backup og meta

Ramai Suami Isteri Tanpa Sedar Buat 10 Cara Pakai Kondom Yang Salah Ini, BAHAYA!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/12/2022

    Ramai Suami Isteri Tanpa Sedar Buat 10 Cara Pakai Kondom Yang Salah Ini, BAHAYA!

    Tahukah anda bahawa ramai pasangan suami isteri menggunakan cara pakai kondom yang salah?

    Buat pasangan suami isteri, terutamanya yang masih muda dan baru sahaja berkahwin, perancangan keluarga adalah sangat penting.

    Selain metode yang melecehkan seperti pengambilan pil perancang, ada satu teknik kontrasepsi yang paling mudah dan asas iaitu dengan memakai kondom.

    Namun, ia perlu digunakan dengan betul baru teknik ini benar-benar berkesan. Khas buat pembaca setia kami, ini dia 10 cara pakai kondom yang salah! 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu kondom?

    Sebelum pergi lebih lanjut, apa kata kita hurai serba sedikit mengenai kondom yang diperkatakan ini terlebih dahulu?

    Buat anda yang belum tahu, kondom adalah sejenis alat kontrasepsi yang digunakan oleh pasangan suami isteri untuk mencegah kehamilan luar jangkaan. Ia sangat penting dalam usaha perancangan keluarga.

    Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan dalam mencegah penyakit kelamin (STD) dari berjangkit. Dalam erti kata yang lain, alat pencegah kehamilan ini banyak gunanya dan perlu digunakan dengan betul.

    Sayangnya, masih ramai yang kurang mengetahui cara penggunaannya yang betul lantas meminimumkan tahap keberkesanannya.

    10 cara pakai kondom yang salah

    Menurut sebuah artikel terbitan jurnal Sexual Health yang berdasarkan 50 kajian tentang cara penggunaan kondom di seluruh dunia dan dikeluarkan di laman sesawang livescience.com, kesalahan cara pakai kondom tidak harus dipersalahkan kepada alat pencegah kehamilan itu semata-mata.

    Akan tetapi, pemakainya juga perlu lebih berhati-hati.

    Berikut merupakan beberapa kesalahan cara pakai kondom menurut kajian yang pasangan suami isteri perlu tahu:

    #1. Tidak memakainya secara menyeluruh

    cara pakai kondom

    Kesilapan cara pakai kondom yang pertama adalah ada segelintir pasangan yang memakai alat pencegah kehamilan ini secara separuh sahaja yakni tidak menyeluruh pada zakar.

    Menurut kajian, sebanyak 8.8% lelaki dan 11.2% wanita akan memulakan hubungan seks sebelum kondom benar-benar ditutupi secara total oleh kondom.

    #2. Memakainya secara terbalik

    Ya, jika anda tidak pernah menggunakan kondom sebelum ini, agak sukar untuk membezakan mana bahagian dalam dan mana bahagian luar.

    Menurut kajian, sekitar 4% hingga 30.4% individu gagal membezakannya lalu mengakibatkan mereka memakai alat kontrasepsi ini secara terbalik lantas meningkatkan risiko air mani terkeluar dari kondom.

    #3. Terlalu lambat memakainya

    Menurut satu kajian, kira-kira 17% hingga 51.1% individu memakai kondom terlalu lambat (memakainya ketika seks penetrasi sedang berlangsung).

    Menurut kajian lain pula, pemakaian kondom yang lambat berlaku pada sekitar 1.5% hingga 24.8 peratus pasangan. Ini adalah cara pakai kondom yang salah kerana air mani boleh mengalir keluar pada bila-bila masa sahaja. 

    #4. Terlalu cepat mencabutnya

    Ada kajian yang menyatakan bahawa sekitar 13% hingga 44.7% individu pernah mencabut kondom walaupun hubungan seks belum benar-benar berakhir.

    Ada juga kajian lain yang mengatakan bahawa kira-kira 1.4% hingga 26% pasangan pernah melakukan ini. Kesilapannya, ia hanya akan meningkatkan risiko air mani terkeluar di luar kondom.

    #5. Menggunakan kondom yang sama berulang kali

    Siapa yang pernah buat begini? Sila berhenti ya. Ini adalah salah satu kesilapan cara pakai kondom yang sering berlaku pada pasangan.

    Menurut kajian yang pernah dilakukan, kira-kira 1.4% hingga 3.3% responden pernah melakukannya.

    Ia adalah perbuatan yang salah kerana kondom bersifat pakai buang, jadi jangka hayatnya hanya sekali sahaja selepas dipakai.

    #6. Tidak menggunakan pelincir

    Persoalannya, adakah kita masih memerlukan pelincir jika sudah menggunakan kondom. Jawapannya, ya. Ini kerana penggunaannya tanpa pelincir boleh mengakibatkan ia koyak.

    Menurut kajian, sekitar 16% hingga 25.8% pasangan pernah melakukan seks dengan kondom tanpa pelincir. Ia adalah satu kesilapan yang harus dielakkan.

    #7. Menggunakan pelincir yang salah

    cara pakai kondom

    Tidak menggunakan pelincir bukanlah satu-satunya kesilapan berkaitan kondom. Kesilapan yang seterusnya adalah menggunakan pelincir yang salah.

    Menurut kajian, kira-kira 3.2% hingga 4.7 peratus pasangan pernah melakukan kesilapan ini. Silapnya adalah mereka menggunakan pelincir berasaskan minyak, yang boleh merosakkan kondom.

    #8. Tidak meninggalkan ruang pada hujung kondom

    Apa maksudnya? Untuk pengetahuan anda, kondom perlu dipakai dengan meninggalkan sedikit ruang yang agak tirus pada hujung zakar tersebut.

    Kegunaan ruang ini adalah untuk menampung air mani yang keluar dari zakar.

    Tanpanya, air mani mungkin akan terkeluar dari kondom. Sebanyak 24.3% hingga 45.7% pasangan melakukan kesilapan ini.

    #9. Gagal mengeluarkan udara

    Kondom perlu digunakan dengan cara vakum (tanpa udara). Maksudnya di sini adalah alat kontrasepsi ini perlu dipakai ketat dan kedap udara agar tiada air mani yang boleh terkeluar darinya.

    Untuk pengetahuan anda, sebanyak 41.6% hingga 48.1% pasangan pernah melakukan kesilapan ini lalu meningkatkan risiko kehamilan tanpa sengaja.

    #10. Salah cara penyimpanan kondom

    Apa yang lebih penting selain cara pakai kondom? Jawapannya adalah cara simpan kondom. Namun, sekitar 3.3% hingga 19.1% pasangan dalam kajian didapati salah cara penyimpanan alat pencegah kehamilan ini.

    Buat anda yang belum tahu, tahap keberkesanan kondom mungkin akan berkurang dari 98% menjadi lebih rendah jika ia disimpan secara salah.

    Berikut adalah kesalahan penyimpanan kondom yang anda perlu tahu:

    • Menyimpan kondom bersama peralatan yang tajam seperti pisau atau gunting
    • Menyimpan kondom di tempat yang panas dan terlalu terdedah kepada cahaya matahari
    • Terlalu lama menyimpan kondom sehingga tamat tarikh luput

    Jadi, apa cara pakai kondom yang betul?

    Secara logiknya, cara pakai kondom yang betul adalah dengan mengelak daripada sebarang perlakuan cara pakai kondom yang salah, seperti tertulis di atas.

    Selain itu, anda juga perlu lebih berhati-hati dengan saiz kondom – tidak terlalu ketat atau longgar, waktu dan teknik penggunaan dan cara penyimpannya.

    Dalam pada itu, jangan sesekali menggunakannya secara berlapis. Ini kerana ada pasangan yang beranggapan bahawa penggunaan 2 atau 3 kondom sekali gus akan memberikan perlindungan yang berganda.

    Ia adalah tidak benar. Ia hanya akan menyebabkan kondom mengalami tekanan berlebihan lalu meninggikan risiko ia terkoyak.

    Jadi, sila berhati-hati ketika menggunakan kondom atau sebarang alat kontrasepsi yang lain, ya?

    Konklusi

    Kesimpulannya, tahap keberkesanan kondom adalah sebanyak 98 peratus. Namun, ia hanya akan termaktub sekiranya tiada sebarang kesilapan dalam cara pakai kondom.

    Oleh itu, pasangan suami isteri, terutamanya yang masih muda dan baru berkahwin, sila berhati-hati, ya?

    Jika kurang pasti dengan cara pakai kondom, sila baca arahan yang terdapat pada label kondom atau dapatkan pandangan dan pencerahan dari pakar.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan