Metabolic syndrome (MS) atau sindrom metabolik adalah kumpulan beberapa keadaan yang wujud dalam satu masa pada individu. MS meningkatkan risiko kepada penyakit jantung serta diabetes dan strok. Ia juga dikenali dengan nama dysmetabolic syndrome, obesity syndrome dan syndrome X.
Bagaimana metabolic syndrome didiagnosis?
Menurut American Heart Association, mana-mana 3 daripada 5 kriteria berikut yang ditemui di dalam seorang individu akan dikira sebagai MS:
- Obesiti di bahagian abdomen – ukur lilit pinggang melebihi 102 cm (40 inci) bagi lelaki dan lebih 88 cm (35 inci) bagi wanita.
- Dislipidemia – kadar trigliserida di dalam darah 150 mg/dL dan ke atas atau sedang mengambil ubat kolesterol.
- Kolesterol baik (HDL) – 40 mg/dL dan ke bawah bagi lelaki dan 50 mg/dL dan ke bawah bagi wanita.
- Tekanan darah tinggi – 130/85 mmHg dan ke atas atau sedang mengambil ubat tekanan darah tinggi.
- Glukosa semasa berpuasa tinggi – 100 mg/dL dan ke atas.
Mempunyai salah satu daripada keadaan di atas tidak bermakna anda mempunyai MS. Walau bagaimanapun, setiap keadaan dia atas meningkatkan risiko kepada penyakit. Semakin banyak, semakin tinggi risiko.
Adakah sindrom ini mempunyai simptom?
Selain daripada obesiti yang mungkin jelas, kriteria atau keadaan lain kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang simptom.
Tekanan darah tinggi atau hipertensi jarang menyebabkan apa-apa simptom. Kalau ada pun, rasa sakit kepala atau komplikasi seperti serangan jantung dan strok.
Glukosa darah tinggi kadangkala mungkin memberikan beberapa simptom seperti banyak makan dan minum, kerap membuang air kecil, cepat letih dan penglihatan kabur.
Jadi, cara terbaik adalah dengan melakukan pemeriksaan berkala. Ini sahaja langkah untuk mengesan semua keadaan ini dengan awal, seterusnya memulakan intervensi yang sepatutnya.
Adakah metabolic syndrome penting?
Ya, MS adalah sangat penting kerana ia meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung koronari. Pembuluh darah jantung boleh tersumbat menyebabkan oksigen tidak sampai kepada sel-sel jantung. Dalam kata lain, serangan jantung boleh berlaku dan berkemungkinan membawa kepada kegagalan jantung.
Sindrom ini diuruskan dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk pemakanan sihat dan aktiviti fizikal. Jika gaya hidup semata-mata tidak berkesan, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan untuk mengawal kolesterol, tekanan darah dan kadar gula.
Matlamat utama rawatan adalah untuk mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Kemudian untuk mencegah diabetes jenis 2, jika masih belum berlaku.
[embed-health-tool-bmr]