backup og meta

AWAS! Jangan 'Syok' Sangat Pakai Kuku Palsu... Silap Gaya Boleh Rosak Kuku!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    AWAS! Jangan 'Syok' Sangat Pakai Kuku Palsu... Silap Gaya Boleh Rosak Kuku!

    Ramai wanita mempunyai ‘kisah seram’ tersendiri dengan pengalaman menggunakan kuku palsu.

    Kuku palsu akan kelihatan cantik di jari hinggalah tiba saat ia perlu dicabut, lalu terserlah kesan kuku yang tercalar dan rapuh.

    Ini terjadi kerana kuku akrilik dan kuku gel melekat dengan sangat kuat dan tahan lama sehingga apabila dibiarkan dalam jangka masa yang panjang, ia berupaya menyebabkan kuku menjadi rapuh, dan patah.

    Adakah ini harga yang perlu dibayar dek kerana inginkan penampilan kuku yang cantik? Tidak semestinya!

    Kini, dengan kewujudan alternatif lain iaitu, kuku press on, ia dilihat menjadi pilihan popular selain kuku palsu akrilik dan gel.

    Kuku palsu press on, apa itu?

    Kebanyakan orang mengaitkan ia dengan kuku palsu murah dan melekit yang biasa dibeli oleh kanak-kanak di pasar raya.

    Pun  begitu, kuku press on pada tahun 2020 ini cukup berbeza dengan apa yang dibayangkan!

    Kuku palsu ini diperbuat daripada bahan resin akrilik yang serupa dengan kuku akrilik yang digunakan di salun tetapi tidak bersifat kekal.

    Ia juga lebih mudah digunakan, dan lebih baik untuk kuku anda.

    Apabila dihasilkan dan diaplikasikan dengan betul, ia boleh kelihatan secantik kuku akrilik tanpa mengeringkan poket anda!

    Adakah ia berisiko rosakkan kuku?

    kuku palsu press on

    Mungkin pengalaman-pengalaman tidak menyenangkan yang dialami dengan kuku palsu sebelum ini membuatkan anda waswas, tetapi anda tidak perlu risau akan merosakkan kuku dengan memakai jenis press on.

    Berita baiknya, anda tidak perlu merosakkan kuku asal hanya untuk memiliki sepasang kuku palsu yang cantik!

    Ya, boleh difahami sekiranya anda masih berasa ragu-ragu mengenainya, terutama jika anda terpaksa menangani kerosakan kesan kuku akrilik selama bertahun-tahun.

    Walau bagaimanapun, disebabkan kuku press on hanya menggunakan pelekat atau sedikit gam kuku (jika diperlukan), ia menjadi lebih mudah dan tidak akan merosakkan kuku selagi diguna dan dicabut dengan betul.

    Bagaimana cara mengaplikasi kuku press on?

    Berikut adalah beberapa tip yang harus diikuti ketika anda menggunakan kuku palsu ini:

    • Mulakan dengan mencuci tangan, membersihkan kuku daripada semua sisa cat kuku atau pelekat
    • Teliti kesemua pilihan saiz kuku yang ada dan pilih yang paling sesuai dengan kuku semula jadi anda
    • Cabutkan pelekat dari kuku press on dan sapukan sedikit gam (jika mahu) pada kuku palsu ke kuku asli anda, dan tekan selama sekurang-kurangnya 30 saat untuk memastikan ia melekat dengan kuat

    Sekarang, anda sudah tahu cara mengaplikasikan kuku press on dengan betul, bagaimana pula kaedah mencabutnya? Teruskan pembacaan!

    Cara-cara mencabut kuku press on dengan selamat

    Jika anda fikir proses aplikasi yang betul adalah penting, sebenarnya proses pencabutan adalah lebih penting!

    Sekiranya anda mencabut dengan terlalu kasar atau kuat, anda berupaya merosakkan kuku asal.

    Syukurlah, terdapat beberapa kaedah selamat yang boleh dilakukan untuk menghilangkan pelekat kuku palsu tersebut:

    • Acetone: Rendam jari anda dalam acetone selama beberapa minit sambil mengikis kuku palsu untuk mula meleraikan gam. Teruskan merendam sehingga kuku dapat ditarik dengan mudah agar sebarang risiko kerosakan dapat dielakkan
    • Air suam: Rendam jari anda ke dalam air suam dengan sedikit larutan sabun selama 20 minit. Sama seperti acetone, kikis kuku secara lembut dan perlahan di dalam air rendaman hingga gam mula terlerai. Pastikan air tetap hangat semasa anda merendam agar proses ini dapat berjalan dengan baik dan melindungi kuku asal
    • Minyak cuticle: Sapu bebola kapas yang direndam dengan minyak cuticle pada kuku palsu press on, terutama pada bahagian tepinya agar minyak dapat masuk ke bawah gam. Gam akan mula terlerai setelah kira-kira 5 minit dan anda boleh mencabut kuku palsu tersebut dengan mudah

    Tip-tip penjagaan kuku

    kuku sihat

    Ada beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mengembalikan kesihatan kuku dan terus merawatnya dengan betul agar kalian tidak lagi perlu menghadapi kerosakan, ketidakseragaman, dan perubahan warna kuku.

    1. Sentiasa memakai pelembap tangan dan minyak cuticle pada jari anda yang merangkumi bahan-bahan berkhasiat seperti minyak jojoba, minyak bunga matahari, minyak zaitun, dan Vitamin E.
    2. Rawat cuticle anda dengan betul dan jangan sekali-kali mencabut atau menariknya untuk elak daripada berdarah atau jadi menyakitkan.
    3. Minum banyak air untuk memastikan kuku (dan rambut) kekal sihat dan kuat.
    4. Elak gunakan pencuci cat kuku dengan acetone yang boleh merosakkan dan mengeringkan kuku asal anda. Sebagai gantinya, gunakan pencuci cat kuku tanpa acetone yang mengandungi larutan kimia seperti etil asetat, isopropil alkohol, dan propilena karbonat.
    5. Jangan sekali-kali mencabut kuku palsu press on tanpa merendam dan mengeluarkannya dengan betul!

    Konklusi

    Seperti yang dapat kita simpulkan daripada kupasan ini, pemakaian kuku palsu press on tidak membahayakan kuku asal anda.

    Ia cukup berbeza dengan jenis kuku palsu lain seperti akrilik yang boleh menyebabkan kerosakan jika dibiarkan terlalu lama atau tidak disingkirkan dengan betul.

    Pun begitu, walaupun kuku press on adalah lebih baik untuk kuku anda berbanding pilihan lain, anda masih harus rajin mengaplikasikannya dengan betul, dan mencabut dengan selamat.

    Secara umumnya, ikuti garis panduan penjagaan kuku yang asas jika anda ingin mendapatkan atau mengekalkan kuku yang cantik dan sihat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan