Jika anda sedang mengalami sakit perut atau cirit-birit, apakah ubat atau petua yang sering anda buat untuk legakannya? Mungkin ada yang mengamalkan minum susu, minum teh dan sebagainya. Namun pernahkah anda mencuba pengambilan yogurt atau probiotik untuk cirit birit?
Adakah yogurt benar-benar boleh melegakan masalah ini? Bagi menjawab persoalan probiotik untuk usus, kami telah sediakan artikel menarik ini untuk bacaan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Probiotik untuk cirit birit: Apa itu probiotik?
Pasti anda tertanya-tanya, setakat mana keberkesanan yogurt ini dalam melegakan masalah cirit-birit.
Anda juga pasti terfikir, bagaimana yogurt boleh memberikan kesan seperti berikut dalam sistem pencernaan manusia.
Perkara pertama yang perlu anda tahu ialah penyebab kepada cirit-birit yang berlaku.
Cirit-birit boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca. Antaranya ialah seperti jangkitan bakteria, penyakit iritasi usus, masalah sembelit, dan beberapa keadaan lain yang boleh menjejaskan perut anda.
Rawatan bagi masalah cirit-birit boleh melibatkan pengambilan beberapa jenis ubat dan perubahan diet harian anda.
Setiap individu atau budaya pasti mempunyai caranya yang tersendiri dalam mengubati masalah cirit-birit.
Antara kaedah yang agak popular sejak kebelakangan ini adalah dengan memakan yogurt untuk cirit birit.
Sebab utama mengapa yogurt menjadi pilihan adalah kerana yogurt mengandungi probiotik atau mikroorganisme hidup di dalamnya.
Probiotik untuk usus juga lebih dikenali ramai sebagai bakteria baik. Probiotik untuk usus ini membantu menyeimbangkan jumlah bakteria dalam perut dan usus kita.
Apabila kita mengalami sakit perut atau cirit-birit, ia biasanya disebabkan oleh kewujudan bakteria jahat atau virus yang menjangkiti perut.
Probiotik atau bakteria baik ini akan membantu melawan bakteria jahat dan mengekalkan jumlah mikroorganisme sihat dalam perut kita.
Selain itu, probiotik juga membantu dalam proses pencernaan makanan dan menguraikan makanan yang dimakan.
Probiotik untuk cirit birit: Benarkah yogurt boleh atasi masalah cirit-birit?
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, bakteria baik atau probiotik yang terdapat dalam kandungan yogurt boleh membantu menyeimbangkan jumlah bakteria yang terdapat dalam perut kita.
Secara teorinya, sememangnya pengambilan yogurt boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan usus selain memperbaiki sistem pencernaan secara keseluruhan.
Terdapat satu kajian yang telah dijalankan untuk melihat keberkesanan yogurt dalam melegakan masalah cirit-birit.
Hasil kajian tersebut mendapati, pengambilan yogurt ini hanya menunjukkan perubahan kecil dalam sistem pencernaan.
Walau bagaimanapun, para penyelidik kajian tersebut menekankan bahawa hasil kajian itu bukanlah satu keputusan yang muktamad.
Penyelidikan lanjut masih perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada probiotik ini benar-benar boleh membantu masalah cirit-birit atau tidak.
Perlukah ambil suplemen untuk kekalkan kesihatan perut?
Ambil probiotik untuk cirit birit? Sebenarnya, kita tidak perlu mengambil sebarang suplemen atau probiotik untuk mengekalkan kesihatan perut atau usus.
Pengambilan diet yang sihat sudah cukup untuk mengekalkan jumlah probiotik yang sihat dalam perut kita.
Diet yang tinggi serat contohnya, boleh bertindak sebagai sumber makanan untuk bakteria baik ini.
Namun, ada sesetengah daripada kita mengamalkan jenis diet atau gaya hidup yang mungkin menyebabkan penurunan jumlah bakteria baik dalam usus dan perut.
Jika ini berlaku, maka kita disarankan untuk mengambil yogurt atau jenis makanan lain dengan kandungan probiotik bagi menyeimbangkan kembali bilangan bakteria baik tersebut.
Jadi, boleh guna yogurt atau probiotik untuk cirit birit?
Doktor masih tidak begitu pasti berkenaan keberkesanan pengambilan yogurt untuk tujuan merawat penyakit tertentu.
Ini kerana, kajian-kajian yang ada telah menunjukkan keputusan yang pelbagai.
Namun secara umumnya, pengambilan probiotik seperti yang terdapat dalam yogurt boleh membantu melegakan masalah cirit-birit dan sakit perut yang ringan.
Perlu diingat bahawa ia bukanlah pengganti kepada ubat-ubatan atau kaedah rawatan perubatan yang disarankan oleh doktor.
Ini kerana, penyelidik masih tidak begitu pasti bagaimana probiotik dan usus berinteraksi antara satu sama lain.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, probiotik untuk cirit birit mempunyai banyak potensi dalam menguruskan penyakit atau masalah yang berkaitan dengan perut.
Namun, kajian-kajian semasa masih tidak mencukupi bagi menyokong penggunaannya untuk tujuan perubatan.
Pengambilan probiotik tidaklah berbahaya dan ia masih selamat untuk diambil dengan kerap.
Walau bagaimanapun, perlu juga diketahui bahawa ia bukanlah pengganti ubat atau kaedah rawatan utama bagi merawat cirit-birit atau sakit perut anda.
Jika anda ingin menggunakan yogurt sebagai kaedah alternatif bagi merawat cirit-birit yang dialami, anda mungkin boleh bertanya kepada doktor terlebih dahulu.
Doktor boleh membantu memberikan nasihat berkenaan bagaimana untuk mengambilnya dan bila waktu yang sesuai untuk memakannya.
[embed-health-tool-bmi]