Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
Polip pundi hempedu adalah ketumbuhan yang menonjol daripada lapisan bahagian dalam pundi hempedu. Polip pundi hempedu biasanya dikesan melalui ultrabunyi.
Kebanyakan polip pundi hempedu tidak merbahaya -terdiri daripada kolesterol dan bukan sel-sel kanser. Tetapi sesetengah yang lain mungkin sebenarnya adalah ketumbuhan kecil – ada yang boleh menjadi kanser manakala yang lain adalah ketumbuhan benigna.
Saiz polip pundi hempedu menentukan keadaan pesakit: lebih besar polip, lebih besar risiko kanser pundi hempedu. Polip yang lebih besar daripada 1 sentimeter paling berkemungkinan menjadi kanser, jadi doktor sering mengesyorkan untuk membuang pundi hempedu pada pesakit dengan polip saiz tersebut atau yang lebih besar. Polip yang lebih kecil daripada itu sangat jarang menjadi kanser.
Polip pundi hempedu boleh berlaku kepada pesakit tanpa mengira usia. Ia boleh ditangani dengan mengurangkan faktor-faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Polip pundi hempedu mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom sama sekali. Tetapi ia juga boleh menyebabkan sakit biliari (sakit perut yang datang daripada pundi hempedu). Sakit ini biasanya berpunca daripada batu karang dalam pundi hempedu, tetapi jika tiada batu karang, kemungkinan polip pundi hempedu mestilah dipertimbangkan.
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai simptom tertentu, sila berunding dengan doktor anda.
Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda atau simptom-simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.
Punca sebenar ketumbuhan ini masih tidak diketahui. Walaupun keadaan ini biasanya tidak berbahaya,terdapat juga beberapa bukti yang menunjukkan usia, kehadiran batu karang, atau saiz polip lebih besar boleh dikaitkan dengan kanser. Walau bagaimanapun, memandangkan polip biasanya tidak didiagnosis melainkan dengan ultrabunyi abdomen atau pembedahan pundi hempedu (kolesistektomi), adalah penting untuk menyedari kemungkinan masalah kesihatan yang serius.
Tidak banyak yang diketahui tentang faktor-faktor yang dikaitkan dengan berlakunya polip pundi hempedu. Pembentukan polip pundi hempedu bagaimanapun berkait dengan metabolisme lemak. Hubungan antara polip pundi hempedu dan sejarah beberapa penyakit dalam keluarga mencadangkan keperluan terhadap kajian genetik.
Pesakit dengan sindrom poliposis kongenital seperti Peutz-Jeghers dan sindrom Gardner juga mungkin mengalami polip pundi hempedu. Kajian faktor-faktor risiko polip pundi hempedu dalam populasi Cina mengenal pasti hepatitis B kronik sebagai faktor risiko.
Kemungkinan faktor risiko polip pundi hempedu malignan termasuklah berumur lebih daripada 60 tahun, kehadiran batu karang dalam pundi hempedu, dan kolangitis mensklerosis primer (primary sclerosing cholangitis). Ciri-ciri polip yang lebih berisiko termasuklah saiz yang lebih besar daripada 6 mm, tunggal, dan sesil (tidak bergerak).
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Untuk melihat pundi hempedu dengan baik, ultrabunyi biasanya dilakukan. Polip pundi hempedu biasanya akan dilihat pada ultrabunyi, dan saiz (dan risiko merbahaya) boleh diukur.
Imbasan tomografi pancaran positron (PET) atau tomografi berkomputer (CT) boleh membantu menilai kemungkinan sel-sel kanser dalam polip pundi hempedu yang lebih besar. Ujian-ujian ini kedua-duanya boleh digunakan untuk memantau polip pundi hempedu dari masa ke masa untuk melihat sebarang perubahan yang mencurigakan yang menunjukkan kanser pundi hempedu.
Jadi, jika ia adalah polip pundi hempedu yang tidak berbahaya, apakah yang patut dilakukan? Demikianlah soalan yang masih dalam kajian.
Jawapannya bergantung kepada saiz polip dan kemungkinannya menjadi kanser. Pada dasarnya terdapat dua pilihan: Tunggu dan lihat, atau menjalani pembedahan penyingkiran pundi hempedu (kolesistektomi). Polip yang sangat kecil, yang kurang daripada 1 sentimeter (atau kurang daripada 1.5 cm, menurut beberapa kajian) mungkin tidak memerlukan kolesistektomi, dan sebaliknya boleh dipantau dengan imbasan dan menilai semula sebarang perubahan yang mencurigakan yang boleh menunjukkan kanser pundi hempedu.
Polip lebih besar daripada 1 sentimeter lebih cenderung untuk menjadi kanser, terutamanya 1.5 sentimeter dalam diameter atau lebih besar – terdapat risiko 46-70 peratus bahawa ia mengandungi sel-sel kanser.
Pemantauan polip pundi hempedu kurang daripada 1.5 sentimeter perlu dilakukan setiap tiga hingga enam bulan selama dua tahun, selepas itu ia boleh dihentikan jika tiada sebarang perubahan dalam polip. Dalam kes polip pundi hempedu yang lebih kecil daripada 0.5 sentimeter dalam diameter, penyingkiran pundi hempedu tidak disarankan kerana risiko kanser pundi hempedu amat jarang berlaku.
Polip pundi hempedu yang menjadi kanser boleh dirawat dengan pembedahan pundi hempedu. Untuk polip pundi hempedu yang lebih besar, kolesistektomi juga boleh disyorkan untuk mencegah perkembangan kanser pundi hempedu.
Membuat keputusan bagaimana untuk merawat polip pundi hempedu memerlukan pertimbangan teliti – menilai risiko pembedahan berbanding risiko perkembangan kanser pundi hempedu. Beri perhatian kepada risiko kanser secara keseluruhan dan ingat bahawa pemantauan yang teliti boleh menjadi strategi rawatan yang berkesan untuk mengekalkan kesihatan anda.
Diet anda boleh memainkan peranan. Anda perlu makan makanan yang tinggi serat dan lemak sihat untuk membantu mencegah batu karang. Bijirin halus (terdapat dalam bijirin bergula dan nasi putih, roti, pasta) dan gula dikaitkan dengan risiko penyakit pundi hempedu yang lebih tinggi. Bijirin penuh seperti beras perang dan roti gandum dan lemak daripada ikan dan minyak zaitun semuanya sangat disyorkan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Fakta Disemak oleh
Hello Doktor Medical Panel
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen