Saiz payudara boleh meningkat akibat pil ini?
Berbalik kepada persoalan utama artikel ini di mana ada dakwaan yang mengatakan pil perancang boleh meningkatkan saiz payudara, adakah ia betul atau bohong?
Ya, memang benar bahawa pil ini mungkin boleh meningkatkan saiz buah dada wanita.
Ini kerana pil ajaib ini mengandungi hormon estrogen dan progesterone yang mempunyai keupayaan untuk merangsang peningkatan saiz payudara.
Ia adalah satu situasi yang agak sama seperti ketika kitaran menstrual di mana kedua-dua hormon ini dibebaskan lantas membuatkan buah dada membengkak.
Pun begitu, wajarlah untuk para wanita tahu bahawa perubahan ini hanya sementara sahaja dan tidak akan kekal.
Selepas beberapa bulan pengambilannya, buah dada anda akan kembali ke saiz asal semula.
Ia juga kebiasaannya akan berlaku apabila seseorang itu sudah mula berhenti mengambil pil ini.
Selain daripada hormon, ada 3 lagi alasan yang menyebabkan payudara membesar ketika mengambil pil perancang kehamilan iaitu:
#1. Pertambahan berat badan
Seperti mana yang kami telah katakan di atas tadi, ada wanita yang akan mengalami pertambahan berat badan jika mengambil pil kontraseptif ini.
Meskipun tiada bukti saintifik yang menyatakan puncanya, ada wanita yang akan bertambah lemak pada bahagian pinggul, pinggang dan buah dada.
Ia mungkin disebabkan bahagian-bahagian tersebut mempunyai reseptor estrogen yang banyak lantas merangsang pertambahan lemak di situ.

#2. Pengurangan otot badan
Bukan itu sahaja, pengambilan pil kontraseptif ini secara kerap juga dikatakan boleh membuat wanita mengalami pengurangan otot badan.
Para pengkaji percaya bahawa wanita yang ambil pil perancang mempunyai jisim otot yang kurang berbanding dengan yang tidak mengambilnya. Ini akibat kekurangan hormon Dehydroepiandrosterone.
Untuk pengetahuan anda, hormon DHEA ini mungkin jadi punca lemak terkumpul pada bahagian tubuh badan termasuklah buah dada.
#3. Penyimpanan air dalam badan
Estrogen yang wujud di dalam pil perancang kehamilan juga mungkin boleh memberi efek kepada kebolehan wanita memproses air dalam tubuh badan melalui proses metabolisma.
Kesan yang diperkatakan adalah ia akan membuat tubuh badan wanita menyimpan lebih banyak air (retensi air).
Akibatnya, bahagian tubuh badan wanita mungkin akan membengkak termasuklah pada buah dada mereka.
Para isteri, ini yang kalian perlu lakukan!
Jadi, adakah pengambilan pil perancang ini akan memberi kesan ketara kepada saiz payudara?
Ya, ia mungkin akan menyebabkannya lebih besar namun tidak semua wanita mengalaminya!
Sekiranya anda mengalami pertambahan saiz payudara yang terlalu ketara atau tidak normal seperti besar sebelah sahaja, segera berjumpa doktor.
Dalam pada itu, segala pengambilan ubatan atau rawatan berkenaan kontraseptif juga haruslah dibincangkan bersama pakar terlebih dahulu.
Akhir kata, encik suami tidak lagi perlu pelik jika buah dada isteri makin besar jika mereka ambil pil perancang ya?