backup og meta

Osteoartritis. Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Osteoartritis. Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Osteoartritis adalah penyakit sendi kronik paling kerap berlaku. Ia berlaku apabila tulang rawan antara dua permukaan tulang di dalam sendi menipis dan terhakis kerana kerap digunakan.

Walaupun boleh menjejaskan semua sendi pada tubuh, ia paling kerap melibatkan sendi lutut, pinggang, tulang belakang dan tangan.

Osteoartritis adalah sebahagian daripada proses penuaan

Semakin berumur, fungsi badan akan menjadi semakin berkurang. Begitu juga dengan sendi.

Selepas bertahun-tahun digunakan, tulang rawan yang berfungsi melincirkan pergeseran antara dua permukaan tulang di dalam sendi menipis. Dalam kes yang lebih parah, tulang rawan yang berbaki terlalu nipis sehingga dua permukaan tulang bergeser antara satu sama lain.

road-managing-osteoarthritis
Osteoartritis adalah sebahagian daripada proses penuaan

Namun, osteoartritis juga mungkin disebabkan oleh faktor genetik, trauma atau peyakit-penyakit tertentu. Jika ia disebabkan oleh faktor ini, kebiasaannya berlaku pada umur yang lebih muda.

Warga emas mengadu sakit lutut mungkin disebabkan oleh osteoartritis

Rasa sakit pada lutut adalah kerana permukaan tulang di dalam sendi sudah tidak lagi dilitupi oleh tulang rawan. Permukaan tulang adalah sangat sensitif dan penuh dengan reseptor sakit. Jika berlaku pergeseran langsung pada tulang, tentunya ia menyakitkan.

older-better-sex
Osteoartritis adalah antara penyakit utama warga emas

Cuba anda memukul bahagian keting pada kaki anda. Tentu sangat sakit kerana tulang (tibia) bahagian ini hanya dilitupi oleh kulit tanpa otot. Sebab itu, ia sangat sensitif.

Osteoartritis sangat kerap berlaku terutamanya dalam kalangan warga emas. Sakit lutut yang dialami oleh mak atau ayah anda mungkin adalah osteoartritis.

Osteoartritis mungkin berlaku lebih awal dalam sesetengah orang

Selain daripada faktor penuaan, ada juga faktor lain yang boleh menyumbang kepada keadaan ini, bahkan mempercepatkan proses penipisan tulang rawan.

handle-fatty-liver-grade-2
Obesiti adalah antara faktor risiko utama osteoartritis

Antara faktor terbabit adalah:

  • Wanita. Walaupun tidak diketahui secara jelas mengapa, wanita lebih cenderung menghidap osteoartritis berbanding lelaki.
  • Obesiti. Berat badan berlebihan memberikan tekanan yang lebih ke atas sendi anda, khususnya lutut, pinggang dan tulang belakang. Tekanan yang banyak itu membuatkan sendi anda cepat rosak. Di samping itu, tisu lemak menghasilkan protein yang mungkin menyebabkan radang pada sendi.
  • Kecederaan sendi. Apa-apa kecederaan pada sendi meningkatkan risiko mendapat osteoartritis. Ia kerap berlaku dalam kalangan ahli sukan seperti ACL koyak.
  • Sesetengah pekerjaan yang memberikan tekanan pada sendi seperti doktor bedah yang perlu berdiri lama atau pekerjaan mengangkat barang-barang berat.
  • Genetik. Sesetengah orang mewarisi kecenderungan untuk menghidap osteoartritis.
  • Kecacatan tulang. Mereka yang dilahirkan dengan kecacatan tertentu pada tulang dan sendi cenderung mendapat osteoartritis.

Osteoartritis vs artritis reumatoid

Artritis reumatoid adalah sama-sekali berbeza dengan osteoartritis. Ia adalah penyakit autoimun dan bukan sahaja melibatkan sendi tetapi juga bahagian lain termasuk paru-paru, jantung, kulit dan buah pinggang.

Osteoartritis hanya menjejaskan sendi sahaja dan rawatannya lebih mudah berbanding artritis reumatoid yang memerlukan banyak jenis ubat.

Osteoartritis tidak boleh sembuh

Penyakit kronik ini adalah progresif dan tidak boleh sembuh. Namun, perkembangannya boleh diuruskan dan dilambatkan. Antara yang boleh dilakukan adalah:

  • Lakukan aktiviti fizikal. Walaupun bunyinya macam bertentangan, tetapi aktiviti fizikal terbukti membantu mengurangkan rasa sakit. Otot di sekeliling sendi yang terbabit akan menjadi lebih kuat seterusnya mengurangkan tekanan dan rasa sakit pada sendi.
  • Turunkan berat badan. Ini akan membantu mengurangkan tekanan ke atas sendi. Kurangkan kalori dan banyakkan senaman.
  • Regangkan otot. Senaman ini mampu menambah fleksibiliti dan mengurangkan rasa sakit.

Kadangkala, perubahan gaya hidup tidak mencukupi untuk mengawal simptom. Dalam kes seperti ini, ubat-ubatan atau mungkin pembedahan diperlukan.

Ubat-ubatan yang mungkin digunakan adalah:

  • Analgesik seperti acetaminophen atau opiods.
  • Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti aspirin, ibuprofen atau naproxen.
  • Kortikosteroid melalui mulut atau suntikan ke dalam sendi.
  • Asid hyalunorik yang disuntik ke dalam sendi.
Reye’s syndrome
Ubat-ubatan seperti NSAIDs mungkin diperlukan untuk mengawal simptom osteoartritis

Osteoartritis adalah keadaan yang sangat biasa berlaku. Dengan perkembangan teknologi dan kajian terhadapnya, osteoartritis kini boleh diuruskan dengan lebih efisyen dan efektif melalui pelbagai pilihan rawatan yang tersedia.

Dapatkan nasihat dan rawatan profesional dengan kadar segera kerana ia mungkin mengakibatkan kehilangan upaya jika tidak diuruskan awal.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Staf Mayo Clinic (6 Mac 2018). Osteoarthritis. Dimuat turun daripada https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteoarthritis/symptoms-causes/syc-20351925.

Arthritis Foundation. Osteoarthritis Treatment. Dimuat turun daripada https://www.arthritis.org/about-arthritis/types/osteoarthritis/treatment.php.

William C. Sheil Jr (13 April 2018). Osteoarthritis (OA or Degenerative Arthritis). Dimuat turun daripada https://www.medicinenet.com/osteoarthritis/article.htm#osteoarthritis_facts.

Versi Terbaru

05/07/2023

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kerap Diserang Sakit Belakang Selepas Bangun Tidur? Pakar Kongsi Petua Atasinya!

7 Nutrien Ini Perlu Ada Untuk Membina Tulang Yang Kuat, Ini Cara Untuk Anda Dapatkannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 05/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan