan kolagen masih diperdebatkan manfaatnya adalah kerana kolagen adalah protein yang dipecahkan dalam usus semasa proses pencernaan kepada molekul yang lebih kecil seperti peptida dan seterusnya asid amino. Terdapat sedikit bukti bahawa mengambil kolagen boleh bertahan daripada pencernaan dan sampai ke kulit dalam kuantiti yang banyak untuk memberi kesan kepada struktur atau fungsi kulit.

Suplemen atau makanan tambahan kolagen hanya membekalkan asid amino yang mencukupi sebagaimana pengambilan protein lain, yang digunakan oleh badan untuk membuat kolagen sendiri.

Cara untuk meningkatkan kolagen tubuh

Oleh itu, cara yang terbukti untuk meningkatkan kolagen dalam tubuh sebenarnya adalah dengan memastikan anda mendapat protein yang mencukupi dalam diet harian anda. Ini termasuklah dengan memakan protein yang terdapat dalam daging, telur, ikan dan kacang. Selain itu, elakkan stres, tidur mencukupi, pengambilan makanan kaya dengan antioksidan, vitamin (terutamanya vitamin C) dan mineral juga dapat membantu.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.self.com/story/collagen-supplements

https://www.netdoctor.co.uk/beauty/skincare/a29497/do-collagen-supplements-work/

Asserin, Jérome, Elian Lati, Toshiaki Shioya, and Janne Prawitt. ‘The Effect of Oral Collagen Peptide Supplementation on Skin Moisture and the Dermal Collagen Network: Evidence from an Ex Vivo Model and Randomized, Placebo-Controlled Clinical Trials’. Journal of Cosmetic Dermatology 14, no. 4 (December 2015): 291–301. https://doi.org/10.1111/jocd.12174.

Proksch, E., M. Schunck, V. Zague, D. Segger, J. Degwert, and S. Oesser. ‘Oral Intake of Specific Bioactive Collagen Peptides Reduces Skin Wrinkles and Increases Dermal Matrix Synthesis’. Skin Pharmacology and Physiology 27, no. 3 (2014): 113–19. https://doi.org/10.1159/000355523.

Versi Terbaru

29/11/2019

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab


Artikel Berkaitan

Elak Kulit Cepat Berkedut Dengan 7 Produk Anti Penuaan Terbaik Ini!

Pencuci Mekap Sahaja Tidak Cukup! Kena Ikut 3 Langkah Ini Untuk Kulit Bersih & Glowing!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 29/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan