backup og meta

Pendarahan Variks Esofageal

Definisi

Apa itu Pendarahan Variks Esofageal?

Pendarahan Variks Esofageal berlaku apabila vena yang telah membengkak (variks) pada bahagian bawah esofageal anda pecah dan berdarah.

Esofageal adalah tiub otot yang menghubungkan mulut ke perut anda. Vena pada bahagian bawah esofagus yang berdekatan dengan perut boleh menjadi bengkak apabila aliran darah ke hati anda berkurang. Ini mungkin disebabkan oleh tisu parut atau darah beku di dalam hati.

Apabila aliran darah hati tersekat, darah akan berkumpul di dalam saluran darah lain yang berdekatan, termasuk yang berada pada bahagian bawah esofagus anda. Walau bagaimanapun, vena-vena ini lebih kecil, dan tidak mampu membawa jumlah darah yang banyak. Vena ini akan kembang dan bengkak disebabkan oleh aliran darah yang meningkat.

Vena-vena yang membengkak ini dikenali sebagai Variks Esofageal.

Variks Esofageal mungkin boleh membocorkan darah dan kemudiannya pecah. Ini boleh mengakibatkan pendarahan teruk dan komplikasi yang boleh membawa maut, termasuk kematian.

Apakah kebarangkalian Pendarahan Variks Esofageal?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Pendarahan Variks Esofageal?

Variks Esofageal jarang menyebabkan sebarang simptom melainkan variks tersebut telah pecah. Apabila ini berlaku, anda mungkin akan mengalami:

  • Hematemesis (muntah darah).
  • Sakit perut.
  • Pening atau pengsan.
  • Melena (najis berwarna hitam).
  • Najis berdarah (bagi kes yang teruk).
  • Kejutan (tekanan darah sangat rendah disebabkan oleh kehilangan darah yang mengakibatkan kerosakan banyak organ).

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom di atas, sila ke pusat kecemasan yang berdekatan dengan segera.

Punca

Apakah punca Pendarahan Variks Esofageal?

Vena portal memindahkan darah daripada beberapa organ di dalam saluran gastrousus ke dalam hati. Variks Esofageal merupakan kesan terus tekanan darah tinggi di dalam portal vein. Keadaan ini dipanggil hipertensi portal. Ia menyebabkan darah terkumpul di dalam saluran darah yang berdekatan, termasuk yang berada di dalam esofagus anda. Vena mula untuk kembang dan bengkak disebabkan oleh aliran darah yang meningkat.

Sirosis merupakan punca yang paling biasa menyebabkan hipertensi portal. Sirosis adalah parut teruk pada hati yang sering berlaku disebabkan oleh pengambilan alkohol yang berlebihan atau jangkitan yang serius, seperti hepatitis. Punca lain yang berpotensi menyebabkan hipertensi portal adalah trombosis vena portal, keadaan yang berlaku apabila terdapat darah beku di dalam vena portal.

Bagi sesetengah kes, punca bagi hipertensi portal masih tidak diketahui. Hal ini dirujuk sebagai hipertensi portal idiopatik.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Pendarahan Variks Esofageal?

Terdapat banyak faktor risiko bagi pendarahan Variks Esofageal, seperti:

  • Variks Esofageal yang besar.
  • Tanda merah pada Variks Esofageal apabila dilihat melalui skop perut yang bercahaya (endoskop).
  • Hipertensi portal.
  • Sirosis yang teruk.
  • Jangkitan bakteria.
  • Penggunaan alkohol yang berlebihan.
  • Muntah berlebihan.
  • Sembelit.
  • Serangan batuk yang teruk

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Pendarahan Variks Esofageal didiagnosis?

Bagi mendiagnosis Variks Esofageal, doktor anda akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanya mengenai simptom-simptom anda. Doktor juga akan menggunakan satu atau lebih daripada ujian-ujian berikut bagi mengesahkan diagnosis:

Ujian darah: Ujian ini digunakan bagi menyukat kiraan sel darah dan fungsi hati serta buah pinggang.

Endoskopi: Semasa prosedur ini dilakukan, skop kecil yang bercahaya dimasukkan ke dalam mulut dan digunakan untuk melihat esofagus, perut, dan sehingga ke bahagian permulaan usus kecil. Ia digunakan bagi melihat vena yang mengembang serta organ-organ dengan lebih jelas lagi. Ia juga boleh digunakan untuk mengambil sampel tisu dan merawat pendarahan.

Ujian bergambar, seperti pengimbas CT dan MRI: Ini digunakan untuk memeriksa hati serta organ abdomen serta menilai aliran darah masuk dan sekeliling organ-organ ini.

Bagaimana pesakit Pendarahan Variks Esofageal dirawat?

Tujuan utama rawatan adalah menghalang Variks Esofageal daripada pecah dan berdarah.

Mengawal hipertensi portal

Mengawal hipertensi portal biasanya adalah langkah pertama untuk mengurangkan risiko pendarahan. Hal ini boleh dilakukan melalui penggunaan rawatan dan ubat-ubatan berikut:

Penyekat beta: Doktor anda akan mempreskripsi ubat penyekat beta, seperti propanolol, bagi merendahkan tekanan darah anda.

Skleroterapi endoskopik: Menggunakan endoskop, doktor anda akan menyuntik ubat ke dalam vena anda yang telah membengkak di mana ia akan mengecutkan variks.

Ligasi variseal endoskopik (banding): Doktor anda akan menggunakan endoskop untuk mengikat vena yang telah membengkak di dalam esofagus anda dengan gegelung elastik supaya variks tidak akan berdarah. Gegelung tersebut akan dibuang selepas beberapa hari.

Anda mungkin memerlukan rawatan tambahan sekiranya Variks Esofageal anda telah pecah.

Selepas pendarahan telah berlaku

Ligasi variseal endoskopik dan skleroterapi endoskopik merupakan rawatan pencegahan secara umum. Walau bagaimanapun, doktor anda juga boleh menggunakan kedua-dua cara ini sekiranya Variks Esofageal anda telah mula berdarah. Ubat yang dipanggil octreotide juga boleh digunakan. Ubat ini akan merendahkan tekanan pada vena yang telah membengkak dengan mengetatkan saluran darah dan mengurangkan aliran darah.

Prosedur pintasan Portosistemik Intrahepatik Transjugular (TIPSS) adalah pilihan rawatan yang berpotensi untuk pendarahan Variks Esofageal yang berulang. Prosedur ini menggunakan X-ray bagi bantu memasukkan alat yang mencipta sambungan baharu di antara dua saluran darah di dalam hati anda.

Tiub kecil yang digunakan bagi menyambung vena portal dengan vena hepatik. Vena hepatik memindahkan darah daripada hati ke jantung. Sambungan ini membentuk lencongan bagi aliran darah.

Prosedur pintasan splenorenal distal (DSRS) merupakan pilihan rawatan yang lain tetapi ia lebih invasif. Prosedur pembedahan ini menyambung vena utama limpa dengan vena buah pinggang kiri. Prosedur ini dapat mengawal pendarahan akibat Variks Esofageal dalam 90 peratus pesakit.

Bagi kes-kes terpencil, transplan hati mungkin diperlukan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Pendarahan Variks Esofageal?

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang mungkin membantu anda mengatasi pendarahan Variks Esofageal:

Bagi mencegah pendarahan variks esofagus:

  • Makan diet sihat yang mengandungi rendah garam, protein pejal, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Berhenti daripada minum arak.
  • Kekalkan berat badan yang sihat.
  • Kurangkan risiko anda untuk menghidapi hepatitis dengan mengamalkan seks selamat. Jangan berkongsi jarum atau pencukur, dan elakkan daripada bersentuhan dengan darah dan cecair badan yang lain daripada individu yang dijangkiti.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Bleeding esophageal varices https://www.healthline.com/health/bleeding-esophageal-varices#overview1 Accessed November 02, 2017

Bleeding esophageal varices https://medlineplus.gov/ency/article/000268.htm Accessed November 02, 2017

Versi Terbaru

09/05/2022

Ditulis oleh Fariha Zakaria

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Perut Sakit Sebab Banyak Angin? Ada 6 Sebab Perut Memulas Tapi Tak Nak Berak!

Rasa Sakit Dada Dan Badan Seperti Penuh Angin, Apa Sebenarnya Punca Masalah Ini?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fariha Zakaria · Disemak pada 09/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan