Seiring dengan kemajuan teknologi kini, segalanya kian berubah dan ini termasuklah dalam aspek kehidupan seksual individu masa kini.
Dengan teknologi, seks dikatakan telah berubah menjadi lebih ‘moden’. Persoalannya, adakah perubahan ini positif atau negatif?
Untuk mengetahui perkaitan sebenar di antara seks dan teknologi, marilah kita sama-sama ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!
Seks dan teknologi
Teknologi telah mengubah segenap dimensi kehidupan kita dengan penciptaan televisyen, radio, komputer, telefon dan pelbagai lagi peranti yang serba canggih.
Dalam erti kata yang lebih mudah, ia memang sudah memudahkan pelbagai urusan seharian kita yang dahulunya memerlukan lebih usaha.
Kini, segalanya berada di hujung jari anda dan dengan hanya satu klik sahaja maka kalian boleh mendapatkan apa sahaja yang dihajati.
Bagaimana pula dengan seks? Adakah teknologi juga memainkan peranannya?
Ya, sebenarnya penggunaan teknologi untuk meningkatkan keseronokan seksual sudah lama wujud dan buktinya juga telah diperolehi.
Untuk pengetahuan anda, para penyelidik dari Jerman telah menemukan sebuah dildo yang diperbuat daripada batu dipercayai berusia ribuan tahun dahulu.
Ini adalah salah satu daripada penemuan yang membuktikan bahawa sesungguhnya teknologi itu mungkin boleh membantu kehidupan seksual individu.
Bayangkan pula pada zaman sekarang yang teknologinya sudah jauh lebih canggih!
Alat permainan seks
Antara peranan teknologi yang paling utama dalam membantu menghangatkan kehidupan seks pasangan adalah penciptaan alat permainan seks.
Terdapat pelbagai peralatan yang popular seperti dildo, vibrator, butt plug dan macam-macam lagi bertujuan untuk menyemarakkan lagi hubungan intim.
Sebenarnya, penciptaan alat sebegini adalah positif kerana ia boleh membantu anda dan pasangan yang mempunyai masalah ketika bersenggama.
Namun ia juga boleh jadi negatif ekoran kesan sampingannya seperti jangkitan penyakit kelamin (STD) sekiranya salah tatacara penggunaannya!
Alat perancang kehamilan
Tidak semua pasangan itu sudah bersedia untuk mengandung terutamanya mereka yang masih muda dan baru sahaja berkahwin.
Usah khuatir kerana dengan bantuan teknologi masa kini, aspek perubatan khususnya dalam usaha merancang kehamilan juga sudah semakin baik.
Kewujudan pil perancang, kondom dan pelbagai prosedur perubatan seperti vasektomi dan IUD boleh mencegah kehamilan di luar jangkaan.
Ya, ia memang merupakan sesuatu yang positif namun juga boleh jadi negatif kerana ia mungkin menggalakkan seks di luar ikatan perkahwinan.
Seks alam maya (virtual)
Zaman kini, seks mungkin boleh dilakukan secara alam maya sahaja yakni virtual dalam usaha memuaskan nafsu syahwat ketika anda dan pasangan berada jauh sesama sendiri.
Antara contoh seks virtual ini adalah melalui panggilan telefon, panggilan video atau kiriman mesej, audio dan video berbaur seksual bersama pasangan.
Ia mungkin boleh jadi positif sekiranya dilakukan bertujuan mengelakkan anda atau pasangan bermain kayu tiga ketika ketiadaan anda.
Namun ia juga boleh jadi negatif ekoran kekurangan aspek sentuhan kulit ke kulit yang sepatutnya wujud dalam mana-mana hubungan kelamin.
Pornografi
Menurut kajian yang dijalankan oleh Kinsey Institute pada tahun 2019, dianggarkan 50% pengguna internet mengunjungi laman sesawang lucah!
Ini menunjukkan bahawa teknologi jalur lebar sememangnya telah mengubah dan membuka peluang untuk individu lebih mudah mengakses bahan sebegini.
Sebenarnya, tiada apa yang positif mengenainya melainkan anda mungkin boleh belajar posisi dan teknik hubungan kelamin sebelum mencubanya kelak.
Pun begitu, ketahuilah bahawa ia membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat dan salah satunya adalah ketagihan yang boleh membawa masalah mati pucuk.
Robot & patung seks
Tahukah kalian bahawa di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat telah wujud robot atau patung yang dibuat untuk memuaskan nafsu syahwat?
Ya, ia dikenali sebagai sexbot dan boleh berupa jantina lelaki atau wanita, serta memiliki tubuh badan yang hampir serupa seperti seorang manusia normal.
Berita baiknya adalah robot atau patung seks ini masih lagi belum wujud di dalam pasaran negara kita kerana tiada apa yang positif mengenainya.
Antara kesan buruk memilikinya adalah kalian akan kehilangan perasaan untuk berdamping dengan manusia sebenar yang sepatutnya menjadi lumrah alam.
Adakah ia sesuatu yang positif atau negatif?
Sebenarnya, gabungan teknologi dan seks (sextech) ini adalah satu norma baharu di dalam kalangan masyarakat era globalisasi masa kini.
Ia adalah sesuatu yang sangat kompleks kerana terdapat pelbagai kesan positif dan juga kesan negatif mengenainya dalam masa yang sama.
“Seks dan teknologi itu memang saling berkaitan dan kita sedang berada pada era permulaan yang memerlukan kefahaman lebih mendalam lagi”, kata Amanda Gesselman yang merupakan seorang saintis dari Kinsey Institute.
Dalam erti kata yang lebih mudah, sebenarnya perkaitan seks dan teknologi itu adalah sesuatu yang sangat bagus jika kita sendiri cakna dalam menilai.
Oleh itu, cuba ambil apa yang positif dan buang apa yang negatif mengenainya agar kehidupan seksual kita semua kekal sihat dan sejahtera bersama teknologi.
[embed-health-tool-ovulation]