backup og meta

Ingin Jaga Jantung Anda? Gunakan Kaedah Polymeal, Amalkan Menu Diet Baik Untuk Jantung!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/07/2022

    Ingin Jaga Jantung Anda? Gunakan Kaedah Polymeal, Amalkan Menu Diet Baik Untuk Jantung!

    Pada tahun 2004, sekumpulan saintis ada mencadangkan konsep polymeal, iatu satu set makanan untuk jantung yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Apa itu polymeal? Ini penerangannya dan contoh menu diet jantung yang boleh anda amalkan!

    Polymeal, makanan untuk jantung yang patut diamalkan

    Polymeal adalah satu kaedah diet atau pelan makanan untuk jantung yang bertujuan melawan penyakit jantung.

    Ia mula diperkenalkan pada Disember 2004 oleh seorang saintis kesihatan awam, Oscar Franco yang berkhidmat di University Medical Centre, Netherlands.

    Oscar dan rakan penyelidiknya telah mencadangkan bahawa polymeal adalah sebagai alternatif semula jadi bagi ‘Polypill’, yang merupakan satu idea penghasilan ubat bagi mengurangkan penyakit jantung.

    Kajian berkenaan polymeal ini dilakukan secara analisis meta, iaitu analisis yang menggabungkan hasil-hasil kajian lepas yang telah dilakukan sebelum ini.

    Menurut kajian tersebut, jika seseorang individu mengikuti kaedah polymeal, ia akan membantu melambatkan permulaan bagi seseorang itu mendapat penyakit jantung selama 9 tahun bagi lelaki, dan 8 tahun bagi perempuan.

    Dengan kata mudah, polymeal adalah gabungan beberapa jenis makanan yang membantu mengurangkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit jantung. 

    Contoh menu diet jantung yang terkandung dalam senarai polymeal

    contoh menu diet jantung

    Terdapat beberapa jenis atau contoh menu diet jantung yang dirumuskan mampu mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung.

    Contoh menu diet jantung tersebut ialah sayur-sayuran, buah-buahan, coklat gelap, badam, bawang putih dan ikan berlemak.

    Bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, risiko untuk mendapat penyakit jantung akan berkurangan sebanyak 21% jika anda mengambilnya sebanyak 396 gram sehari.

    Untuk ikan pula, anda digalakkan untuk mengambil sebanyak 113 gram setiap kali hidangan, sekurang-kurangnya 4 kali dalam seminggu.

    Ikan yang sesuai untuk dimakan pula adalah jenis ikan berlemak atau berminyak yang mengandungi kandungan omega-3 seperti ikan tenggiri dan ikan salmon.

    Jumlah pengambilan ikan ini akan mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung sebanyak 14%.

    Selain sayur-sayuran dan juga ikan, anda juga digalakkan untuk mengambil badam dalam hidangan anda. Sekitar 71 gram badam disarankan untuk dimakan setiap hari dan ia dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 12.5%.

    Untuk dua jenis makanan lagi iaitu coklat gelap dan bawang putih, manfaat yang dinyatakan terhadap kesihatan jantung agak kontroversi.

    Berdasarkan kajian, 99 gram coklat gelap yang dimakan setiap hari mampu mengurangkan tekanan darah sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 21%.

    Namun, lebih banyak kajian baharu lain perlu dilakukan untuk menyokong kajian terbabit.

    Selain itu, manfaat pengambilan bawang putih turut mempunyai sedikit kontroversi. Penulis kajian polymeal ada mencadangkan supaya menambahkan sekitar 3 gram bawang putih segar sehari untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 25%.

    Namun kajian berkenaan manfaat ini jauh lebih sedikit berbanding kajian berkenaan manfaat bawang putih terhadap pengurangan kolesterol tubuh.

    Adakah wujud sebarang kesan sampingan daripada kaedah polymeal?

    makanan untuk jantung

    Daripada analisis kajian yang telah dijalankan, tidak terdapat sebarang kesan sampingan yang serius dilaporkan pernah berlaku.

    Bagi bawang putih, kesannya hanyalah penghasilan bau badan yang mungkin kurang menyenangkan.

    Namun, terdapat juga beberapa kesan sampingan pemakanan bawang putih segar seperti kembung perut, alahan dan sakit perut. Akan tetapi kesan yang dilaporkan tersebut masih tidak terbukti. 

    Ia baik untuk jantung, tetapi tidak terhad kepada jenis makanan tertentu sahaja

    Kaedah polymeal menggalakkan kita untuk makan beberapa bahan makanan tertentu. Disebabkan itu, ada beberapa jenis makanan lain yang mungkin kita terlepas pandang berkenaan manfaatnya terhadap tubuh.

    Dalam kaedah polymeal, jenis makanan yang dicadangkan amatlah terhad dan ia tidak menyatakan sebarang sumber makanan lain yang boleh memberikan manfaat yang sama.

    Sebagai contoh, kekacang, bijirin penuh dan sumber serat diet yang lain juga membantu merendahkan kolesterol jahat dalam tubuh. Ia juga membantu mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 25%.

    Selain itu,protein daripada kacang soya juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam badan anda.

    Begitu juga manfaat daripada minyak zaitun dan minyak kanola yang boleh memberikan perlindungan kepada kesihatan jantung anda. 

    Bukan hanya polymeal, tetapi juga gaya hidup

    Untuk mengekalkan kesihatan terutamanya kesihatan jantung anda, anda tidak boleh bergantung kepada alternatif seperti kaedah polymeal semata-mata. Pemakanan sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan kesihatan anda.

    Anda juga masih perlu untuk melakukan aktiviti fizikal setiap hari seperti bersenam dan bersukan.

    Selain itu, kekalkan juga gaya hidup yang aktif berbanding hanya duduk selama berjam-jam di rumah atau di tempat kerja. Pastikan juga anda tidak merokok dan tidak mengambil sebarang minuman keras dalam pemakanan anda.

    Dengan cara yang lebih komprehensif ini, pastinya risiko anda untuk mendapat penyakit jantung akan menjadi lebih sedikit berbanding hanya bergantung kepada diet pemakanan semata-mata. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan