Wanita Usia 40-an Tinggi Risiko Osteoporosis? Ini 5 Tanda & Cara Elak Sakit Tulang Rapuh!

    Wanita Usia 40-an Tinggi Risiko Osteoporosis? Ini 5 Tanda & Cara Elak Sakit Tulang Rapuh!

    Apabila usia sudah semakin meningkat, ramai yang tidak sedar bahawa kita berisiko tinggi untuk mendapat penyakit osteoporosis atau juga disebut penyakit tulang rapuh.

    Namun, ada beberapa cara yang boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan penyakit ini, khususnya buat wanita yang sudah berusia 40 tahun dan ke atas.

    Lihat perkongsian daripada pakar di bawah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.

    Menopaus sebabkan penyakit tulang rapuh?

    penyakit tulang rapuh

    Menopaus merupakan proses biologi semula jadi dilalui oleh wanita yang menandakan pengakhiran waktu subur mereka iaitu sekitar umur 40 atau 50-an.

    Proses ini berlaku secara beransur-ansur dan menyebabkan perubahan hormon yang signifikan dalam badan.

    Kesannya, ia menyebabkan beberapa simptom yang unik seperti badan terasa panas, perubahan mood, kekurangan tidur dan mudah marah.

    Menopaus mempunyai tiga tahap yang menunjukkan tamatnya haid seorang wanita secara kekal. Pada tahap terakhir menopaus, hormon estrogen dan progesteron mula menurun.

    Kekurangan hormon estrogen secara langsung boleh memberi kesan kepada ketumpatan tulang, yang membawa kepada penyakit osteoporosis; keadaan di mana tulang menjadi lemah dan rapuh dari masa ke masa, dan menjadikannya lebih terdedah kepada risiko patah tulang.

    Dalam tempoh lima hingga tujuh tahun pertama menopaus, wanita lebih berisiko kehilangan 20% kepadatan tulang. Selain itu, amat penting untuk diketahui bahawa penurunan tahap estrogen bukanlah punca utama kepada kejadian osteoporosis.

    Namun, jika digabungkan dengan faktor risiko yang lain, penyakit tulang rapuh boleh berkembang menjadi lebih cepat.

    Malangnya, penyakit ini masih kurang didiagnosis dan dirawat di Malaysia, menjadikannya lebih sukar untuk merekodkan kelazimannya dalam masyarakat kita.

    Menurut Bone Health Alliance Malaysia (BHAM), 77% wanita Malaysia mengalami osteoporosis selepas menopaus (PMO) yang tidak didiagnosis.

    Walaupun puncanya tidak begitu jelas, para penyelidik telah menemui hubungan khusus antara menopaus dan juga osteoporosis.

    Estrogen memainkan peranan penting dalam mengekalkan kekuatan tulang. Maka tidak hairanlah wanita mencapai kemuncak jisim tulang ketika berumur 25-30 tahun iaitu apabila tulang berhenti membesar dan berada pada tahap paling kuat dan paling tebal.

    Oleh itu, apabila menopaus berlaku pada usia 50 tahun, paras estrogen menurun dan mengakibatkan peningkatan kehilangan ketumpatan tulang.

    Jika jumlah jisim tulang sebelum menopaus kurang daripada paras yang sepatutnya, sebarang kehilangan ketumpatan tulang yang berlaku sewaktu menopaus boleh mengakibatkan osteoporosis.

    Simptom penyakit osteoporosis

    penyakit tulang rapuh

    Memandangkan penyakit ini tidak menunjukkan tanda atau simptom yang jelas, maka kebanyakan wanita tidak menyedari bahawa mereka mempunyai penyakit tulang rapuh sehinggalah kejadian tulang patah berlaku.

    Namun, ada beberapa tanda yang mungkin anda boleh lihat sebagai langkah berjaga-jaga:

    #1. Tulang patah yang berkaitan dengan kerapuhan

    Kurang pengambilan susu juga memainkan peranan dalam risiko kejadian tulang patah pada bahagian pinggang, belakang badan, pinggul dan tulang yang lain.

    #2. Ketinggian berkurangan

    Dari masa ke masa, ketinggian anda berkurangan lebih daripada 2 inci.

    #3. Gusi menyurut

    Memandangkan rahang anda semakin kehilangan ketumpatan tulang dan gigi pula bersambung dengan rahang tersebut, maka gusi menyurut akan menjadi lebih jelas.

    #4. Tulang belakang bongkok atau melengkung

    Memandangan penyakit tulang rapuh juga boleh menjejaskan vertebra, maka tulang belakang juga akan menjadi semakin melengkung.

    #5. Sakit belakang bahagian bawah

    Apabila tulang belakang semakin lemah, belakang badan juga turut terkesan kerana ia tidak mampu lagi menampung beban atau tekanan seperti biasa.

    Cara mencegah penyakit tulang rapuh

    penyakit tulang rapuh

    Merawat osteoporosis dengan penjagaan tulang dan rawatan yang berterusan adalah penting untuk mengelakkan kesan yang serius pada masa hadapan.

    Anda tidak perlu risau kerana terdapat beberapa amalan atau rutin yang boleh dilakukan di rumah untuk membantu mencegah osteoporosis selepas menopaus.

    Berikut adalah beberapa petua untuk mengurangkan risiko osteoporosis:

    #1. Ambil suplemen yang sesuai untuk meningkatkan kesihatan tulang

    Suplemen seperti vitamin D membantu tubuh menyerap kalsium kerana kita sepatutnya mengambil sekurang-kurangnya 1,000 mg kalsium sehari, dengan cadangan 1,200 mg sehari untuk wanita menopaus.

    Sama seperti kalsium, pengambilan vitamin D yang betul boleh mengurangkan risiko osteoporosis.

    Susu, salmon, jus oren, yogurt, dan bijirin adalah sumber pemakanan bagi mendapatkan vitamin D.

    #2. Ambil diet yang berkhasiat

    Diet optimum untuk kesihatan tulang melibatkan pengambilan protein dan vitamin K yang banyak.

    Vitamin K yang terdapat dalam sayur-sayuran berdaun membantu meningkatkan ketumpatan tulang dan mengurangkan kepatahan tulang pinggul.

    #3. Bersenam

    Senaman yang melibatkan impak tinggi dan penguatan otot harus digabungkan untuk membantu mengekalkan ketumpatan tulang.

    Senaman yang disyorkan termasuklah latihan kekuatan, berjalan/berjoging, dan lompat tali.

    Dengan melakukan senaman seperti ini, tulang akan bertindak balas dengan menghasilkan sel yang lebih kuat dan padat.

    #4. Elakkan tabiat yang tidak sihat

    Pengambilan alkohol yang kronik telah dikaitkan dengan peningkatan risiko osteoporosis.

    Oleh itu, pastikan ia diambil dengan kadar yang sederhana atau lebih baik dihentikan terus.

    Selain itu, tabiat merokok juga boleh memudaratkan kesihatan kita dan melambatkan penghasilan sel penghasil tulang.

    Kesimpulan

    Dikatakan sebagai ‘penyakit senyap’, penyakit tulang rapuh ini sering kali tidak dilaporkan, dipandang enteng dan tidak dirawat.

    Saringan berkala dan pengesanan awal penyakit osteoporosis boleh membantu dalam mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit yang berkaitan dengan tulang. Justeru, dapatkan rawatan lebih awal sebelum ia menjadi lebih teruk.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dr Mark Chong

    Ortopedik · Hello Health Group


    Disemak pada 3 minggu lalu

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan