Senaman boleh jadi mencabar bagi pesakit yang menghidap masalah osteoartritis lutut. Namun, fakta cliche adalah penurunan berat badan boleh mengurangkan masalah sakit lutut yang dialami.
Cuba bayangkan, anda obes dan mempunyai masalah sakit lutut. Jalan penyelesaian kepada situasi tersebut adalah untuk menurunkan berat badan.
Namun proses bagi mencapai berat ideal boleh jadi menyakitkan untuk anda.
Ia berikutan rutin senaman boleh memberikan kebaikan dan keburukan kepada anda dalam masa yang sama.
Dalam situasi sebegini, secara rasionalnya, anda perlu mempertimbangkan kebaikan dan keburukan aktiviti senaman terhadap tahap kesihatan anda secara menyeluruh.
Atau anda boleh mencari jalan lain seperti apa yang akan diterangkan dalam artikel ini. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
#1 Ambil sarapan tinggi protein untuk bantu turunkan berat badan
Makanan yang tinggi protein boleh memberikan kebaikan kepada pesakit osteoartritis lutut memandangkan ia boleh membantu pengamal untuk menurunkan berat badan.
Kebanyakan individu mungkin mempunyai amalan pemakanan yang baik semasa makan tengah hari dan makan malam.
Namun, apabila ia berkaitan dengan sarapan pagi, kita sering mengambil lebih daripada apa yang diperlukan oleh badan.
Oleh sebab nasi merupakan makanan ruji bagi rakyat Malaysia, kebanyakan daripada kita gemar mengambil makanan yang tinggi dengan kandungan karbohidrat pada waktu pagi.
Contohnya, nasi lemak, nasi goreng, nasi dagang dan nasi kerabu.
Sebut sahaja apa jenis nasi yang ada, kesemuanya mempunyai pecahan nutrisi makro yang lebih berat kepada kandungan karbohidrat.
Untuk membantu pesakit osteoartritis lutut mengurangkan berat badan, gabungan serat dan protein adalah yang terbaik.
Ia bukan sahaja membantu mempercepatkan pembakaran kalori, malah kedua-duanya juga boleh memberi kekenyangan walau diambil pada kuantiti yang sedikit.
#2 Kenal pasti faktor emosi yang menjadi punca pesakit osteoartritis makan berlebihan
Tabiat makan seseorang bukan sahaja boleh dipengaruhi oleh rasa lapar. Emosi juga boleh memainkan peranan!
Perkara ini penting terutamanya bagi pesakit osteoartritis yang ingin mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan.
Seringkali kita terpaksa mengabaikan makanan kegemaran dan memberikan komitmen kepada makanan seperti sayur-sayuran dan daging tanpa lemak untuk kebaikan kesihatan.
Jika kecelaruan emosi tidak diuruskan dengan baik, diet yang anda cuba amalkan tidak akan bertahan lama.
Amalan pemakanan yang hanya memberikan kesan positif dalam masa yang singkat tidak wajar diamalkan memandangkan kebaikan yang diperolehi bagaikan ilusi.
Apabila berat badan anda naik semula, anda mungkin akan jadi lebih gemuk.
#3 Cari kawan yang turut berazam untuk menurunkan berat badan
Berat badan ideal tidak boleh dicapai dalam masa semalaman. Ini realiti yang terpaksa ditelan oleh pesakit osteoartritis yang ingin menurunkan berat badan.
Seperti kota Rom yang mengambil masa puluhan/ratusan tahun untuk menjadi hebat, penurunan berat badan juga akan mengambil masa yang lama.
Apabila anda berazam untuk mencapai berat badan ideal, anda sebenarnya meletakkan komitmen untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam jangka masa panjang.
Seperti maraton, anda perlu memaksa diri untuk berlari ke arah garisan penamat.
Keadaan akan menjadi lebih mudah jika anda mempunyai rakan yang berkongsi matlamat yang sama.
Mereka boleh menjadi pendorong dan mengingatkan anda sekiranya sampai satu ketika, anda mula hendak terpesong daripada matlamat asal.
Bukan mudah untuk pesakit osteoartritis kawal berat badan. Namun, jika kena pada caranya, semuanya akan jadi lebih mudah.
#4 Pesakit osteoartritis boleh amalkan senaman di dalam air
Senaman di dalam air bukan sahaja boleh membantu orang tua untuk kekal aktif, ia juga boleh mengurangkan sakit lutut bagi mereka yang menghidap masalah osteoartritis.
Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang boleh anda cuba.
Jika anda tidak reti berenang sekalipun, anda boleh terjun dan hanya berjalan di dalam air.
Bagi yang rajin, anda boleh menyertai kelas senaman untuk membantu memaksimumkan usaha anda menurunkan berat badan.
Penyertaan dalam kelas senaman seperti Zumba, program senaman akuatik dan sebagainya boleh membuatkan proses menurunkan berat badan lebih menyeronokkan.
Anda akan lebih cenderung untuk kekal komited dan lebih mudah berjaya mengawal berat badan.
Apa yang lebih menguntungkan adalah senaman di dalam air boleh memberikan tahap kerintangan yang lebih tinggi kepada otot anda.
Ini bermakna, anda akan bakar lebih banyak kalori dan proses untuk menguatkan otot akan jadi lebih optimum.
Konklusi
Usaha untuk menurunkan berat badan mungkin lebih sukar bagi pesakit yang menghidap osteoartritis lutut, namun ia tidak mustahil untuk dicapai.
Anda boleh membuat pengubahsuaian untuk memastikan aktiviti yang bakal dilakukan bukan sahaja boleh membantu mencapai berat ideal, malah tidak mematahkan semangat anda untuk terus berusaha.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan dengan langkah yang boleh diambil untuk menurunkan berat badan, ajukannya kepada doktor perubatan yang bertauliah.