backup og meta

Kentut Busuk Seperti Bau Telur Tembelang? Ini Mungkin Tanda Penyakit

Kentut Busuk Seperti Bau Telur Tembelang? Ini Mungkin Tanda Penyakit

Penulis pernah terperangkap di dalam lif yang sesak dengan manusia dan perjalanan menuju tingkat pejabat masih jauh lagi. Tiba-tiba, terdengar satu bunyi yang sangat kuat lantas mengejutkan semua orang yang masih lagi mamai di situ. Prooottt! Seperti guruh yang muncul selepas cahaya, bunyi ini diekori oleh bau yang sangat busuk. Semua orang saling berpandangan lalu mengesahkan bunyi dan bau busuk itu berpunca dari kentut busuk.

Persoalannya, kenapa kentut bau busuk? Adakah terdapat punca yang mendalanginya? Ayuh sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu jawapannya!

Kentut, satu proses biologi yang normal

Pasti semua orang pernah terfikir perkara ini, bukan? Untuk pengetahuan anda, kentut adalah satu proses biologi yang membantu individu membuang gas dari perut ketika proses penghadaman.

Kentut juga mempunyai pelbagai variasi. Ada yang tidak berbunyi, berbunyi kuat, tidak berbau dan berbau busuk.

Hakikatnya, kentut adalah sesuatu yang normal. Pun begitu, gas yang keluar dari lubang dubur anda ini mungkin berbau busuk akibat beberapa perkara seperti pengambilan sesuatu makanan atau ubatan.

Selain itu, ia juga mungkin disebabkan oleh jangkitan atau masalah pada sistem penghadaman anda.

Kenapa bau kentut busuk?

kentut busuk

Berikut adalah 6 punca kentut berbau busuk:

#1. Makanan tinggi serat

Makanan tinggi serat akan menyebabkan tubuh badan anda mengeluarkan lebih banyak gas.

Disebabkan jenis makanan ini mengambil masa lebih lama untuk diuraikan oleh sistem penghadaman, jadi ia akan terperap lama di dalam perut anda. Ini merupakan salah satu punca gas yang dikeluarkan berbau busuk.

Selain itu, ia juga disebabkan kandungan sulfur yang terdapat di dalam makanan tinggi serat seperti brokoli, asparagus, kubis, sawi putih dan sebagainya.

Buat anda yang belum tahu, sulfur adalah sebatian yang secara semula jadi mempunyai bau yang sama seperti telur tembelang.

Rasanya semua orang pernah ditegur sebab kentut bau telur tembelang, bukan?

#2. Ubatan seperti antibiotik

Ubatan seperti antibiotik juga boleh menjadi punca kentut busuk walaupun jarang berlaku. Antibiotik akan membunuh patogen yang berbahaya di dalam tubuh badan.

Namun, dalam masa yang sama ia juga akan membunuh bakteria baik dalam perut – yang membantu proses penghadaman. Tanpa bakteria ini, gas yang anda keluarkan mungkin akan berbau busuk.

#3. Keracunan makanan

Jika anda sensitif terhadap sesuatu jenis makanan, gas dalam perut anda juga mungkin akan mempunyai bau yang busuk.

Sebagai contoh, individu dengan intoleransi laktosa tidak dapat menguraikan karbohidrat laktosa. Kesannya, ia akan terperap di dalam perut.

Selain itu, intoleransi gluten juga boleh jadi punca masalah ini. Ia akan menyebabkan penyakit seliak, penyakit autoimun yang boleh mengakibatkan inflamasi pada usus.

Ia juga adalah punca gas yang dikeluarkan oleh badan anda berbau busuk.

#4. Sembelit juga punca kentut busuk

kentut busuk

Sembelit menunjukkan anda masih mempunyai najis pada kolon.

Jika anda rasa sukar untuk membuang air besar dengan kerap, ia adalah tanda bahawa bakteria sedang merebak. Akibatnya, gas yang anda keluarkan juga akan berbau busuk. 

#5. Infeksi usus

Apabila tubuh badan anda mencernakan makanan, segala nutrien akan diesktrak untuk dihantar ke saluran darah.

Apa yang tidak dimahukan pula akan dihantar ke kolon. Gangguan proses ini pula akan menyebabkan pertumbuhan bakteria.

Ia seterusnya akan menyebabkan infeksi pada usus. Disebabkan itu, gas yang terhasil juga adalah lebih banyak, kuat dan berbau lebih busuk.

Bukan itu sahaja, ia juga akan menyebabkan kekejangan perut dan cirit-birit. Jadi, segera berjumpa doktor.

#6. Kanser kolon

Salah satu daripada punca gas berbau busuk yang paling ditakuti adalah kanser kolon.

Apabila polip atau tumor terbentuk pada sistem penghadaman, ia akan menyebabkan gangguan pada perut sekali gus mengakibatkan penghasilan gas yang berlebihan.

Jika anda mula perasan gas yang anda keluarkan itu berbau busuk dan anda bimbang dengan kondisi kesihatan anda, segera berjumpa doktor.

Ya, ia mungkin perkara yang normal namun mungkin juga merupakan petanda anda mempunyai penyakit.

Kentut busuk adalah normal!

kentut busuk

Kesimpulannya, kentut berbau busuk adalah normal. Bukan anda seorang sahaja yang menghadapinya.

Ia mungkin disebabkan pengambilan makanan atau ubatan. Namun, ia juga mungkin petanda kepada penyakit. Jadi, rujuk kepada doktor ya?

Bagi yang tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada penulis dan beberapa orang lagi mangsa yang terperangkap dengan kentut busuk di dalam lif itu, ini adalah plot twist untuk anda.

Sebenarnya, penulis sendiri adalah tuan punya badan yang mengeluarkan gas beracun tersebut. Hurmmm…

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Farting (flatulence). https://www.nhs.uk/conditions/flatulence/. Accessed Apr 28, 2022.
  2. What causes extremely smelly farts? https://patient.info/news-and-features/smelly-farts-flatulence-rotten-eggs-gas. Accessed Apr 28, 2022.
  3. What’s a Fart? https://kidshealth.org/en/kids/fart.html. Accessed Apr 28, 2022.
  4. Flatulence. https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/stomach-liver-and-gastrointestinal-tract/flatulence. Accessed Apr 28, 2022.
  5. To Fart is Human. But When Your Fart Smells of Rotten Eggs…. https://mypositiveparenting.org/2019/04/25/to-fart-is-human-but-when-your-fart-smells-of-rotten-eggs/. Accessed Apr 28, 2022.
  6. What Your Farts Are Telling You About Your Health. https://www.kuuroorddeschouw.nl/images/Publicaties/FARTS-TEL-SOMET.-ABOUT-YOUR-HEALTH.pdf. Accessed Apr 28, 2022.

Versi Terbaru

12/07/2023

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Vagina Keluar Angin Semasa Bersenggama? Ini Namanya Kentut Faraj, Nak Tahu Bahaya Ke Tak, Baca Ini!

Segan Nak Buang Angin Depan Orang? Bahaya, Ada Sebab Tak Boleh Tahan Kentut!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan